Say no to Israel

Say no to Israel
Say Yes to Plaestine
Showing posts with label puisi. Show all posts
Showing posts with label puisi. Show all posts

Monday, December 28, 2009

Bisikan Pada Rindu.




Pekan bertukar purnama berganti.
Bukan sekadar angka, bukan pula usia.
Rahsia atma menjadi berita.

Angin menutur dari sahara
menyusur ganang, meredah gelombang
membawa khabar kembara usang.

Sedang dibelai bayu juang,
teralun dibuai ombak perang.
Mabuk pendekar di laut darah,
cekal digenggam mengatur langkah.

Walau sukma kian parah,
bumi pertiwi tegar diimpi.
Bukanlah sumpah bukan serapah.
Inilah bisikan rindu melimpah.

Tuesday, November 24, 2009

Wahai Diri.

Kalam ini khas untukmu.
Dikau melengkapi aku.
Kurangnya engkau kelemahanku.

Dengarlah,
bangunmu bersamaku.
Tidurmu rehatku.

Sedarlah,
Mati kita sama,
andai kau diazab aku tersiksa.
Andai kau dirahmat aku bahagia.

Wahai diri,
pergilah ke Syurga,
hindarkan neraka.

Siddiq Osman

Wednesday, October 07, 2009

Sayembara Puisi Islami 2009


Suka saya menghebahkan Sayembara penulisan puisi Islami yang merupakan acara tahunan sejak beberapa tahun di Group Karyawan Luar Negara kini kembali. Anda yang menuntut di Luar Negara dijemput menghantar puisi Islami anda yang terbaik tahun ini sebelum 31 Januari 2010.

Sila lawati karyawanluarnegara.com

selamat menulis kerana Allah.

Sunday, August 09, 2009

Terkandas

Siang tadi menjawab teka-teki.
Siang tadi menjadi saksi.
Bumi ini menjahit pekerti.

Jawapan tidak!
Memberiku faham duit bukan kuasa.
Memberiku ilham sini tempat ujian.
Kurnia ilahi bernama Iman
membuatku redha takdir ini.

Tidak kali ini,
Datang setelah ku merayu
dengan alasan dengan bantahan.
Tetapi tidak ini begitu kukuh padu.
Rayuku luluh, bantahku patah.

Ku hubung ke rumah khabar kegagalan.
Ku panggil mertua cerita kekalahan.
Mereka bersedih tetapi menyimpan
berselindung sebalik nasihat mengukuhkan.

Goyahku kini bertongkat,
longgarku berikat.
Ayat Tuhan kusandarkan
sebuah keyakinan.
Sesungguhnya selepas susah
ada indah.

Dalam terkandas
nyawaku menghembus pantas.
Wahai diri kau akan pulang.
Menyambung rantai juang.
Bukan terkandas tetapi,
inilah peluang menampung lubang.
Koyak rabak pakaian perang.

Siddiq Osman
9-8-09

Friday, July 31, 2009

Pelajaran Malam Ini.

Aku diajak jadi teman,
sejengkal ziarah akhir.
Aku sahut setuju,
pacuan empat roda menderu.

Jumpa hamba pada TUAN,
kekasih pada ilmu.

Kami berkenalan,
berkisah kecil-kecilan.
Sabar diertikan,
ukhuwah dirincikan,
ubdiyah teras bualan.

Aku sedar ini semua
bicara TUHAN padaku,
sedang aku leka
dan putus asa,
dari rahmat kasihNya.

Pelajaran malam ini
begitu menginsafkan,
aku perlukan TUHAN.

Siddiq Osman
malam berpisah dan berkenalan.

Tuesday, June 09, 2009

Pulang ke Syurga

Pulang ke Syurga.

Kembara itu membawa ragaku.
jiwa menurut kerut
Kalbu bentak retak.

Dalam hujan kutinggalkan hutan.
Ular besi, Burung keluli.
Tibalah aku.
Pantai tiada laut.
Gambut tanpa rumput.
Berdiri atas api.
Panas umpama neraka.

Garuda besi,
jemputlah aku.
Tinggal kenang dan menang.
Bawalah diri.
Melintas India , China dan Jawa.
Aku mahu hutan dan hujan.
Mahu laut dan taut.
Rindu pulau jua bakau.

Duhai Harap, Duhai Mustajab.
dengar dan kabulkan pinta ini.
Izinkan daku,
pulang ke syurga.

Siddiq Osman
merindui Malaysia.

Saturday, May 30, 2009

Mencari Erti Taubat

Malam ini malam jumaat.
Masa ku punggah abjad dari al-Kitab.
Geledah aksara mencari makna.
Buat membunuh alpa jua dosa.

Dalam kulihat rosak dunia.
Kunilai punah buana dan maya.
Diselak aib semua, Tuhan tujukan bicaraNya.
Sedang kamu ingatkan sekaliannya jangan dilupa jiwa sendiri.

Pempam jiwa renyuk rasa.
Takut pedih jua malu memukul raga jiwa.
Keruanku hilang diserap kesal.
Lutut jadi luluh,
pinggang lantas lekang,
kujur tubuh luruh,
dibalut rengkut sujud.

Lantai kehambaan membasah.
Dibanjiri titis insaf.
Hati yang kontang dek api ujub
kini mekar disiram air tawadhuk.
Kini kuerti kenapa al Faruq sukar lelap.
Kufaham apa yang mengekang kornea siddiq.
Jua ku percaya Muhammad bengkak kaki berdiri.
Kerana mereka amat mengamati abjad pada al-Kitab.
Kerana mereka kenal erti taubat.
Sedang aku semut yang cuba mendongak megah
dalam gelap yang kusangka medan dakwah.

Ampun Tuhan, ampuniku.
Aku pacal yang tidak pernah kenal diri.
Tolonglah ampunkan daku.

Friday, May 15, 2009

Takziah pada dunia.

Takziah kuucapkan pada dunia.
Pulangnya seorang serikandi ilmu.
Walau tiada anugerah tanpa segala,
baktimu terbukti pada jiwa.

Anak didikmu berasa bangga.
Ada yang bangga dipulas telinga,
ada ditempeleng, dileter bebel pun sama.
Kami bangga kerana kau sertakan semua dengan kasih.

Takziah pada dunia kuungkapkan.
Hilangnya pendidik tulus, ikhlas dan mulus.
Pernah aku menumpang wira coklat berkilat.
Di persimpangan lampu tanda dikau bertanya lampu itu warna apa?
sedang keadaan begitu dikau pertaruhkan nyawa,
untuk menyuap kami dengan ilmu.

Dimana mungkin guru sepertimu mungkin kami temui?
Takziah pada kami, takziah pada semua.
Tahniah padamu kembali menuntut janjinya.
Ummi Halimatun selamatlah engkau sejahtera di sana.

Siddiq Osman
Mencari nostalgia bersama ummi.

Saturday, May 09, 2009

Aku Pendekar Cinta




Semalam mimpiku datang lagi.
Dia berkata,
duhai pendekar cinta!

Aku keliru membisu,
lalu menjawab.
Aku tiada perkasa.

Serunya bergema,
perkasa beza makna.
Kau perkasa rasa.
Sabar tepu penuh jiwa.

Jeda dan khali memenuh maya.
Sangga kukuh di sisi kulepasi.
Kini aku teguh bagai kersani.
Terpasak pada kaki sendiri.
Akukah?

Mimpiku telah pergi.
Kini tinggal butir-butir koka.
kuusap bersama tutur cinta.
Terasa jiwa mekar perkasa.
Menyerap zat dari penawar bicara.

Kain kasa tertera sabda baginda.
Ku tatap baca,
tiada iman sehingga cinta bagi saudara,
cinta seutuh cinta bagi diri.
Inilah azimat inilah keramat.
Bisikan serapah.

Aku bertanya, mengapa?
Datang suara menyapa.
Sebagai teman, sebagai cermin.
Bisikan hati bergetar, kemana?
Kukatakan pada hati. Akulah kembara itu,
kerana akulah pendekar cinta.

Siddiq Osman
mahu berjuang.

Thursday, May 07, 2009

Saadah Hamba Sangga Kelana.

Puing sahara menyinggah diherdik rimas.
Sepoi tropika diidam diam selama.
Sunnah dunia susunan yang Esa
dirungut bagaikan sama tara.

Sedang sihat dialpa taat,
Kala sakit  maksiat dilupa.
Inilah insan kata terbina lupa.
Hamba berlagak juara.

Resam hamba saadah tegaknya pangku
tawaddhuk, Sujud menjujung izzah.
Bahagia meneguk maghfirah dari bibir
taubat. Derita memerangi jiwa pada tabir
nafsu, iblis jua dunia.

Insan itu resamnya hamba.
Ingkar pilihan derita, Patuh tiada hina.
Menjadi hamba bukanlah kudung jiwa.
Mengukir taqwa pada rasa, memahat iman pada kerja.
Hati berbunga sepanjang kelana,
berkasihkan Khalil agong setiaNya.

Saadah lantai yang mengatur kembara.
Tunduknya lembayung  meredup nestapa.
Puing sahara diramah mesra,
Sepoi tropika digamit manja.
Rima aksara menolak alpa, diisi benak
minda terbuka. Mushaf sakti jadi gembala nyawa.
Jalan Nabi kejora asa.

Luluh sudah pendurja manusia.
Andai ikhlas menyangga setiap perkara.
Dalam kelana dunia ke syurga.

Siddiq Osman
mendamba saadah.

Saturday, May 02, 2009

Pulang kerana Cinta

Datar ini gersang rekah
menanti hujan hidayah.
Lembah ini kontang kusam
dibakar api dosa semalam.

Aku musafir di sini
meniti daerah sepi mencari,
tercari-cari diri sendiri.
Agar, bisa ku bawa pulang.

Ramai sudah pulang,
ada teman ada saudara
seteru pun sama. Ada
yang pulang kerana damba,
bagai pungguk rindu purnama.
jua pulang kerana takut,
bagai menikus di sangkar kucing.

Tetapi aku yang mencari aku,
mahu pulang kerana cinta.
Meminta redha meminta dicinta.
Sekalipun kuyakin cintaku ini hanya
cebisan dari kurnia cintaMu.
Aku tetap mahu pulang kepadaMu dengan cinta,
kerana cinta.

Sudah seribu satu rayu kumungkiri.
Sudah bersimpang tujuh puluh aturan kaki,
namun janganlah Kau campakkan kecewa,
jangan pula hapus asa dan biarlah citraku mekar
dibakar sinar cintaMu. Aku tahu Kau mahukan kepulanganku.
Aku tahu Kau rindukan rayuku.
Pulanglah aku kerana cintaMu.
Selamatlah diri wahai aku.

Siddiq Osman
meneliti taubat adam.

Friday, April 10, 2009

Wizurai dan Wuzara'

Setelah dua bukit utara ditawan
wizurai rakyat kian menawan,
Sinar wuzara' pun dilancar.

Walau aku jelata nista,
tiadalah bodoh untuk terima
kata rakyat iring dinama.

Kabinet rakyat konon bicara,
entah apa kan menimpa.
Enam yang hampir jahanam,
dijunjung tanggung amanah.
Rakyat tiada pernah serta.

Jika benar untuk rakyat,
jika sungguh ikhlas niat,
jika tulus mahu khidmat,
hapuskan derita umat.
Pimpin dunia untuk akhirat.

Rakyat tiada campur wuzara' baru.
Jelata tahu apa mereka mahu.
Wizurai sedang siaga kuburkan wuzara'
dalam wabak haloba.

Kabinet baru bukan milik rakyat.
Kabinet ini sarang pengkhianat.
Hipokrasi jadi azimat.
Tertipu sendiri perasan hebat.

Siddiq Osman.
Jelata lagi nista.

Tuesday, March 03, 2009

Matahari Alam.

Kelam malam berarak hilang.
Suria tamadun menjengah terang.
Benua Arab meriah riang.
Buana semua syukur girang.

Suria ini bukan mentari sebarang.
Cahayanya abadi siang dan malam.
Cerah seluruh alam.
Maya yang tandus kembali subur.

Sinar gemilang dari bukit cahaya.
Malaikat mulia bawa berita.
Hira' jadi gerbang langit.
Mengikat bumi dengan risalah.

Kala insan bagai haiwan.
Kau muncul bawa seruan.
Mengangkat manusiawi memimpin jagat.
Dari kota pelita menakluk Timur dan barat.

Wahai nabi lahirmu bagai menyeri mentari.
Menyuluh batin maknawi alam.
Menyalur rahmat sekalian ummat.
Wahai nabi sungguhlah engkau Muhammad
yang dipuji sampai kiamat.

Siddiq Osman
7 Rabiul Awal 1430 Hijrah
Tahun Ghaza

Friday, January 30, 2009

Anak-anak Ghaza Ajarkan!!

Anak-anak Ghaza ajarlah kami,
bagaimana kalian gunakan batu?
kerana anak-anak kami menjadikan batu mainan.
Bagaimana kalian tenang dibom?
Sedang kami meronta di khatan.

Anak-anak Ghaza ajarlah kami,
apa erti lapar?
sedang kami merengek lauk tak cukup garam.
Apa nikmat air ?
 Semasa kami mencari kola sejuk dari peti.

Anak-anak Ghaza ajarlah kami.
berdoa dalam Khusyu'.
Sedang atuk-atuk kami berdangdut sampai pagi.
bagaimana percaya pada tuhan?
kerana kami jarang ke masjid.

Anak-anak Ghaza ajarlah kami.
hidup untuk mati.
Kerana kami jaranng kenal ajal.
Bagaimana ingin senyum tika jadi mayat?
kerana mayat di sini selalu jadi kelat.

Siddiq  Osman.
30 januari 2009
merindukan khalifah Mu'tasim.

Wednesday, January 07, 2009

Ghazal untuk Ghazzah.

Di sini, tanah tiada debu.
Darah sudah harum,
dentuman bagai kicauan burung.

Batu jadi peluru, wildan jadi tentera.
Kebun epal kini kubu,
lopakan bom dulu ladang zaitun.
Inilah lukisan mereka, anak cucu
khinzir dan kera.

Aku bertanya dosa apa,
hakikatnya pahala berganda.

Saat mataku mendengar cerita mereka,
Kala telingaku membaca angkara mereka.
Tanganku betah mengesat air mata.
Hatiku membara luka terhina.

Adikku dibom, kakakku ditembak,
bapa saudaraku diburu.
Aku hanya mampu di sini sumbat karya
dengan pena. Masih riuh di sana anak bangsaku.
Terkinja mabuk ganja, terlolong nyanyikan bahagia.
Hidonisme telah meresap racuni segala.

Kala itu ada yang cacat bicara.
Maki Bangsa Nabi. Hina mereka.
Aku di sini bersama mereka, lihat derita
mereka. Rasa perit mereka, dengar tangis semua.
Arab bukan seperti kita.
Mereka berduka mereka merana.
Sayang mereka juga terkurung. di alam
sangkar jajahan purbakala. Batas lutsinar
mekar memenjara.

Aku dapat hidu masa bakal tiba.
Ada bau merdeka, ada aroma bahagia.
Ya kini aku lihat!
Ghazzah sudah jadi gerbang ke syurga.
Selamat berangkat, tahniah ruh merdeka.

Yang masih di sini carilah sebidang tanah.
Semaikan benih pohon-pohon syurga.
Agar berbuah ruh jihad, moga tertunas
pucuk baru bergelar daulah.
Ghazzah kubu terindah sebidang mujahadah.

Siddiq Osman
Hari ke 12 Ghazzah dikepung.

Tuesday, January 06, 2009

Ghazza Kubu Terulung.

27 Disember 2008 langit ghazza berwarna warni oleh bom bom udara yang mengerikan. Siangnya lantai ghazza berpalit darah merah syuhada Ghazza. BInatang berseragam Israel menunggang dajal-dajal mereka mempamerkan kebinatangan sebenar yang dipendam dengan penuh resah dan payah selama ini.

Hari ini 6 Januari 2008 sudah 4 hari Ghazza di kepung melalui jalan darat. Sudah hampir 600 orang syahid dan hampir 3000 cedera, tetapi majoritinya adalah golongan yang tiada helah upaya. Kanak-kanak dan wanita. Kini mereka yang muncul di kaca televisyen terbahagi kepada dua; penutur kemanusiaan atau musuh Allah. Ghazza umpama penjara berperiuk api. Di mana-mana maut akan menjemput. Ditambah dengan pagar yang menyekat sebarang bantuan dari penyimpati dari luar. 

Hayy Zaitun, Jabaliyaa, Hayy Tufah. Dair Al Balah, Rafah, menjadi benteng kemas HAMAS dan Saraya Al Quds menjaga penghuni ghazza. sehingga hari ini tentera Israel masih enggan mengaku mereka sedang membunuh jiwa tiada berdosa. Alasan lapuk Amerika ketika menyerbu Afghanistan dan Iraq diulang pakai. Negara Arab sibuk dengan persidangan demi persidangan. Seluruh Umat Islam tenggelam dalam doa dan marah dengan pemimpin yang penakut. Rata-rata umat Islam menganjurkan tunjuk perasaan.

Fatah, Di mana Fatah yang sibuk ingin merebt kuasa dari HAMAS tempoh hari? Owh mereka sibuk memantau penunjuk perasaan, oh, bukan memanta tetapi menyuraikan tunjuk perasaan. Menurut sumber yang boleh dipercayai di sini. Polis Palestin terpaksa membelasah beberapa penunjuk perasaan yang enggan bersrai di luar ghazza kerana perhimpunan itu tiada permit.

Pembaca sekalian! sudahkah kalian puas menyambut tahun baru? sudah tamatkah perayaan countdown? apa lagi perayaan terdekat ini? esok adalah hari asyuraa. marilah sama sama kita berpuasa, beristighfar dan berdoa kepada Allah supaya HAMAS diberi kekuatan tetap langkah mereka. Kelurkanlah sedikit dari simpanan kalian untuk jalan Allah ini. Inilah peluang untuk infaq di jalan Allah.

Rakyat Ghazza sudah tidak mahu meminta pada kalian. Mereka sudah tidak percaya dengan janji manusia. Kini mereka hanya faham satu ayat "Cukuplah Allah bagi kami sebagai tempat bergantung." Ingat kita bukan membantu orang lain. Kita membantu diri kita sendiri. kerana Ghazza kubu kita yang terakhir.

saya akan menulis sehingga ghazza damai. Insya ALlAh.

Saturday, November 01, 2008

Puisi suara hati.

Kelam, cahaya hilang.
Bisikan ilham menancap akal.
hatiku bergetar menimbang,
kata dicari ucap dinanti.
antara guru dan buku
kusatukan di sudut kalbu.
terpancul suara kurasakan
namanya puisi.

siddiq Osman
Pentas Duniaku.

5:46 AM

Wednesday, October 22, 2008

Menghirup Damai.

Bayu manis berlegar di pantai
ombak ceria riak di laut.
Olek hatiku terusik
bahagia menyerbu minda.

Pelepah nyiur alun tenang
ke kiri ke kanan bagai menari.
Damai sungguh.
Walau ada kerut rekah di wajah.
Tafsirannya hanya bahagia.

Inilah getusan cinta.
Baru kuerti penangannya.
Segera disentak lembaran mulia.
Agar rasa dijiwa tiada dosa.

Kuikhlaskan apa di jiwa.
Biar rasa tidak binasa.
Kuteguhkan segala cita
jangan larut dicair cinta.
Sungguh aku sedang
benar menghirup damai
di pantai rumah tangga.

Siddiq Osman.

Saturday, August 09, 2008

Wira Palestina.


Allahu Akbar! lantunan bergema.
Buku-buku lima dijulang ke udara.
Bukan simbol kebencian, bukan
lambang dendam, bukan juga
mercu keganasan. Penafian
sebarang kedayusan, kebaculan
bagai dubuk kepada nusa.

Menjadi wira Al Quds, beerti:
Memperjuangkan agama.
Berakhlak pendukung takwa.
Kenal apa yang dijulang.
Kenal tangan yang bersalam.
Waspada kupang yang dibelanja.
Pendoa kecekalan saudara.

Wira Palestina, bukan semata:
Menjejak tanahnya, melancar peluru dan batu.
Harus mati di keliling Al-Aqsa.
Memacak bendera empat warna.
Tetapi,
Wira Palestina juga melahirkan anak sejuta.
Menulis memuji jihad mereka.
Mengemis ubatan mereka.
Menutup aurat mereka.
Merintih di malam sepi dengan airmata.

Wira Palestina bertebaran di mana-mana.
Berkongsi cita, cinta dan sengketa.
Bersama mencicip duka.
Bersama mendoa Syurga.
Jadilah Wira Palestina.

Sunday, July 27, 2008

Kerajaan Di Hati

Pyzam Family Sticker Toy

Kerajaan Di Hati.

Rajanya mengait langit memayung rakyat.

Rakyat berteduh bawah awan kasih.

Raja menakung keringat menyemai berkat.

Rakyat mekar mengembang hormat.

Permaisuri menjalin tirai cinta,

melapis negara dari bahang sengketa.

Menyulam selimut bahagia ribu warna,

membungkus jelata dari beku derita.

Harta negara dikongsi rata.

Tika kemarau sama berpuasa.

Kala hujan sepakat merasa.

Membulat kata membola suara.

Berpadu jiwa berkongsi rasa.

Kerajaan di hati negara di jiwa.

Doaku pinta kekal selama.

Abadi di dunia bersama di syurga.

Kerajaanku sedang dibina,

menunggu puteri menjunjung atma.

Siddiq Osman.

28 Julai 2008

Malam-malam sunyi.