Say no to Israel

Say no to Israel
Say Yes to Plaestine

Friday, October 24, 2008

menulis puisi?

Bismillahirrahmanirrahim.

sebenarnya aku bukanlah penulis yang layak dirujuk tetapi oleh kerana ada pra peminat puisi ingin saranan maka harap coretan yang sedikit ini dapat membantu.

Menulis puisi adalah menceritakan sesuatu melalui perasaan yang halus supaya ia sampai ke lubuk hati. Puisi bukanlah seperti yang ramai manusia anggap. Puisi tidak semestinya suspense, misteri atau sukar difahami. Tetapi puisi itu seharusnya berkias, singkat perkataannya, tunggal tema utamanya dan cantik perenggannya.

Aku tidak tahu jika ada yg berpendapat puisi ini bukan mainan ilmuan. Atau puisi ini hanya untuk berpacaran atau mereka yang suka berangan. Orang arab asalnya menganggap pujangga pujangga mereka adalah raja kerana bagi mereka tukang tukang syairlah cendiakawan yang terhebat. Kerana mereka mampu menyatakan sesuatu terus kepada hati lalu menjentik emosi.

Jadi jangan hanya meletakkan cinta dan asmara sebagai tema berpuisi kerana yang sebenarnya puisi ini medan penyebaran ilmu yang padat dan sendat.

menulis puisi adalah menyusun kata kata cantik dalam perenggan2 yang terdiri dari baris baris pendek. Imbuhan sangat mengganggu keabsahan sebuah puisi. kata berganda hanya bagi menjaga makna yang tidak ada jalan lain. tanda baca akan memandu org lain membaca puisi kita dengn nada yang kita mahu.

keistimewaan puisi adalah tema yang sama tetapi membuka kefahaman yang pelbagai dalam ayat yang satu.

sekadar ini dahulu.

Wednesday, October 22, 2008

Menghirup Damai.

Bayu manis berlegar di pantai
ombak ceria riak di laut.
Olek hatiku terusik
bahagia menyerbu minda.

Pelepah nyiur alun tenang
ke kiri ke kanan bagai menari.
Damai sungguh.
Walau ada kerut rekah di wajah.
Tafsirannya hanya bahagia.

Inilah getusan cinta.
Baru kuerti penangannya.
Segera disentak lembaran mulia.
Agar rasa dijiwa tiada dosa.

Kuikhlaskan apa di jiwa.
Biar rasa tidak binasa.
Kuteguhkan segala cita
jangan larut dicair cinta.
Sungguh aku sedang
benar menghirup damai
di pantai rumah tangga.

Siddiq Osman.
video

Monday, October 20, 2008

krisis nilai


Krisis Nilai Satu Kekeliruan Atau Kerosakan.
Oleh: Siddiq Osman

Dunia ini sering melalui proses perubahan dan peredaran zaman. Setiap kali zaman bertukar pemikiran dan idealisme juga akan bertukar. Bahkan gaya hidup juga berubah. Dari cara berpakaian hinggalah cara pentadbiran. Dalam perubahan-perubahan ini akan diutuskan wahyu untuk membimbing dan memacu umat manusia agar tidak berlabuh di pantai kebinasaan.

Allah menyebut dengan megah “Acuan (nilaian) Allah, dan siapakah lebih baik acuannya (nilaiannya) dari Allah.” Dari ayat ini kita harus memahami di sana ada dua bahagian besar penilaian. Satu menepati neraca Allah satu lagi selain darinya. Jadi ayat ini seperti menafsirkan satu ayat lain yang bermaksud “Barangsiapa yang mencari selain Islam sebuah jalan hidup maka takkan diterima darinya.” Dalam dua ayat ini maka jelas bagi kita apa jua atau ke mana sekalipun masa berubah hanya Islam dan terasnya yang menjadi kayu ukur bagi kita.

Kini kita seringkali mendengar tentang sogokan globalisasi dan dunia terbuka. Seolah-olah idea ini baru pertama kali dicetuskan dalam perubahan zaman. Bush dengan angkuhnya menyatakan “bersama kami atau menentang kami.” Keangkuhan ini terhasil dengan kezaliman yang banyak dilakukannya. Sedangkan idea globalisasi adalah keistimewaan ajaran Islam yang semakin terbenam oleh rimbunan buih-buih umat yang hilang pegangannya terhadap Islam. Islam yang sememangnya merupakan rahmat kepada seluruh alam seperti firman Allah “ Tidaklah Kami mengutuskanmu melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam.” Namun siapa dikalangan kita melihat bahawa seruan ini merupakan perjuangan rasulullah dari saat kerasulan hinggalah hembusan nafasnya yang terakhir. Sehingga ajalnya baginda menyebut “Umatku, umatku, umatku.” Baginda juga bersabda “Aku akan memerangi manusia sehingga mereka menyatakan tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah.”

Tetapi perkataan alamiyah kita hanya gunakan dan terjemahkan kepada makna antarabangsa atau englishnya International. Sedangkan kalimah lebih tepat bagi terjemahan itu adalah duwaliyah. Alami adalah cita-cita Islam. Mengawal dan mengatur dunia inilah merupakan cita-cita sebenar Islam. Kerana kefahaman inilah Rasul mengutus bala tentera menyerang Rom sedang baginda dalam keadaan gering. Apakah Islam menyerang Rom untuk meruntuhkan empayar itu? Atau apakah untuk merompak kekayaan empayar itu? Pastilah bukan kerana baginda sendiri sedang menanti ajal. Ini tidak lain dan tidak bukan melainkan untuk meluaskan ruang keadilan dan rahmat yang dihidangkan dalam Islam kepada penduduk muka bumi ini. Sewaktu itu apakah Islam terlalu kuat? Apakah dunia ini dimonopoli oleh Muslim? Apakah dunia bergantung pada ekonomi Islam? Sekali-kali tidak. Bezanya pada ketika itu Umat Islam berani, umat Islam tidak cintakan dunia melebihi akhirat. Kini dunia bergantung dengan kekayaan minyak umat Islam. Kala ini orang Islam merupakan penganut teramai tetapi kala ini Umat Islam gila kuasa, tamak dan buta hati. Jiwa menjadi kecil seperti lalat biar seberapa banyak tapi akan bertempiaran dengan angin yang entah dari mana bertiup.

Inilah krisis nilai. Kita anggap Islam hanyalah hiasan di Masjid, kita fikir Islam hanyalah undang-undang hudud ataupun kita ingat Islam hanyalah system pendidikan. Sebenarnya Islam adalah ideology yang dipertahankan dan disebarkan yang lengkap dan sempurna merangkumi semua cara hidup. Menganut Islam beerti mendaftar diri menjadi pejuang Allah. Bersedia mengorbankan diri harta dan juga keluarga kerana ingin Islam kembali diamalkan dengan sebenar-benar cara.

Kita harus faham jika kita melihat masalah kecil seperti Mat Rempit, Minah Rempit, Hilang adab dan juga perselisihan berqunut pada waktu subuh atau tidak sebagai gejala yang besar maka jelaslah bahawa di sana takkan ada jalan penyelesaian. Tetapi jika kita sedar bahawa masalah sebenar adalah kerja Islam tidak berjalan maka di sana pelbagai jalan penyelesaian yang tersedia dan menuntut kita melaksanakannya.

Kita sering mengherdik dan mengkeji golongan remaja yang bermasalah sedangkan mereka hanyalah mewarisi dunia dan alam yang telah kita tinggalkan untuk mereka. Apakah adil jika kita menghidangkan mereka racun kemudian kita mendakwa mereka membunuh diri?

Krisis nilai bukan kekeliruan tapi kerosakan minda setelah tewasnya kita dalam peperangan saraf. Sehingga kita sentiasa berfikir untuk bertahan dan takut untuk menyerang. Sedangkan dalam Islam kita wajib menyerang minda mereka bagi melawan virus-virus syirik dan bertahan dalam perang fizik bagi memelihara jiwa muslimin. Semoga Allah mengembalikan kefahaman Islam kepada umatnya.

Thursday, October 09, 2008

mengapa aku menulis??

Soalan ini sering berputar dibenakku yang sempit dan cangkat ini. Bahkan kadangkala ia diputarkan oleh kenalan baik di alam nyata mahupun dia Siber Maya ini. Adakalanya aku mengabaikan soalan ini dengan jawapan-jawapan bodohku seperti: sebab aku ada tangan, sebab aku nak belajar bahasa ibunda sendiri ada juga yang terlalu membodohkan penyoal seperti ada aku habiskan duit mak bapak kamu?

Inilah aku yang sering berbahasa kasar dengan sesetengah golongan manusia. Namun itu hanyalah ego luaran yang mendindingi betapa tersentuhnya aku dengan persoalan itu. Aku mula mencari apakah alasan aku menulis.

Aku mulakan dari nafsu. Aku menyelidiki nafsu keduniaanku. Adakah aku menulis kerana mahu kaya jual karya merata-rata? Nafsuku dengan buas menepis sangkaan itu. Belum ada tulisanku yang membawa untung, tetapi aku masih menulis bahkan makin lama makin meninggi minatku. Nafsu kenamaan pula aku selidiki. Apakah aku mahu jadi seperti sasterawan sasterawan besar seperti Abu Nuwas, Farazdaq atau A Samad Said yang dikenali dan dikagumi? nafsu yang mencintai pujian ini bertanya dengan muka yang agak dengkel, bagus sangatkah karya aku? Aku tersipu di hujung soalan. Lalu atas dasar apa aku menulis? Akal pun menduga, kerana aku mahu di baca. Ya, Tuhan juga bekarya untuk dibaca karyaNya. Alam di ciptakan untuk dilihat dan dikagumi, hidayah dikurnia untuk disyukuri dan dihargai.

Jawapan akal benar tetapi itu semestinya sebab wajib bagi sebarang penulis menghasilkan karya. Mindaku bertanya apa sahaja yang selalu aku tulis? Aku menyemak semula penulisanku. Tema utama semua bahanku adalah Islam dan Pengabdian. Hatiku mula berbisik. Jangan sampai kamu mengakui kamu menulis kerana dakwah. Jika benar sekalipun kamu menulis kerana dakwah ikhlaskah kamu dengan Tuhan? Aku keliru dengan tuntutan hati ini.

Kini aku merasakan aku menulis kerana ingin berkongsi sebuah persoalan, persoalan yang pokok dan besar perlu aku faham dan memahamkan. Persoalannya ada dalam diri setiap manusia betulkah apa yang sedang kita yakini dan setakat manakah keyakinan kita terhadap apa yang kita yakini? Jika aku tidak menulis persoalan ini tahukah aku di mana aku sebenarnya dan ke mana aku selayaknya...