Say no to Israel

Say no to Israel
Say Yes to Plaestine

Tuesday, August 07, 2007

Aiman Mujahid



Debu - debu pasir mula mengisi udara panas padang pasir. Kesan dari hentakan kaki kuda dan juga langkah – langkah manusia. Suasana gempar mengisi setiap sudut. Kelihatan Abu Jahal sedang membakar semangat pasukannya. Sedang terjengah – jengah meninjau keadaan pertempuran dengan pahlawan Madinah. Sedang dalam keadaan mencari dia sebenarnya diburu. Aiman mendengar bisikan dua orang anak muda yang berumur sekitar sepuluh tahun kepada Uthman. "pakcik tunjukkan kami Abu Jahal musuh Allah dan RasulNya" lantas pakcik yang kelihatan gagah itu menjengah seketika. Maka muka bengis Abu Jahal dituding.

Tanpa menjawab dua anak muda tadi seperti kelinci menyerbu pantas dengan senjata mereka. Aiman mengikuti mereka dengan penuh perhatian. Mereka sememangnya bersemangat dan penuh tekad. Abu Jahal yang diburu sudah sangat hampir. Abu Jahal ketika itu sedang membakar semangat kaum Quraisy tentera Makkah. Sepantas petir pedang Muaz Ibnu Amru dijamu darah si laknat besar itu. Belum sempat Abu Jahal mengerang untuk luka pertama itu datang pula Muawwiz Afra' menetak Abu Jahal dengan tetakan yang kuat. Maka dengan tetakan itulah Abu Jahal menuju ke neraka.

Aiman menyaksikan kepantasan dan keberanian dua anak muda itu dengan kagum dan bersemangat. Tetapi dia hanyalah tukang memberi minum dalam perang ini. Sebelum sempat Muaz Ibnu Amru mengelak ikrimah menetak tangannya. Aiman menjerit " Muaz!!!" dia berlari kea rah Muaz namun dia ditendang dengan kuat oleh seorang tentera Quraisy lantas terlentang ke belakang. Dia sempat mengerling ke arah Muaz dia mendapati Muaz sedang memutuskan tangannya sendiri. Sungguh mengerikan. Quraisy yang gedempol yang menendangnya tadi menghayunkan pedangnya …

" Aiman, bangun sayang dah subuh ni." Tiba tiba suara lembut ibunya membangunkannya dari mimpi yang sungguh mengesankan. " kenapa ni? Sampai berpeluh anak ummi. Itulah tidur tak pasang kipas." Ummu Aiman mengelap rintik-rintik peluh di dahi Aiman. "Aiman mimpi tadi Ummi. Kalau ummi tak kejut tentu Aiman dah sampai ke syurga." Jawab Aiman sambil menyelak selimutnya. "Ada-ada saja anak ummi ni. Dah, pergi siap, jangan lupa solat sunnat fajar. Abah dah tunggu nak ke masjid." Suruh ibu Aiman. Aiman lantas membaca doa bangun tidur dan menuju ke bilik mandi.

Aiman ialah anak tunggal sehingga kini. Kanak-kanak seusianya itu seringkali mengalami mimpi-mimpi aneh. Minda peringkat ini memiliki daya imiginasi yang sangat tinggi. Mereka boleh mewujudkan alam khayalan berdasarkan cerita-cerita yang mereka dengar dan juga sogokan-sogokan maklumat lain. Aiman sangat berminat dengan cerita perperangan zaman sahabat. Ibunya sering menceritakan kehebatan pahlawan Islam. Ibunya enggan melihat Aiman menjadi orang yang cintakan dunia dan takut kepada mati. Walaupun Aiman baru berusia 7 tahun dia sudah boleh membaca akhbar. Aiman diajar mengenal huruf sejak umurnya 4 tahun lagi. Aiman boleh mengeja semasa berumur 5 tahun. Ibunya selalu meluangkan masa dengannya.

Ayah Aiman En. Shuib memang seorang yang menitik beratkan kehidupan Muslim dalam keluarganya. Walaupun Aiman anak tunggal dia tidak muakan Aiman dengan mainan-mainan yang tidak mengembangkan minda anak kecil itu. Walaupun Aiman masih kecil dia diajar berdikari. Mengurus masa sendiri. Menjaga kebersihan diri dan juga harta bendanya. Ibunya sering mencernakan rasa syukur dalam peribadi Aiman. Di sekolah Aiman menjadi ketua kelas. Guru dan rakan-rakan senang dengannya. Aiman peramah. Walaupun dia tiada adik atau saudara lain. Ibunya sentiasa memberi perhatian.

"Aiman! Dah siap belum?" laung Encik Shuib. " Ya ! Aiman turun sekarang." Aiman mencapai kopiahnya. Begitulah setiap pagi. Walaupun hadith Nabi mengingatkan agar menyuruh anak solat pada umurnya tujuh tahun dan merotan jika mereka enggan pada umur sepuluh tahun. Namun bagi En. Shuib anaknya mesti ringan dan menjaga solat dengan sempurna. Jadi dia biasakan Aiman dari umur lima tahun lagi.

"Ayah! Kita nak ke masjid mana pagi ni?" Soal Aiman. "Aiman nak pegi masjid mana?" En Shuib melayan sahaja soalan Aiman. Dia suka anaknya berfikir dan juga ingin melihat daya Aiman membuat pilihan. " Kita pergi masjid Abang Imran lah." Balas Aiman. "kenapa?" sepatah soalan ayah Aiman ingin melihat apakah penilaian anaknya. " Abang Imran best, lepas solat dia baca sirah." Jawapan Aiman ini membuktikan minat yang mendalam terhadap sirah kehidupan Nabi umat ini. "oklah as Aiman wish." Sebagai seorang arkitek dia kadang-kadang suka menggunakan bahasa Inggeris dalam dialognya. Aiman hanya tersenyum. Dia kembali mengelamun.

Selepas solat subuh Ustaz Imran menyampaikan kuliah subuhnya sekitar sepuluh minit. Kali ini Imran menceritakan mengenai bagaimana rasulullah membuka Makkah. Sebagai tafsir ringkas Surah An Nasr. Aiman tekun mendengar cerita Ustaz Imran. Ustaz Imran merupakan saudara jauh ibu Aiman. Rumah Ustaz Imran tidak asing bagi Aiman. Semasa cuti Aiman kerap ke rumahnya untuk meminjam buku. Ustaz Imran masih bujang. Tetapi dia merupakan penulis buku cerita kanak kanak Islam.

"Aiman pulang nanti terus siap untuk ke sekolah tau." Pesan En. Shuib. "ok, Ayah nak pegi pejabat awal ke?" Tanya Aiman. "Ya , Ayah nak kena keluar awal sikit. Aiman nak terus ke sekolah ke? Nak singgah pejabat ayah dulu?" Encik Shuib beri peluang kepada anaknya membuat pilihan. " pergi teruslah. Nanti menyusahkan pak cik Osman pula." Berbunga hati Encik Shuib mendengar jawapan anaknya itu.

Aiman berlari ke arah pintu gerbang sekolah dengan beg galasnya yang berwarna merah hitam digalas dari belakang, selepas menjabat dan mencium tangan ayahnya. Encik Shuib mengekori anaknya itu sehingga bayang anaknya itu ditelan oleh dinding papan tanda Sekolah Rendah Al Islah. Kereta proton wira edisi manual itu bergerak perlahan lahan meninggalkan perakarangan sekolah.

Setelah Aiman meletakkan begnya di tempat duduknya dia lantas membuka beg itu lalu mengeluarkan buku bertajuk "Peperangan Uhud Mengajar Erti Taat" , lalu diselak ke muka surat yang sudah ditanda. Dibacanya penuh keghairahan. "Assalamualaikum", sapa satu suara. "Boleh saya temankan awak?" seorang kanak kanak berjubah putih dan berserban berdiri di hadapan Aiman. "silalah duduk." Pelawa Aiman. "kamu Aiman kan?" sapa kanak kanak tadi. "ya! Kamu nama apa? Macam mana kamu kenal saya?" Aiman menyambut tangan anak muda tadi. "Sayalah Muawwiz yang kamu ikuti semalam." Aiman baru teringat akan mimpinya.

"Eh! Bagaimana kamu boleh ada di sini? Bukankah kamu telah syahid di medan Badar? " Aiman teruja sambil mengingati semula buku "Keajaiban Badar" yang dibacanya. Muawwiz tersenyum sungguh pesona senyumnya. "ya ! kamu memang sangat beruntung kerana begitu perihatin pada sejarah Islam. Saya Cuma ada dalam dunia kamu. Hanya kamu yang melihat saya." Terang Muawwiz. "bagaimana kamu kenal saya?" Aiman mengulang soalannya. " Saya memang mengenali awak sudah lama. Cukuplah sekadar awak meyakini Allah berkuasa untuk setiap sesuatu." Aiman tersenyum.

"Erm, awak tahu tentang sejarah silam? Bolehlah awak bercerita kepada saya selalu." Aiman menunjukkan keghairahannya. "saya tahu setakat hayat saya. Tapi saya lebih suka untuk membincangkan tentang keadaan umat hari ini dengan awak." Jelas Muawwiz. "erm, awak tahu mengenai hal sekarang?'' Tanya Aiman. "sudah tentulah saya tahu. Sekarangkan maklumat mudah didapati." Jelas Muawwiz.

Muzammil, Muhsin dan juga fikri sampai. Mereka memberi salam pada Aiman. Aiman menjawab salam mereka. Fikri putih kemerah merahan mukanya. Jelas urat urat hijau di dahinya jika dia cuba untuk menghafal sesuatu. Muhsin pula berkulit sawo matang dan juga gempal sedikit mereka berdua agak akrab. Muzammil berbadan kurus dan juga berambut kerinting. Mereka selalu datang awal kerana mereka menetap di asrama. Muhsin mengeluarkan buku bahasa melayunya untuk menyiapkan kerja rumah yang diberi semalam. Kelas hanya akan bermula dua puluh minit lagi.

Muawwiz hilang dari kelas. Aiman menggaru-garu kepalanya. Muzammil menyapa Aiman "tadi ana dengar anta bercakap sesuatu. Anta bercakap dengan siapa?" Aiman gumam " err, ana bercakap dengan Muawwiz Ibnu Afra'." Beritahu Aiman lurus. "sapa tuh? Mana dia?" Muzammil kepeningan. "Entah! Tiba – tiba dia hilang." Aiman langsung tidak berselindung. "Ermm, peliklaa. Anta tau dak orang gila ja cakap soghang-soghang." Muzammil dengan pelat utaranya memberitahu. Aiman terdiam.

Selesai kelas petang itu Aiman menanti ayahnya di pintu gerbang. Sedang dia duduk meninjau ninjau kemunculan kereta ayahnya dia ditegur oleh muawwiz. "kamu sudah baca akhbar semalam?" Tanya Muawwiz. "ya, ada saya baca. Kenapa?" Tanya Aiman. "Kamu ada baca tentang peperangan di Iraq?" soal Muawwiz lagi. " ya Amerika menceroboh Iraq. Jahatkan Amerika?" rungut Aiman. "mereka memang mencabar umat Islam." Kata-kata Muawwiz menimbulkan kekesalan pada Aiman. "saya malu dengan umat zaman awak, mereka mempertahankan Islam dengan bersungguh sungguh." Aiman terhenti tatkala mendapati kereta ayahnya berhenti berhampiran mereka. Sekilas dia menoleh ke arah kereta ayahnya Muawwiz telah hilang darinya.

Dia mendapati ibunya sebaik sahaja tiba di rumah. "assalamualaikum ummi." Sapa Aiman bila mendapati ibunya sedang membaca di atas sofa di rumah mereka. "waalaikumussalam. Dah balikpun anak ummi ni." Aiman memeluk ibunya. "ermm, busuknya anak Ummi." Ibunya mengusik Aiman. "Eh! Mana ada. Ibu, adik sehat?" Aiman mengusap-ngusap perut ibunya. "Bagi salam pada adik. Dia rindu pada Aiman." Aiman memberi salam kepada perut ibunya kemudian mengucup perut ibunya. "Aiman pun rindu pada adik, Ummi" bagitahu Aiman. Sambil tersenyum manis. Ummu Aiman bertanya "macam mana di Sekolah?" "Aiman dapat kawan baru, Ummi nama dia Muawwiz." Cerita Aiman. "Eh! dah nak habis tahun pun ada orang baru masuk sekolah Aiman?" Tanya ibunya. "bukan Ummi, dia bukan belajar sama Aiman." Dia dari medan Badar. "Erm, ada-ada saja anak ummi ni. Cikgu ajar apa hari ini?"\

Sejak kebelakangan ini ibu Aiman tidak boleh memberi perhatian seperti selalu kepada Aiman kerana mudah keletihan. Mungkin sejak dia sarat membawa adik Aiman dalam perut. Sedikit sebanyak memberi kesan kepada Aiman. Encik Shuib pula sedang sibuk dengan projek baru yang disambar syarikat tempat dia bekerja.

"Muawwiz masa zaman dahulu awak main apa?" Tanya Aiman. "Dulu kami selalu main gusti, kadang kadang kami pergi berburu. Saya selalu bersama Muaz, dia mahir menggunakan batu." Cerita Muawwiz. "Oh! Jadi kamu memang kerap bersama Muaz?" "Aiman! Tidur sayang. Esok nak ikut ayah ke masjid." Laung ibunya dari dapur. Selalunya Aiman akan masuk tidur selepas Isya'. Sebagai kanak-kanak dia memerlukan tidur yang cukup.

Suasana dipenuhi dengan sorakan kaum Muslimin. Aiman mencari cari kelompok pemanah yang diketuai Abdullah Ibnu Jubair. Aiman memanjat mencari Abdullah. "Pak Cik jaga pasukan ini jangan turun." Abdullah melihat Aiman. "siapa kamu? Itulah pesan rasulullah." Aiman merasa lapang. "saya Aiman dari masa akan datang." Kami mengetahui bahawa kaum muslimin akan tewas dalam peperangan ini." Abdullah gumam. "kami takkan kalah dengan izin Allah." Aiman berlari mencari Abu Dujanah. Dia mencari pahlawan yang paling berani dalam medan Uhud. Setelah melihat serban merah yang dipakai di kepala. Sungguh mukanya penuh keyakinan dan cukup meyakinkan. Tiada mata mampu bertentang dengannya.

Kringggg!!! Jam menunjukkan pukul 3.30 pagi. Aiman bangun membaca doa dan menuju bilik air. Dia mengambil wudhu' dan melangkah ke mihrab yang disediakan di biliknya. Aiman sendiri yang memohon ayahnya membuat sebuah mihrab di kamarnya kerana dia terkesan dengan cerita wanita mulia Maryam ibu Nabi Isa. Selesai bersolat Aiman berdoa "Ya Allah tolonglah kami menjalani hidup sebagai hambaMu sehingga kami menemuiMu, Ya Allah! Bantulah pejuang-pejuangMu di seluruh muka bumi ini. Amin" kemudian Aiman menyambung tidurnya.

"Muawwiz kamu tahu tak? Saya akan dapat adik nanti." Tanya Aiman ketika Muawwiz menegurnya pagi ini. "tahniah Aiman!" ucap Muawwiz keriangan. "tapi nanti kasih ibu ayah akan berbelah bahagi antara kami berdua." Aiman kegusaran. "Eh! Kamu patut bersyukur kamu sudah mendapat perhatian penuh selama adik belum ada. Sepatutnya adik kamu yang lebih mencemburui kamu." Muawwiz membangkitkan rasa syukur. "Kamu ada adik?" soalan Aiman itu tidak berbalas kerana Muawwiz sudah tiada dipandangan.

Aiman dikejutkan dari lamunan gurunya memanggilnya. "Aiman, sila ikut cikgu." Cikgu Aminah mendahului Aiman ke pejabat sekolah. Di pejabat Cikgu Aminah menyerahkan gagang telefon pada Aiman. "Aiman, Ayah tak dapat ambil Aiman hari ini. Pak Cik Osman akan datang ambil." Beritahu Encik Shuib. "Ayah nak ke mana?" soal Aiman minta penjelasan. "Ayah di hospital. Ibu sakit nak bersalin." Jelas Encik Shuib. "Aiman nak terus ke hospitallah?" pinta Aiman. "baik nanti ayah beritahu pak cik Osman. Assalamualaikum." Talian dimatikan. "Waalaikumussalam."jawab Aiman lembut.

Aiman menunggu pakcik Osman di tempat biasa. "Aiman kamu harus bersyukur." Muawwiz di sebelah menyapa. "sudah tentu! Saya tak sabar nak berjumpa adik saya." Jawab Aiman ghairah. "kamu kena jadikan adik kamu lebih baik dari kamu." Nasihat Muawwiz. "ya ! dialah mad'u pertama saya." Balas Aiman.

Sesampai Aiman di hospital ayahnya menyambutnya. "Aiman dapat adik perempuan." Beritahu ayahnya. "kita letak nama Maryam bolehkan?" Ayah Aiman mengangguk tanda setuju. " Aiman kena bersabar sayang, Ummi masih koma." Aiman tidak dapat memahami. "Koma tu apa ayah?" Encik Shuib terpaksa melayan anak itu. "koma itu tak sedarkan diri nak." Aiman mula sebak. "sabar Aiman doalah semoga Allah selamatkan ibu."Encik Shuib menasihati anaknya sekaligus cuba menenangkan dirinya.

Aiman mengalirkan air mata selepas menyapu kedua tangan ke muka. Sudah tiga hari ibunya masih belum pulang. Aiman terpaksa meneruskan pengajian. Dia banyak menghabiskan masa dengan membaca Al-Quran. Petang itu ayahnya akan membawanya ke hospital untuk memberi sokongan moral pada Ibunya. Sampai sahaja di Hospital Aiman terus ke wad di mana ibunya di tempatkan. Jururawat di situ menyenangi anak kecil itu. Sungguh kendiri peribadinya. Bahkan kelihatan begitu matang.

Aiman sangat bersyukur mendapati ibunya sedang mendukung adiknya Maryam. "ibu dah sedar sejak bila?" soal anak kecil itu. "berkat doa anak ibu ni, ibu sedar sejak pukul 3.00 pagi tadi." Kata ibunya sambil senyum tawar ."Ibu tidur lama sangat." Rungut Aiman. "kesian anak manja ummi nih." Usik ibunya. "eh mujahid mana manja." Balas Aiman. "kalau ummi tak bangunpun ummi tahu anak ummi ni boleh jaga adik dengan ayah, kan?" ibunya terus menguji. "tapi Aiman sayang Ummi." Air mata mula bergenang. "eh Mujahid mana boleh nangis," Aiman terus memeluk ibu dan adiknya.

Dia menoleh ke arah tingkap pada pintu bilik kelihatan Muawwiz melambai dan melangkah pergi. Itulah kali terakhir Muawwiz muncul di hadapan Aiman. Aiman berbisik sesuatu ke telinga adiknya Maryam Khadijah. Kelihatan bayi itu menguap. Aiman sangat terhibur dengan kehadiran adiknya itu.