Say no to Israel

Say no to Israel
Say Yes to Plaestine

Wednesday, December 31, 2008

fenomena maal hijrah

Samada sedar atau tidak sedar, barangkali kita terlupa atau kurang infomasi mengenai satu fenomena besar yang berlaku ditahun 2008. Barangkali inilah fenomena yang terakhir kita lalui sepanjang hayat hidup kita.

1. 01 JANUARI - 09 JANUARI, 2008 kita berada ditahun 1428 Hijriah.
2. 10 JANUARI - 28 DISEMBER 2008 kita berada ditahun 1429 Hijriah.
3. 29 DISEMBER - 31 DISEMBER 2008 kita berada ditahun 1430 Hijriah.

Ini bermakna kita telah melalui 3 tahun Hijriah dalam 1 tahun Masihi. Fenomena ini hanya berlaku sekali dlm tempoh 100 tahun. Walaupun fenomena ini tidak memberi impak yg begitu besar kepada kita, seharusnya kita bersyukur kerana kita diberi peluang untuk melaluinya.

aya kongsi dari grup pewaris.

Tuesday, December 30, 2008

jom pakat pikiaq

Berfikirlah
Diterjemahkan dari kitab mukashafatul Qulub Imam Al Ghazali
Oleh : Siddiq Osman.

Allah telah menyuruh supaya befikir dan bertadabbur di dalam Al-Quran dalam bilangan yang terlalu banyak untuk dihitung seperti firman Allah:
Maknanya :
Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi serta perbezaan siang dan malam serta kapal kapal yang belayar di lautan dengan apa yang Allah kurniakan kepada manusia berserta apa yang Allah turunkan dari langit, dari air lalu Allah menghidupkan dengannya bumi setelah kematiannya, dan Allah tebarkan padanya makhluk dan Allah menukar perubahan angin dan awan yang memudahkan antara langit dan bumi merupakan bukti-bukti bagi golongan yang berfikir. Al-Baqarah : 164.

Begitu juga firman Allah:
Maknanya:
Dan Dialah yang telah jadikan malam dan siang berbeza bagi siapa yang ingin berzikir atau bersyukur. Al – Furqan :62

Alangkah indahnya perkataan penyair:

Wahai yang meniduri malam bergembiralah di awalnya,
Sesungguhnya perbualan akan datang mengetuk di tengah malam.
Janganlah bergembira dengan malam baik di awalnya,
Maka mungkin akhir malam akan menyalakan api.

Manakala penyair lain mengatakan:

Sesungguhnya malam itu lembah bagi manusia
Bertambah dan berkurang umur manusia dihitung dengannya dan siang.
Singkatlah malam bersama kebimbangan mereka yang tua,
Panjanglah malam dengan keseronokan yang masih muda.

Allah memuji golongan yang berfikir dalam firmanNya:

Makanya:
Mereka yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri dan duduk serta berbaring dan mereka yang berfikir pada penciptaan langit dan bumi,( lalu berkata) Tuhan kami tidaklah Kau jadikan semua ini sia-sia maha suci Engkau maka jauhkanlah kami dari azab neraka. Ali Imran :191

Pernah Ibnu Abbas menceritakan kepada Nabi sallahu alaihi wassalam, bahawa ada suatu golongan berfikir tentang Allah; lalu baginda Nabi Salallahu Alaihi wassalam bersabda: berfikirlah pada ciptaan Allah dan janganlah berfikir tentang zat Allah, maka sesungguhnya kamu takkan mampu menanggungnya. Diriwayatkan oleh Al Baihaqi dan Tabrani.

Diriwayatkan oleh Atho’ katanya: suatu hari aku bersama Ubaid ibn Umair pergi menziarahi Aisyah Radhia Allahu Anha, kami berbual dan di antara kami dan dia ada hijab. Beliau berkata: Wahai Ubaid ! kenapa lama tidak berkunjung ke mari? Berkata Ubaid: Rasulullah Salallahu alaihi wasallam bersabda: jarakkan ziarah ia akan menambah mahabbah. Ibnu Umair menambah lagi : ceritakanlah kepada kami keajaiban-keajaiban yang telah dilihatmu pada rasulullah. Lalu Aisyah menangis seraya berkata: setiap apa yang dilakukannya adalah keajaiban, pada suatu malam baginda mendatangi aku sehingga tersentuh kulitnya dan kulitku . kemudian baginda bersabda: biarkan aku mengabdikan diri pada Tuhanku Azza Wajalla. Lalu baginda bangun dan mengangkat wudhu’ lalu bersolat seraya menangis sehingga basah janggutnya kemudian baginda sujud sehingga basah tanah, setelah itu baginda berbaring mengiring sehinggalah datang Bilal radhiaAllahu anhu untuk melaungkan azan subuh, lalu Bilal bertanya: Apakah yang membuatkan engkau menangis sedangkan telah diampun dosamu yang terdahulu mahupun yang akan datang? Rasulullah bersabda: Semoga Allah mengasihani kamu wahai Bilal! Apakah yang menghalang aku dari menangis setelah Allah menurunkan pada aku malam ini firman Allah:
Maknanya:
Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi serta perbezaan siang dan malam itu ada bukti-bukti bagi orang-orang yang berfikir. Ali Imran : 190
Kemudian baginda bersabda: celakalah bagi mereka yang membacanya tetapi tidak befikir mengenainya. Hadith riwayat ibnu Hibban.

Pernah ditanya pada Auza’i : Apakah tujuan berfikir mengenainya? Auza’i menjawab : membacanya dan mengamatinya.

Muhammad ibnu Wasi’ meriwayatkan ada seorang lelaki dari Basrah datang bertemu Ummu Zar selepas kewafatan Abu Zar, lalu bertanya lelaki itu pada Ummu zar mengenai ibadah Abu Zar. Berkata Ummu Zar: Beliau kerap menghabiskan siangnya di suatu sudut rumah dan berfikir.

Diriwayatkan dari Imam Hassan Al Basri: berfikir suatu masa lebih baik dari qiyamullail.

Diriwayatkan dari Imam Fudhail: berfikir itu cermin menampakkan padamu kebaikanmu dan kejahatanmu.

Seoarang berkata kepada Ibrahim Adham: sesungguhnya engkau berfikiran panjang. Dia menjawab: fikiran itu otak kepada akal.

Imam Sufyan ibn Uyainah sering mengulangkan bait syair yang bermaksud:

Jika seseorang itu punyai fikiran,
Maka pada setiap sesuatu itu baginya pengajaran.

Diriwayatkan dari Towus katanya: bertanya hawariyun kepada nabi Isa Alaihissalam : Wahai Ruh Allah, apakah di atas muka bumi pada hari ini orang yang seperti kamu? Nabi Isa bersabda: ya, siapa yang bicaranya adalah zikir, diamnya adalah fikir, pandangannya adalah pengajaran, maka dia itu seperti aku.

Berkata Imam Al Hassan : barang siapa percakapannya tiada hikmah maka dia adalah lagha,dan barang siapa yang diam dia bukan berfikir maka dia telah cuai,dan barangsiapa yang tidak mendapat pengajaran dari apa yang dilihat maka dia telah leka.

Allah berfirman:

Maknanya:
Aku akan mengubah dari ayat-ayatku mereka yang takabbur di muka bumi dengan tiada hak, jika mereka melihat setiap bukti mereka tidak beriman dengannya dan jika mereka melihat jalan petunjuk mereka tidak mengambilnya tetapi apabila mereka melihat jalan kesesatan mereka akan melaluinya, yang demikian itu kerana mereka telah mendustakan ayat-ayatku dan mereka lalai terhadapnya. Al – A’raf :146

Maka dengan petikan-petikan nas di atas dapatlah kita simpulkan Islam sangat memandang berat kepada berfikir dan mengamati setiap sesuatu yang berlaku. Kita sebagai Muslim semestinya tidak lari dari menjadi seorang yang berfikir dan belajar dari apa yang berlaku di sekeliling kita. Allah mengajar orang yang beriman agar menilai semua perkara itu dalam neraca tauhid yang mengukuhkan keyakinan kita bahawa Allahlah yang mengatur segala sesuatu dan hanya Allahlah yang mampu memberi pertolongan. Dari berfikir dan mengamati kejadian alam maka sewajarnya kita semakin mendekatkan diri kepada Allah dalam keadaan takut dan berasa kerdil menjadi hambaNya.

Berfikirlah kerana berfikir itu menyegarkan Iman. Saya menyeru diri saya dan semua pembaca agar kembali menerokai bidang ilmu dengan lebih serius supaya kita tergolong dalam golongan yang Allah sebut dalam frmannya yang bermaksud:

Sesungguhnya tiadalah yang lebih takut pada Allah dari kalangan hambanya melainkan orang-orang yang berilmu.

Saya sudahi dengan doa agar Allah menjadikan kita Ahlul Albab yang mendapat rahmat serta kasih sayang dariNya.

Thursday, December 18, 2008

Penulis Mukhlis.


Sengaja saya menulis entri sebegini kali ini. supaya kita bloggers dapat melihat diri kita dan karya kita. apabila sebut mukhlis maka di sini bukan karya yang dinilai tetapi pengkarya yang dibahaskan.

ya, kenapa kita menulis adalah satu soalan tunjang yang akan berakar darinya soalan soalan lain. Di sana ada sebab ada alasan dan juga ada matlamat. kalau ketiga perkara ini bersatu dalam satu jalur yang lurus alhamdulillah. tetapi jika ada selekoh yang menghijab eloklah kita nilai semula nilaian mana lebih elok. jika sebab alasan dan matlamat kita adalah mendapat keredhaan Allah maka tak perlulah entri ini ditatap lagi. tetapi jika sebaliknya ingin saya bertanya sejauh mana perkara lain bakal membahagiakan kita?

jika kita menghasilkan sesuatu kerana nama. apakah anda merasa semua makhluk di dunia ini menyukai bidang yang kita ceburi? dan apakah bidang yang kita ceburi ini dipandang oleh mereka sebagai yang baik baik?

jika kita menulis kerana duit. Apakah duit kita itu akan menjamin kita makan esok atau sebentar nanti? cuba anda bawa duit ke kutub utara apakah nilainya. atau anda simpan duit anda gunakan pada 30 tahun nanti. akankah anda hidup sampai kala itu?

tiada apa yang akan kekal melainkan Allah dan tiada yang lebih bahagia melainkan mendapat redaNya.

penulis mukhlis adalah mereka yang menulis bahasa jiwa dan hati mereka. mereka menyampaikan apa yang menyampaikan pembaca kepada tuhan. penulis mukhlis halus karya mereka. penulis mukhlis tekun kerja mereka. kerana mereka mempersembahkan kepada Raja yang Maha Agung.

menjadi penulis mukhlis takkan pernah mendapat gelaran itu. sehinggalah kita mati barulah makhluk di dunia ini akan Allah khabarkan kita adalah penulis mukhlis. selagi kita hidup ini adalah anugerah rahsia dari langit. Jibril pun tidak tahu.

sekarang kita soal hati kita. siapa kita? penulis melayu? penulis blog? penulis muslim? penulis mukhlis>? jumpa lagi dalam muhasabah penulis yang lain.

Tuesday, December 16, 2008

Penulis Muslim.


saya bertanya kenapa pengkaji muslim jarang menonjol ke mana karya mereka? setelah saya melihat dan mencari rupanya beribu karya agung penulis muslim tetapi sayang saya hanya dapat membaca karya itu dalam bahasa arab. terlalu sedikit golongan yang bertungkus lumus menerjemahkan karya karya ini dalam bahasa melayu.

saya yakin kalau adapun karya dari mereka amatlah mahal untuk dijadikan milik peribadi. contohnya terjemahan tafsir al munir yang hampir menceca seribu ringgit. apakah mampu seorang yang bergelar pelajar aliran islam memiliki kitab itu sebagai rujukan dan bacaan? sdah tentulah boleh dengan berebut kitab itu dengan jumlah yang terhad di perpustakaan kolej mereka. itupun jika ada. selayaknya kita dalam negara yang mewar-warkan modal insan dan juga islam hadhari mendapat subsidi yang besar untuk menterjemahkan karya karya ulung seperti tafsir dan syarah hadis.

belum lagi kita melihat harga yang bakal ditawarkan bagi penerjemahan qanun fi tubb karya ibnu sina. sudah tentu diterbitkan dengan harga yang menggila. kerana pembacanya dari kalangan pengamal perubatan yang merupakan golongan dianggap berada.

saya menyeru penganggur penganggur yang keluar dari tanah arab kembali kepada kotak kotak kitab yang mereka tinggalkan semasa mereka tiba di tanah air. buka kotak tersebut mulakan kajian. ceritakan tentang keilmuan yang terselindung dari pengetahuan muslim melayu. bedah buku buku itu bahaskan. gabungkan dengan kitab kitab jawi yang menjadi warisan ulama melayu sejak berzaman.

kembalikan ketamadunan islam nusantara ke persada dunia penulisan dan pengetahuan. sedarlah jika kita mahukan dunia maka dengan ilmu dunia itu muncul, jika kita rindukan akhirat maka dengan ilmu kita akan kembali. jika kita mahukan keduanya juga dengan ilmu barulah keduanya bercantum.

berhentilah menjual sijil di meja meja temuduga. kembali kepada ilmu dan jadilah muslim yang kendiri. yang hidup mulia dengan ilmu dan zuhud dalam urusan dunia. saya menyeru diri saya dan semua pembaca blog ini agar kembalikan himmah muslim yang selayaknya kita pertahankan dan perjuangkan islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi.

Saturday, December 06, 2008

dan malam malam yang sepuluh.

Besok semua manusia di muka bumi ini diberi satu peluang yang sangat besar oleh Allah ganjaran yang takkan dapat di hari lain selain esok dalam setiap tahun. Aku ingin berkongsi dalam blog ni tentang hari yang mana seluruh manusia ditawarkan pengampunan dan pengecualian dari api neraka.

celakalah sapapun yang esok mereka tak dapat sedikitpun keampunan. 9 zulhijjah patutnya dinantikan dengan istighfar dan dilalui dengan taubat. dosa dosa diingati dan dikesali.

Monday, December 01, 2008

penyertaan sayembara puisi Islami

sayembara puisi islami GKLN diperpanjangkan lagi tempohnya ini bagi memberi laluan pada peserta peserta yang berkaliber dalam medan penulisan puisi menyertainya.

apapun posting kali ini saya ingin menceritakan ttg 3 puisi yang mewakili puisi islami Siddiq Osman dalam sayembara berikut.

puisi pertama.

tajuk :genggaman hidayah.
tema : peristiwa di akhir zaman.

huraian. puisi ini saya karang bagi menceritakan ada dua golongan di akhir zaman. dan perihal mereka. serta bagaimana ingin berada dalam golongan terbaik.

dalam seni: saya membuat experimen menggunakan rima yang sama dalam setiap akhir baris puisi. saya juga menghentikan beberapa baris menurut lenggok irama sedang maknanya belum tamat sepenuhnya pada baris itu.
saya berusaha untuk memilih kata kata yang paling tepat dalam kesempitan skop rima saya, serta mengelak sebarang pengulangan yang tidak mesti. namun batas yang saya bina ini mungkin menjadi batu penghalang untuk karya ini dinilai dengan terbuka maka saya letakkannya di tangga pertama iaitu paling lemah antara 3 yang terbaik dari karya saya.

kedua:
tajuk: lukisan tauhid.
tema : mengajak kepada melihat sifat Allah dalam kitab alam.

huraian: Alalm ini adalah jelmaan dari keperibadian Tuhan yang maha agung kita diciptakan untuk membacanya dan menghargainya. boleh dikatakan setiap sesuatu dalam alam ini dijadikan untuk manusia secara langsung atau bukan. tetapi manusia selalu lupa dan leka.

seni bahasa: saya bermain falsafah dari pemikiran said nursiy di dalamnya. saya juga menggunakan perumpamaan yang pelbagai dalam menyatakan falsafah yang berat. saya sengaja memilih kata kata mudah yang pernah didengar tetapi mungkin dalam imbuhan yang susah.
saya merasakan puisi ini perlukan pembacaan yang lama untuk difahami oleh org lain. jadi saya merasakan itu kelemahan penghuraian saya terhadap perkara yang berat dan besar. jadi saya merasakan ini juga bukanlah yang terbaik.

ketiga:
tajuk: Syahid mihrab madinah.
tema : kisah hidup saidina Umar

huraian: kisah ini bermula dari umar masuk islam. sehinggalah dia wafat. menyentuh ttg peristiwa peristiwa besar dalam hidupnya.

seni bhs: saya mengumpulkan bahasa bahasa mudah yang saya rasa cantik, serta menyimpulkan dalam gaya bahasa paling ringkas bagi memuatkan jalan cerita yang jelas. saya menampilkan beberapa peribadi umar yang terang dalam puisi ini dengan had perkataan yang sempit.
saya merasakan kalaupun puisi saya tidak begitu cantik tetapi perjalanan hidup Umar yang menarik itu menyebabkan saya rasa inilah puisi saya yang terbaik dari yang di atas.

kenapa saya bercerita ttg puisi saya tanpa meletakkannya di sini? pertama saya ingin menceritakan bagaimana saya merangka sebuah puisi. 2 saya berharap puisi kali ini menjadi lonjakan kepada perubahan yang ketara dalam hidup penulisan puisi saya. mungkin jika saya tulis di sini akan ada org yang layak dan ingin berkongsi boleh komen di bawah.

doakan kejayaan saya ya!

puisi kedua

Thursday, November 27, 2008

ke mana saya menghilang.

Assalamualaikum.

pertama sekali maaf kerana jarang sangat muncul di rumah sendiri. Kedua entri kali ini akan kita bicarakan aktiviti saya semenjak tidak menulis blog beberapa sengkang masa. Sebenarnya kita masih menulis untuk majalah persatuan dan juga sayembara puisi islami sampai hari ini masih mencari satu lagi puisi islam untuk dipertandingkan.

sejak pergi berkelah tempoh hari banyak peristiwa yang menghalang proses penulisan. Alasan yang paling tulus adalah malas, diikuti dengan alasan alasan lain seperti sibuk dan banyak hal lain. sebenarnya blog ini kini menjadi alasan paling kuat saya berinternet. berbanding dulu, blogging hanyalah aktiviti sampingan saya di internet. banyak kerja lain dilakukan di samping blog. tetapi kini hanya kerana blog barulah saya surf internet.

seterusnya baru baru ini rumah kami dirompak oleh penyamun yang tidak bertarbus tapi telah menyusutkan aset peribadi, keluarga dan seluruh rumah sewa saya. dengan kesedihan itulah saya lagi kehilangan idea untuk menulis.

sejak akhir akhir ini saya kembali belajar bermain badminton yang menjadi pemain paling tidak digemari sejak zaman kanak kanak lagi tetapi oleh kerana semangat kesukanan yang terhad saya terpaksa belajar bermain badminton semula biarpun dikalahkan oleh azeem mengikut cara kiraannya sendiri 41-27. saya pun tak tahu sejak bila BAM buat sistem kiraan begitu.

doakan saya untuk sayembara puisi islami, yang ingin bersaing dengan saya sabar ya masih belum cukup combo saya. lagi satu insya Allah 29 november akan saya kirim ke admin pertandingan.

Cek Yah : link ke sana trpaksa digantung untuk sementara bagi mengelakkan soalan cepu emas dan laporan yang tak disukai.

Wednesday, November 05, 2008

Saya Cabar Anda!!!

lagi 20 hari lagi sayembara puisi Islami GKLN akan tutup. saya cabar anda brsaing dengan saya dalam sayembara ini. kita tngok siapa yang paling baik puisinya yang paling bijak mnghurai Prmasalahan ummah.

jom baca praturan dan syarat2 di sini. selagi masa masih ada. jangan simpan karya anda untuk seronok sndiri. mari kita nilai karya kita.

Saturday, November 01, 2008

Puisi suara hati.

Kelam, cahaya hilang.
Bisikan ilham menancap akal.
hatiku bergetar menimbang,
kata dicari ucap dinanti.
antara guru dan buku
kusatukan di sudut kalbu.
terpancul suara kurasakan
namanya puisi.

siddiq Osman
Pentas Duniaku.

5:46 AM

Friday, October 24, 2008

menulis puisi?

Bismillahirrahmanirrahim.

sebenarnya aku bukanlah penulis yang layak dirujuk tetapi oleh kerana ada pra peminat puisi ingin saranan maka harap coretan yang sedikit ini dapat membantu.

Menulis puisi adalah menceritakan sesuatu melalui perasaan yang halus supaya ia sampai ke lubuk hati. Puisi bukanlah seperti yang ramai manusia anggap. Puisi tidak semestinya suspense, misteri atau sukar difahami. Tetapi puisi itu seharusnya berkias, singkat perkataannya, tunggal tema utamanya dan cantik perenggannya.

Aku tidak tahu jika ada yg berpendapat puisi ini bukan mainan ilmuan. Atau puisi ini hanya untuk berpacaran atau mereka yang suka berangan. Orang arab asalnya menganggap pujangga pujangga mereka adalah raja kerana bagi mereka tukang tukang syairlah cendiakawan yang terhebat. Kerana mereka mampu menyatakan sesuatu terus kepada hati lalu menjentik emosi.

Jadi jangan hanya meletakkan cinta dan asmara sebagai tema berpuisi kerana yang sebenarnya puisi ini medan penyebaran ilmu yang padat dan sendat.

menulis puisi adalah menyusun kata kata cantik dalam perenggan2 yang terdiri dari baris baris pendek. Imbuhan sangat mengganggu keabsahan sebuah puisi. kata berganda hanya bagi menjaga makna yang tidak ada jalan lain. tanda baca akan memandu org lain membaca puisi kita dengn nada yang kita mahu.

keistimewaan puisi adalah tema yang sama tetapi membuka kefahaman yang pelbagai dalam ayat yang satu.

sekadar ini dahulu.

Wednesday, October 22, 2008

Menghirup Damai.

Bayu manis berlegar di pantai
ombak ceria riak di laut.
Olek hatiku terusik
bahagia menyerbu minda.

Pelepah nyiur alun tenang
ke kiri ke kanan bagai menari.
Damai sungguh.
Walau ada kerut rekah di wajah.
Tafsirannya hanya bahagia.

Inilah getusan cinta.
Baru kuerti penangannya.
Segera disentak lembaran mulia.
Agar rasa dijiwa tiada dosa.

Kuikhlaskan apa di jiwa.
Biar rasa tidak binasa.
Kuteguhkan segala cita
jangan larut dicair cinta.
Sungguh aku sedang
benar menghirup damai
di pantai rumah tangga.

Siddiq Osman.

Monday, October 20, 2008

krisis nilai


Krisis Nilai Satu Kekeliruan Atau Kerosakan.
Oleh: Siddiq Osman

Dunia ini sering melalui proses perubahan dan peredaran zaman. Setiap kali zaman bertukar pemikiran dan idealisme juga akan bertukar. Bahkan gaya hidup juga berubah. Dari cara berpakaian hinggalah cara pentadbiran. Dalam perubahan-perubahan ini akan diutuskan wahyu untuk membimbing dan memacu umat manusia agar tidak berlabuh di pantai kebinasaan.

Allah menyebut dengan megah “Acuan (nilaian) Allah, dan siapakah lebih baik acuannya (nilaiannya) dari Allah.” Dari ayat ini kita harus memahami di sana ada dua bahagian besar penilaian. Satu menepati neraca Allah satu lagi selain darinya. Jadi ayat ini seperti menafsirkan satu ayat lain yang bermaksud “Barangsiapa yang mencari selain Islam sebuah jalan hidup maka takkan diterima darinya.” Dalam dua ayat ini maka jelas bagi kita apa jua atau ke mana sekalipun masa berubah hanya Islam dan terasnya yang menjadi kayu ukur bagi kita.

Kini kita seringkali mendengar tentang sogokan globalisasi dan dunia terbuka. Seolah-olah idea ini baru pertama kali dicetuskan dalam perubahan zaman. Bush dengan angkuhnya menyatakan “bersama kami atau menentang kami.” Keangkuhan ini terhasil dengan kezaliman yang banyak dilakukannya. Sedangkan idea globalisasi adalah keistimewaan ajaran Islam yang semakin terbenam oleh rimbunan buih-buih umat yang hilang pegangannya terhadap Islam. Islam yang sememangnya merupakan rahmat kepada seluruh alam seperti firman Allah “ Tidaklah Kami mengutuskanmu melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam.” Namun siapa dikalangan kita melihat bahawa seruan ini merupakan perjuangan rasulullah dari saat kerasulan hinggalah hembusan nafasnya yang terakhir. Sehingga ajalnya baginda menyebut “Umatku, umatku, umatku.” Baginda juga bersabda “Aku akan memerangi manusia sehingga mereka menyatakan tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah.”

Tetapi perkataan alamiyah kita hanya gunakan dan terjemahkan kepada makna antarabangsa atau englishnya International. Sedangkan kalimah lebih tepat bagi terjemahan itu adalah duwaliyah. Alami adalah cita-cita Islam. Mengawal dan mengatur dunia inilah merupakan cita-cita sebenar Islam. Kerana kefahaman inilah Rasul mengutus bala tentera menyerang Rom sedang baginda dalam keadaan gering. Apakah Islam menyerang Rom untuk meruntuhkan empayar itu? Atau apakah untuk merompak kekayaan empayar itu? Pastilah bukan kerana baginda sendiri sedang menanti ajal. Ini tidak lain dan tidak bukan melainkan untuk meluaskan ruang keadilan dan rahmat yang dihidangkan dalam Islam kepada penduduk muka bumi ini. Sewaktu itu apakah Islam terlalu kuat? Apakah dunia ini dimonopoli oleh Muslim? Apakah dunia bergantung pada ekonomi Islam? Sekali-kali tidak. Bezanya pada ketika itu Umat Islam berani, umat Islam tidak cintakan dunia melebihi akhirat. Kini dunia bergantung dengan kekayaan minyak umat Islam. Kala ini orang Islam merupakan penganut teramai tetapi kala ini Umat Islam gila kuasa, tamak dan buta hati. Jiwa menjadi kecil seperti lalat biar seberapa banyak tapi akan bertempiaran dengan angin yang entah dari mana bertiup.

Inilah krisis nilai. Kita anggap Islam hanyalah hiasan di Masjid, kita fikir Islam hanyalah undang-undang hudud ataupun kita ingat Islam hanyalah system pendidikan. Sebenarnya Islam adalah ideology yang dipertahankan dan disebarkan yang lengkap dan sempurna merangkumi semua cara hidup. Menganut Islam beerti mendaftar diri menjadi pejuang Allah. Bersedia mengorbankan diri harta dan juga keluarga kerana ingin Islam kembali diamalkan dengan sebenar-benar cara.

Kita harus faham jika kita melihat masalah kecil seperti Mat Rempit, Minah Rempit, Hilang adab dan juga perselisihan berqunut pada waktu subuh atau tidak sebagai gejala yang besar maka jelaslah bahawa di sana takkan ada jalan penyelesaian. Tetapi jika kita sedar bahawa masalah sebenar adalah kerja Islam tidak berjalan maka di sana pelbagai jalan penyelesaian yang tersedia dan menuntut kita melaksanakannya.

Kita sering mengherdik dan mengkeji golongan remaja yang bermasalah sedangkan mereka hanyalah mewarisi dunia dan alam yang telah kita tinggalkan untuk mereka. Apakah adil jika kita menghidangkan mereka racun kemudian kita mendakwa mereka membunuh diri?

Krisis nilai bukan kekeliruan tapi kerosakan minda setelah tewasnya kita dalam peperangan saraf. Sehingga kita sentiasa berfikir untuk bertahan dan takut untuk menyerang. Sedangkan dalam Islam kita wajib menyerang minda mereka bagi melawan virus-virus syirik dan bertahan dalam perang fizik bagi memelihara jiwa muslimin. Semoga Allah mengembalikan kefahaman Islam kepada umatnya.

Thursday, October 09, 2008

mengapa aku menulis??

Soalan ini sering berputar dibenakku yang sempit dan cangkat ini. Bahkan kadangkala ia diputarkan oleh kenalan baik di alam nyata mahupun dia Siber Maya ini. Adakalanya aku mengabaikan soalan ini dengan jawapan-jawapan bodohku seperti: sebab aku ada tangan, sebab aku nak belajar bahasa ibunda sendiri ada juga yang terlalu membodohkan penyoal seperti ada aku habiskan duit mak bapak kamu?

Inilah aku yang sering berbahasa kasar dengan sesetengah golongan manusia. Namun itu hanyalah ego luaran yang mendindingi betapa tersentuhnya aku dengan persoalan itu. Aku mula mencari apakah alasan aku menulis.

Aku mulakan dari nafsu. Aku menyelidiki nafsu keduniaanku. Adakah aku menulis kerana mahu kaya jual karya merata-rata? Nafsuku dengan buas menepis sangkaan itu. Belum ada tulisanku yang membawa untung, tetapi aku masih menulis bahkan makin lama makin meninggi minatku. Nafsu kenamaan pula aku selidiki. Apakah aku mahu jadi seperti sasterawan sasterawan besar seperti Abu Nuwas, Farazdaq atau A Samad Said yang dikenali dan dikagumi? nafsu yang mencintai pujian ini bertanya dengan muka yang agak dengkel, bagus sangatkah karya aku? Aku tersipu di hujung soalan. Lalu atas dasar apa aku menulis? Akal pun menduga, kerana aku mahu di baca. Ya, Tuhan juga bekarya untuk dibaca karyaNya. Alam di ciptakan untuk dilihat dan dikagumi, hidayah dikurnia untuk disyukuri dan dihargai.

Jawapan akal benar tetapi itu semestinya sebab wajib bagi sebarang penulis menghasilkan karya. Mindaku bertanya apa sahaja yang selalu aku tulis? Aku menyemak semula penulisanku. Tema utama semua bahanku adalah Islam dan Pengabdian. Hatiku mula berbisik. Jangan sampai kamu mengakui kamu menulis kerana dakwah. Jika benar sekalipun kamu menulis kerana dakwah ikhlaskah kamu dengan Tuhan? Aku keliru dengan tuntutan hati ini.

Kini aku merasakan aku menulis kerana ingin berkongsi sebuah persoalan, persoalan yang pokok dan besar perlu aku faham dan memahamkan. Persoalannya ada dalam diri setiap manusia betulkah apa yang sedang kita yakini dan setakat manakah keyakinan kita terhadap apa yang kita yakini? Jika aku tidak menulis persoalan ini tahukah aku di mana aku sebenarnya dan ke mana aku selayaknya...

Tuesday, September 30, 2008

eidul fitri hari gembira


Langit dan bumi dipenuhi takbir, tasbih, tahmid dan tahlil. Aku berusaha mendidik jiwa memahami gembira kerana Tuhan. Merasai kemeriahan langit dan menyemai kesyukuran marga bumi. Aku merasa hati ini semakin keras dek olahan dosa yang menggunung. Tatkala takbir dan tasbih berkumandang barulah kendur ujub dan bongkak yang hampir penuh di kepala. Tuhan itu Maha Agung apa yang kurasa hebat dan megah hanyalah ihsan kasih Tuhan kepadaku.

Layakkah aku ini berasa tenang untuk mendiami bumi dengan rehat dan lalai sedangkan dosa-dosa bagai gunung yang sudah di atas kepala menanti detik membenamku sirna. Tuhan benarlah sabda Yunus, Sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sekiranya tiada keampunanMu dan belas kasihanMu maka jadilah aku mereka yang rugi.

Aku sangat mengharapkan Ramadhan ini membebaskan aku dari neraka. Tuhan senaraikan aku dalam mereka yang terlepas dari azabMu sangat aku percaya tidak akan mampu aku menanggung derita sengsara walau hanya membayang azabMu. Jangan dihalalkan aku bagi santapan jahannam.

Bagaimanakah mungkin aku bergembira di hari raya kali ini sedangkan dosa-dosaku sering mengekori daku. Tuhan hanya keampunanMu kegembiraan yang aku nantikan.

Saturday, September 20, 2008

Ramadhan Kursus Hati, Akal dan Jiwa.


Semalam aku di Tarawih 20.
Di Akhir Lorong Ampun.
Usai 8 langkah unik
siap 8 pasang salam kiri kanan.

Tampil lelaki tiada tua bukan muda.
Selepas pemimpin langkah hulur suara.
Lelaki itu menyusun kata.

Katanya: Kita di Tarawih 20,
kita di hujung Lorong Ampun.
Sedia apa kita di sini?

Akalku berkata: cari Ampun untuk disembah.

Lelaki tadi sambung.
Tutur dalam gerhana.
Siang kita bagai fakir,
malam kita kembali kita.
Simpang mana kita tuju?

Hatiku berbisik: Susun Syukur untuk diangkat.

Lelaki tadi belum bisu.
Desis kata bergema.
Nafas busuk kita gumam.
Himpun buat bersih jiwa.
Lutut keriutan dahi kematu keras.
Pasti mana kita lubuki?

Jiwaku menjuling: menjelas niat menyelam hina diri.

Lelaki itu pasak kata.
Kita di kota ilmu hakiki.
3 fasa 3 ciri.
Fasa-fasa janji mesti dicari.
Ilmu untuk gilap hati,
sinar akal jua cerahkan jiwa.

Aku menyalami tangan lelaki itu.
Lelaki itu berkata: Bangun di malam-malam ganjil.
Buru detik detik asmara.
Terselindung di sana,
hakikat dari surat yang berselimut.
Jika berjumpa detik itu.
Pinta dari Raja segala cinta.
Cinta teragung yang pernah dimiliki,
kekasih-kekasih sejati.

Aku angguk langkah dan berlalu.
Kota Ilmu masih berbaki
buat kurawat benak dan raga.
Perburuanku kini bermula.

siddiq osman
20 9 2008

Friday, September 19, 2008

Pesan Guru GuruKu

Pesan Ustaz Dahlan Bin Mohd Zain

Risalah ini perlu dibawa dimana saja kita berada, walau sebagai apa pun kita , risalah kita tetap untuk Melaksanakan Petunjuk ALLAH dalam setiap ketika.
Kita tidak akan berasa bahagia selagi perkara ini tidak dilaksanakan dan tidak akan berhenti perjuangan sehingga hal ini dilaksanakan. Kita menuntut ilmu adalah sebahagian daripada perjuangan. Semua ini adalah wasilah untuk melaksanakan petunjuk Allah. Selagi itu kita kita tidak boleh berhenti walau sekejap pun . Kalau perkara lain kita boleh lupa sekejap tetapi risalah ini kita boleh lupa.
Dari segi disiplin Ilmu,dari segi pengajaran university itu bersistematik . Ada Intiqa` ( secara langsung ) dan ada buhus. Harus baik dengan pensyarah dan beri hadiah. Pengisian Rohani perlu ada senantiasa. Sifat Ta`wun , tafahum dan takaful perlu di hayati.
Pesan Ustaz Omar Bin Hj Salleh

Apa yang kita bawa adalah warisan nabi, membawa Risalah Islam dan untuk tafakkuh fi deen. Untuk tafakuh fi Deen, kita harus Musafir dalam rangka Jihad. Mudah-mudahan Allah tinggalkan dengan niat suci dan meneruskan jalan dan Allah tempatkan dalam barisan Duat dan mewarisi risalah Rasul.
Kerja Dakwah adalah berat dan besar . Tidak dapat dipikul melainkan mereka yang benar-benar beriman dan bertaqwa. Seluruh hidupnya adalah untuk diwaqafkan kepada Islam. Jadi persediaan benar-benar rapi . Apa yang kita niatkan dan qasadkan adalah untuk Allah.

Kamu adalah duta Islam untuk pergi ke sana. Dan kami doakan agar pergi dan balik untuk meneruskan kerja dakwah dan tarbiyah untuk mengajak masyarakat kembali kepada manhaj Rabbani. Doakan keselamatan dan kemajuan ma`had ini.

Pesan Ustaz Abdul Hadi Bin Osman

Musafir kita merupakan Ibadah dan Jihad. Hatta melancong pun adalah ibadah dan Jihad. Berhijrah untuk menuntut ilmu adalah untuk membangunkan diri , keluarga dan Islam.
Kalau boleh belajar bersungguh dan luar biasa . Maka akan lahir hasil yang luar biasa. Kerja yang bakal menunggu adalah luar biasa. Kuasailah bahasa Arab, Bahasa Inggeris dan computer. Sahabat –sahabat Nabi semua luar biasa. Usamah Bin Zaid berusia 18 tahun memimpin tentera Islam . Kita mengaji dengan luar biasa untuk masa depan diri, keluarga dan Islam. Hasrat kita adalah untuk menjadi Duat.
HARD CORE kita adalah BELAJAR. Sibuk dengan perkara lain tetapi studi jangan tinggal. Di sana terdapat ramai Ulama`-Ulama` besar. Pergi ziarah. Ilmu banyak di bumi anbia` dan syaitan pun besar. Kita mahu setiap pelajaran tertingkat. Jaga kesihatan diri. Masa kita sikit, perlu guna sebaik-baiknya. Matlamat kena jelas dan jalan kena jelas.


dipetik dari blog Akhi Rakaiz.

Thursday, September 18, 2008

Pulangnya seorang sahabat


setelah beberapa tahun ini aku menganggapmu sahabat. Menadah telinga bahkan kadang-kadang hati mendengar luahanmu begitu juga kau terhadapku. Tetapi kita lelaki yang mahal airmata kerana kebersamaan kita penuh dengan tawa dan senda.

Aku merasa dihormati bila ditegurmu merasa dikasihi bila dimarahimu merasa akrab bila bertikam lidah denganmu. Aku lepas menyata pandanganku sekalipun pandangan itu ke atasmu.

kadangkala kau teman adakala kau guru sediakala kau saudaraku. Pertemuan itu adat resamnya perpisahan. Kau diizinkan pulang berbakti lebih awal. sediakan medan untuk kami yang bakal pulang. Biar kita mengikat kaki kaki kita sebagaimana baiah ridhuwan membela Usman. Sediakan medan untuk kami pulang menabur budi menimba bakti.

Selamatlah engkau dari wahan dan fitnah. Doakan serupa buat kami.

Wednesday, September 10, 2008

khalida Balik

Adikku pulang ke desa,
pulang bersama dua rindu.
Kukirim hadiah, ku kirim amanah.
Simpul segala resah kuikat bersama
dibalut bungkus indah.
Kuhantar semua dalam omongan dilapangan
burung burung besi labuh dan lepas.
Desa nantikan gilir ku.

Thursday, September 04, 2008

Bersama Radio Wilayah Khartoum


Hari ini merupakan hari keempat ramadhan 1429 di awal pagi terasa malas mahu meninggalkan tempat tidur tetapi mindaku mengingatkan ayat 1-11 surah al mukminun. Aku gagahkan juga menghadiri sessi rakaman bagi program Bagaimana Mereka Memeluk Islam. Memang agak janggal jika tajuk ini dijadikan sandaran kenapa aku dijemput untuk temramah, tetapi disebabkan bersempena ramadhan maka perbualan berkitar tentang penghayatan ramadan di Malaysia dan juga kegiatan dakwah tanah air.


Setelah aku hadir dalam keadaan terpaksa membuatkan emosi jadi tak menentu ditambah dengan kelembapan Sudan yang tak terkawal membuat aku rasa nak marah yang amat sangat. Ada patut dia datang lewat 2 jam. aduh.
Masa sembang sembang sebelum start rakaman aku ada buat satu kesimpulan sainstifik ala ala genetik campur sosiologi
"Sudan tak maju dan bermasalah kerana adat mereka menghalang kemajuan genetik. Derang suka kawen ngan sepupu. "
Eh apa yang aku melalut nih. oklah Ramadhan Kareem wa soumul maqbul.

Thursday, August 28, 2008

Rinduku Kembali.


Kau penawar luka setahun.

Kau pengubat batin yang lumpuh.

Berseri senyum sang iman.

Mekar kuntuman bunga taqwa.


Kami mengintaimu dengan doa.

Kami menjengah terjinjat-jinjat menanti

ketibaanmu membawa sejuta erti.

Setengah tahun menanti buat diri berhati-hati.

Dijunjung amal dikilik bekal.

Bersedia menerima didikan sepurnama.


Siangmu menjanjikan sabar.

Malammu menyediakan rahmat.

Tidur bersamamu beroleh berkat.

Jaga disisimu bernilai amat.

Sehari bersamamu menambah tahun usia.

Tuhan aku pohon Kau temankan hitung dan percaya,

ketika aku bertemu rinduku.

Tuhan kuatkan jiwaku memenuh tawaranMu,

menuntut tugasku dengan bantuMu.


Wahai diri, pertemuan ini jangan kau bersegan silu.

Jangan lambat memesra rinduku.

Hangati kebersamaan ini melebihi bulan madu.

Biar terluah semua kasih terbalas segala dendam.

Kerana purnama cuma sekali mengambang,

membawa sepanduk nama Ramadhan.

Tuhan berkati pertemuan kami.


Siddiq Osman

27 Syaaban 1429

khartoum, Sudan.

Sunday, August 17, 2008

merdekakah kita?


Mencari Erti Merdeka.


Merdeka! Merdeka! Merdeka?

Nadaku meninggi, mendatar lantas menjunam.

Bapa Kemerdekaan menjelma di ufuk rasa.

Inikah hasil tuai yang mereka semai?


Angin berlalu menyapa,

repek apakah penyair ini?

Aku mendidnding sepoi bahasa itu dengan tegar.

Inikah bangsa setengah abad merdeka?

Tanah berpijak mengeliat durja,

celaka apa ingin kau jemput.

Aku menghentak gegar dengan cekal.

Bangsa merdeka bangsa berjiwa.


Hiburan bukan cita,

harta bukan segala.

Akal di kepala dijunjung.

Mulia ditatang bukan gendong.

Maruah bukan dirabak comotkan.
Langit menjeling, lalu berbisik.

Merdeka tetap merdeka.

Aku mendongak khilaf.

Merdeka itu perlu merdeka.

Bayu membuang sepoi pergi.

Engkau perlu belajar bersyukur.

Aku menjerit dalam telinga.

Syukur bukan untuk jadi alpa.


Akalku belum dijajah.

Mindaku dilindung kelambu wahyu.

Jiwaku dilambung kagum Sunnah.

Kisah juang mengisi labu kepala.


Kini jeriji besi bukan ugutan,

tali gantung atau muncung senapang bukan penghujung.

Tetapi, bungkam HIV, koma si rempit,

terburai maruah di akhbar.

Ini bualku.

Bukan bahasa kalian.

Bahasa fenomena tiada jiwa.

Bebas dipijak diludah di bumi merdeka.

Aku benci rai merdeka, bila

temanku meraba anak dara.

Aku benci sorak merdeka, bila

saudaraku mengemis bagai hamba.


Merdeka bermula di jiwa.

Merdeka mengalir di minda.

Merdeka bukan untuk dipesta,

tapi dijaga siap siaga.


Siddiq Osman

18 Ogos 2008

Khartoum, Sudan.

mingguan malaysia24ogos2008.

Saturday, August 09, 2008

Wira Palestina.


Allahu Akbar! lantunan bergema.
Buku-buku lima dijulang ke udara.
Bukan simbol kebencian, bukan
lambang dendam, bukan juga
mercu keganasan. Penafian
sebarang kedayusan, kebaculan
bagai dubuk kepada nusa.

Menjadi wira Al Quds, beerti:
Memperjuangkan agama.
Berakhlak pendukung takwa.
Kenal apa yang dijulang.
Kenal tangan yang bersalam.
Waspada kupang yang dibelanja.
Pendoa kecekalan saudara.

Wira Palestina, bukan semata:
Menjejak tanahnya, melancar peluru dan batu.
Harus mati di keliling Al-Aqsa.
Memacak bendera empat warna.
Tetapi,
Wira Palestina juga melahirkan anak sejuta.
Menulis memuji jihad mereka.
Mengemis ubatan mereka.
Menutup aurat mereka.
Merintih di malam sepi dengan airmata.

Wira Palestina bertebaran di mana-mana.
Berkongsi cita, cinta dan sengketa.
Bersama mencicip duka.
Bersama mendoa Syurga.
Jadilah Wira Palestina.

Wednesday, August 06, 2008

Sungai Nil Suam Meraikan Mereka.




5 ogos menjadi saksi pertemuan pejuang dari Bumi Suci dengan bumi berdebu. Persisiran Nil menjadi saksi obor semangat yang ditiup. Aku dan rakan-rakan turut memeriahkan keakraban dua watan. Mendengar lafaz cinta dua bangsa. Cinta yang sangat suci dan jitu. Bermadahkan Al Quran, bermaharkan perjuangan.


Khaled Mesyal berdiri megah menongkat kalimah tawakkal dan jihad, beliau adalah antara ribuan Salehuddin Al-Ayubi yang bangkit semula di bumi berkah Palestin. Khaled atau lebih dikenali Abu Walid mengungkapkan bait-bait peyatuan antara Palestin dan Sudan. Mereka terpisah oleh kewujudan Mesir, Mereka terbeza oleh hitam dan putih. Dataran Zaitun dan Tin berbeza dari dataran Kacang Tanah dan Gandum. Namun Akidah yang sejahtera dan keberanian Arab menjadikan mereka bersatu, bersepadu dan sebulat suara. Cinta mereka satu, cita mereka jitu dan musuh mereka beribu. Aku mengiyakan kata-kata beliau dalam diam dan jeda.
Dalam keadaan genting di Gaza, Khaled menjanjikan kemenangan bukan di Palestin tapi di dunia. Dia berpesan kepada seluruh pemimpin. Berpeganglah dengan Islam jangan gadaikan agama. Genggamlah Senjata jangan dihias di dinding kebaculan.
Aku sekali lagi mengangguk setuju. Ayat-ayat Quran bersusun dalam setiap baris ucapan. Semuanya dilontarkan dari hati yang faham dan praktis yang benar. 45 minit sangat pantas menemui ajal. Semoga jodoh Sudan dan Palestin akan berkesudahan dengan cambahan benih kebenaran.
Datangnya Khaled Mesyal untuk memberi sokongan sebagai Muslim yang sejasad terasa sakit bila Presiden Sudan Omer Al Basyiir yang berhadapan dengan ancaman mahkamah antarabangsa di bawah seliaan Yahudi , mencanangkan tuduhan-tuduhan busuk yang tidak pernah wujud.





Sunday, July 27, 2008

Kerajaan Di Hati

Pyzam Family Sticker Toy

Kerajaan Di Hati.

Rajanya mengait langit memayung rakyat.

Rakyat berteduh bawah awan kasih.

Raja menakung keringat menyemai berkat.

Rakyat mekar mengembang hormat.

Permaisuri menjalin tirai cinta,

melapis negara dari bahang sengketa.

Menyulam selimut bahagia ribu warna,

membungkus jelata dari beku derita.

Harta negara dikongsi rata.

Tika kemarau sama berpuasa.

Kala hujan sepakat merasa.

Membulat kata membola suara.

Berpadu jiwa berkongsi rasa.

Kerajaan di hati negara di jiwa.

Doaku pinta kekal selama.

Abadi di dunia bersama di syurga.

Kerajaanku sedang dibina,

menunggu puteri menjunjung atma.

Siddiq Osman.

28 Julai 2008

Malam-malam sunyi.




Wednesday, July 23, 2008

Promosi ...

dalam buku buku ni ada karya saya. Kecuali yang menggeledah Nurani. Itu buku penulis sajak muda yang matang dalam berkarya. Mentor bahasa saya Cikgu Fahd Razy.


Dapatkan 1 set (3 judul buku) dengan harga RM42 termasuk pos.


- Menggeledah Nurani

- Mengemis di Kota Larangan

- Bahasa Bumi


Untuk sebarang tempahan, sila emelkan nama serta alamat berserta butiran tempahan (judul dan naskhah) kepada fahd_razy@yahoo.co.uk atau hubungi Fahd Razy di 0122968901 (nombor ini sah sehingga 7 September sahaja)PERHATIAN: Kos pos RM1 bagi setiap naskhah buku.

Saturday, July 19, 2008

ICC Langkah Bahaya Untuk Membinasakan Sudan.


Saya mulakan dengan Firman Tuhan "Mereka yang dikatakan kepada mereka segolongan manusia - sesungguhnya dunia telah berpadu memerangi kamu maka takutlah pada mereka- maka bertambahlah keimanan mereka ini seraya berkata - Cukuplah Allah bagi kami dan alangkah nikmatnya penyerahan ini."


Sudan diserang dari segenap penjuru, luar dan dalam, ekonomi dan politik. Namun bagai kata pepatah tak lekang dek hujan tak lapuk dek panas. Sudan yang memiliki keluasan lebih sejuta kilometer persegi merupakan negara terbesar di Afrika menempatkan beratus etnik afrika dan arab dalam sebuah negara pimpinan tentera.


Sudan telah diperhebahkan dengan beberapa siri perang saudara dan yang terkini pemberontakan JEM dari Darfur sebuah negeri barat Sudan yang berjiran dengan Chad. Kumpulan militan bawah pimpinan bekas orang kerajaan Khalil Ibrahim mendapat biaya Chad dan Perancis. Serangan mereka yang paling berjaya adalah memasuki Wilayah Khartoum iaitu ibu negara Sudan. Bagaimanapun gerakan itu ditumpaskan beberapa jam sahaja.


Mereka ini melakukan kekacauan di Darfur dengan merompak kenderaan-kenderaan badan badan kebajikan yang berkhidmat di sana. Darfur kawasan yang bergolak dan jauh dari pantauan Khartoum. Bagaimanapun masih di bawah penguasaan kerajaan pusat. Sebuah wilayah yang dijangka menyimpan 2 sumber galian yang berharga iaitu air mineral yang membentuk tasik bawah tanah yang sangat dalam dan lebih luas dari yang berada di Swiss. Manakala pengarh iklim yang hampir sama dengan Chad membuatkan Geologis menjangka di bawah tanah kontang itu terkandung uranium yang masih muda.


Kekayaan ini menjadi alasan kenapa Sudan diganggu dan kenapa PBB ingin sekali masuk ke sana. Kerajaan Sudan menghadapi bahaya perisikan dengan kewujudan PBB namun bagi memenuhi tuntutan dunia dan berharap dapat membantu kemiskinan rakyatnya Sudan membenarkan PBB beroperasi di Darfur.


Al Basyir merupakan pemimpin Arab yang memiliki sentimen Islam yang tinggi. Anti Amerika dan Israel berdegil dengan ugutan ugutan Barat. Al Basyir dibayangi oleh pemikir-pemikir kelas pertama yang mampu mengharungi arus tekanan dunia Barat. Barat gagal membuli negara ini sepertimana mereka memperkotak-katikkan negara-negara Arab yang lain. Sudan juga tidak mampu diperbodohkan Barat sepertimana Chad dihenyak oleh Perancis. Sudan mendmpingi China untuk mendapat sokongan politik. Persahabatan dengan Malaysia menampakkan kejayaan apabila PETRONAS terlibat dalam mengeluarkan emas hitam dari perut bumi Sudan pada awal 1998.


Kejayaan demi kejayaan membuatkan Barat tak senang duduk. Lalu Amerika menyenaraikan Sudan sebagai sasaran provokasi dan propaganda. Maka padanlah seorang pegawai kedutaannya ditemui mati dalam kereta awal tahun ini hasil kemurkaan rakyat Sudan pada negara mal'un itu. ICC kini mencemarkan kepercayaan Sudan dalam usaha PBB sebenar di Sudan setelah Occampo menawarkan Al Basyir dengan warrant tangkap.


Setelah kecoh hasil tindakan melampaui batas Ocampo itu, akhirnya ICC ingin bermain api yang lebih kecil dengan menawarkan akan menggugurkan dakwaan ke atas Al Basyir sekiranya menyerahkan dua rakyatnya yang dituduh melakukan penghapusan etnik di Darfur, Pertuduhan bagi kesalahan yang tidak pernah wujud.


Peperangan qabilah yang telah menjadi tradisi berzaman itu dimanipulasi jahat oleh syaitan-syaitan Barat. Kini rakyat Sudan yang menyokong kerajaan semakin bersemangat membasahkan pembesar suara di mimbar masjid dengan tiupan Jihad. Sudan merupakan tanah yang telah menyaksikan pengusiran British dari tanahnya dengan penyembelihan dan pembunuhan bangsa penjajah itu.


Usman Dignah dan Sultan Ali Dinar akan lahir lebih ramai dan cepat sekiranya Amerika gelojoh ingin merosakkan negara yang bermaruah ini.

Sunday, July 13, 2008

Islam dan Dunia hari ini.


Sementelah kehilangan empayar Islam sejak 1924M dunia bergerak bukan lagi bawah pengaruh paksi Islam. Blok antarabangsa tidak lagi terpisah dengan pecahan besar. Blok dunia merekah kepada beraneka blok. Rekahan ini berlaku selaras dengan perancangan yahudi. Rekahan yang sudah lebih dari banyak ini belum memuaskan nafsu menganjurkan perpecahan di kalangan pemikir pemikir zionis. Zionis yang merancang siri peperangan dunia telah menjerumuskan empayar Islam.


Kejayaan mereka melenyapkan khalifah Uthmaniyah adalah dendam yang baru bermula. Mereka bukan sahaja mendendami Islam tetapi mereka membenci kemanusiaan. Meragut nyawa bagi mereka sekadar merobohkan sarang anai-anai. Lihat apa yang mereka lakukan dalam isu nazi hanya untuk mendapatkan holocaust. kemudian berlaku lagi di WTC untuk melesenkan peperangan terrorist yang kejam. Ini belum dikira apa yang mereka lakukan pada bangsa Afrika. Sampai kini Afrika diletakkan dalam zon penindasan. Chad ditipu secara jelas sampai kini yahudi yahudi di perancis menyedut uranium Chad secara percuma. Kita nak minum air kosong pun kena bayar.


Perpecahan dunia dipelbagaikan. Kemudian dengan ketamakan kuasa mereka mewartakan pemerintahan globalisasi. Semua ini adalah berpunca dari kehilangan pemerintahan Islam. Yahudi adalah syaitan dari kalangan manusia. Islamlah yang akan menghapuskan kezaliman mereka dari dunia. Bukan kita ingin perjuangkan masa depan muslim sahaja tetapi seluruh umat manusia. Yahudi yang menafikan hak hak mengabdikan diri kepada Allah dari bangsa lain adalah bangsa yang tak layak memimpin diri sendiri sekalipun. Islam yang diturunkan Allah menebarkan kerahmatan untuk seluruh alam.


Kita rujuk perjalanan khilafah Islam. zaman kebangkitan Islam bermula dgn tangan Rasulullah yang mana Baginda hanya pernah membunuh seorang sahaja manusia dalam tempoh kempen baginda menjadi pemimpin yang disegani. Baginda menyelamatkan ribuan hamba dari penganiayaan. Diikuti oleh pengganti pengganti baginda yang sangat menjaga diri dan berhati hati dalam membuat keputusan dan cermat pula dalam membelanjakan harta kerajaan. Cermat dari berboros tetapi mudah dalam menghulur kebajikan. Tiada sebarang protokol bodoh yang menghalang kebaikan dan memudahkan kemungkaran diluluskan di zaman mereka. Berkata benar adalah amalan yang disanjung.


Setelah golongan yang mulia ini tampil khilafah umaiyah yang menampakkan sedikit kekacauan tetapi di sana ada contoh agung iaitu umar Abdul Aziz yang mana karomahnya Allah hindarkan kezaliman hatta sesama haiwan.Ini semua bukanlah cita cita Yahudi dan Amerika. Mereka hanya mahukan kuasa dan kemegahan. Penyakit ini ditampilkan dalam peribadi pemimpin-pemimpin yang mereka caturkan secara halus di negara negara lain. Mereka ikat kekayaan dunia di bawah pemimpin yang dayus. Negara Arab menjadi bola yang sentiasa sujud di kaki mereka. Negara Islam menjadi longgokan kekacauan dari fitnah mainan mereka. Negara miskin diiklan cemarkan dengan bermacam cerita agar mereka sahaja yang akan ke sana mengaut hasil.


Inilah dunia tanpa Islam. Inilah akibat sinar Islam dibungkus oleh rasa takut dan cintakan dunia. Pembungkusnya adalam muslim itu sendiri. Orang Islam nilaiannya sama sekali berbeza. sebab inilah umat Islam bermula aneh dan kembali aneh. Islam mengharamkan pejuangnya memandang dunia sekalipun dengan jelingan silu. Islam memandang dunia sebagai lalat yang hinggap. perlu dikibas agar tidak merembeskan kuman wahan yang membawa wabak kedayusan. Kembalilah membina Islam dalam diri. Insya Allah itulah jalan kemenangan.

Tuesday, July 08, 2008

Mari duduk beriman seketika.

Panggilan Hidayah.

Saat lalai membuai,
aku tersasar dalam laluan diri.
Langkah terhoyong kiri dan kanan.
Minda mencari hibur.

Kala itu,
aku terkinja dalam kelam.
Kelam yang menikam luka-luka atma.
Kelam yang kuasah dengan cinta dunia,
cinta berduri.

Aku larut dalam arus nanah.
Membusuk diri dengan jerih dosa.
Di situ, aku lihat nasihat jijik.
Teguran kurasa hasad menganggu.
Bisikan-bisikan nanar kuangkat dekat di hati.

Aksara wahyu tidakku peduli.
Namun dalam rahmat yang tak pernah diundang.
Tuhan mencampak satu seruan.
Dalam suara garau pra-sahabat Bilal.
Aku mendengar panggilan.
Lagu merdu menyentuh sukma yang diam.

Alunan itu membawaku,
memimpin hoyong-hayang,
menggenggam langkah.
Aku terpanggil pulang.
Pulang melihat kesibukan lalu.

Lukisan hidup silam kuteliti.
Bibirku mencemik,
dadaku berombak.
Binatangnya aku.

Tuhan Rahmat-Mu kini kucari.
Cinta-Mu kini kiblat kaki berlari.
Tuhan jangan dibisukan panggilan hidayah-Mu.

Siddiq Osman.
9 Julai 2008.
Kota Belalai.
Sudan.

Saturday, July 05, 2008

puisi ku tembus lagi... MM 6 Julai 2008.



Dari Kitab Alam.

Ayam menyambut kepulangan suria.

Cahaya kuning padat cerita.

Menyuluh seluruh lukisan berita.

Memeri warna merinci rahsia.

Bagai tinta menulis

atas kertas alam.


Aku kagum teruja, terpana

memandang saujana maya.

Rasa ingin memuja.

Meletus buak gelora jiwa.

Ghairah dalam jeda.

Khali memandu pancaindera.


Unggas keriuhan menghantar senja.

Pena suria pudar jua.

Kelam digulung lapisan malam.

Seraya rembulan menyuluh segan.

Tangan menuding pegunkan cahaya.

Lidah ingin membutir kata.


Dari bahasa alam.

Aku melihat aturan.

Dari cerita mentari.

Aku membaca keindahan.

Dari bisikan malam.

Aku mendengar ketenangan.


Rasa melonjak mencari Tuhan.

Pancaindera bergegar merasa kebesaran.

Ghairah merenggut kepala ke tanah.

Dari kitab alam aku membina iman.

Zikir lidah berbutir namaMu Allah.


Siddiq Osman.

3 Julai 2008

International University Of Africa.

Khartoum, Sudan

wiraku


Wira Lawan Celaka.

Sama dalam lantang suara.

Beza dalam langkah mereka.

Wira mulia tarinya,

celaka dayus mendusta.


Sama dikenali jelata.

Beza tampilan amat ketara.

Wira menjulang maruah dengan nama,

celaka mendabik dada memijak bangsa.


Wira alpa diri pentingkan bangsa.

Menjadi api memanaskan kesejukan.

Menahan lapar menghulur bantuan.

Menggadai nyawa menyambung warisan.


Celaka adatnya mengkhianat segala.

Ada kuasa makin digila.

Mencerut perut fakir untuk bersuka.

Menganggap nyawa milik mereka.


Apabila wira melawan celaka.

Si laknat akan menggubra.

Membangkit fitnah menabur merba.

Celaka bukan kegusaran wira.

Onarnya ditelan semua.

Kelat fitnah agenda kedua.

Kebajikan jagat tetap dipersada.


Yang celaka tempatnya neraka.

Wira derita akhirnya syurga.

Adat susunan dari Yang Esa.

Rakyat jelata bersuara mendoa.


Tiada cerita wira derita.

Kerana maut cinta mereka.

Bicara maut dibenci celaka,

Kerana terbayang api membara.


Siddiq Osman

Sungai Petani, Kedah

5 julai 2008.

Thursday, July 03, 2008

Altantuya kembali...


Altantuya menghantui politik Najib, selepas tidak dipanggil dan keterangan-keterangan tidak diperjelaskan kini tiba giliran akuan-akuan sumpah. Raja Petra mendahului kini bekas polis India Balasubramaniam Perumal penyiasat persendirian menyusuli. menampilkan cerita yang sama.


Setelah percubaan bodoh konspirasi liwat ke dua kepada Anwar sedang mengalami proses pengantoian kini tibalah kes Najib vs mendiang Altantuya di pasaran berita. Mahkamah telah dipertikaikan, Polis tidak dipercayai hanya rakyat yang boleh mengadili dengan cerita dan berita. Kita lihat sampai bila kekalutan dua politikus melayu ini akan meruncing. Bagaimana kisah Pak Menteri akan berhadapan dengan Perdana Menteri dalam penantian.

Wednesday, July 02, 2008

Pantun Dgn Kak Ainin.

Pantun 1
eyeman: Suria memancar cerah sekali,
eyeman: Membelah langit menerang bumi.
eyeman: Guru mengajar menabur budi,
eyeman: Membelai Murid membina pertiwi.

pantun 2: kak Ainin.
suria memancar cerah sekali,
menerang alam sepanjang hari,
guru mengajar menabur budi,
murid menjunjung ilmu yg diberi.

Pantun 3
eyeman: suria nama bagi mentari.
eyeman: membawa cahaya menebar warna
eyeman: walau ilmu dijunjung tinggi
eyeman: guru tetap menjadi payungnya.

pantun 4:kak Ainin
membawa cahaya menebar warna,
warna emas tampak ceria,
guru tetap menjadi payungnya,
murid setia berlindung dibawahnya?

pantut 5:
eyeman: pancaran suria lurus sinarnya,
eyeman: dari angkasa laut akhirnya.
eyeman: setia murid pada gurunya,
eyeman: tanda ilmu jelas tercerna.

Pantun 6:kak Ainin
Bunga mawar di pasar minggu,
dibeli sejambak oleh Tok Koya,
Guru mencurah kalam dan ilmu,
ke mana perginya setelah jaya?

Pantun 7
eyeman: Kalam bukan seperti tinta.
eyeman: dicurah curah bagai baja.
eyeman: kalau sudah akhirnya jaya.
eyeman: bakti guru sampai ke nusa.

Pantun 8:kak Ainin
Ke hutan rimba berburu rusa,
berlembing rombak berkuda segala,
bakti guru sampai ke nusa,
menerang hati yang kelam gelita.

Pantun 9
eyeman: Berburu rusa banyak caranya.
eyeman: ada bersumpit ada berpanah.
eyeman: yang kelam disimbah cahaya
eyeman: berkat guru cekap amanah.

Pantun 10: kak Ainin
rusa seladang tupai tanah,
mencari makan di tepi paya,
berkat guru cekap amanah,
murid jaya menyambung usaha.

Sunday, June 29, 2008

Anwar sekali lagi dalam ancaman.


Saya tak kenal sangat dengan Anwar Ibrahim, bersua muka pun belum pernah. Tetapi saya yakin benar Anwar tidak sentuh budak poyo yang mengaku diliwat itu. Saya rasa, sekarang ini ada dua nyawa terancam dalam isu ini.


satunya sudah semestinya Anwar sendiri. Kalau Polis dapat tangkap Anwar macam macam mereka ~musuh Politik Anwar~ sanggup lakukan. Jangan lupa 5 orang pemimpin PAS pernah diculik kerana ingin menyekat pengaruh Parti itu. Kampung Ibrahim Libya Di perangi. Bukankah ini semua menggunakan jentera badan keselamatan negara? Inikan pula pengaruh pakatan rakyat yang dihadapi kini bagaikan taufan yang akan meragut jawatan mereka. Tak cukup dengan bakal kehilangan jawatan mereka selepas jatuh akan naik turun mahkamah atas bukti bukti yang Anwar pegang.


kedua si poyo yang mengaku disodom Anwar. AMK ada beribu ribu orang. Kalau campur Unit Amal pergh mahu puluhan ribu orang muda dalam PR belum campur yang dalam DAP. Saya yakin tak semua mereka ini kenal erti sabar dan mampu mengawal emosi bila berjumpa budak Poyo yang merasakan dirinya mampu membuat Anwar tergoda.


Anwar dijangka memimpin rakyat dalam era baru selepas kejatuhan BN. Setakat pemerhatian jauh saya yakin jika tiada aspek memaksa rakyat memilih BN, maka PR adalah galang ganti untuk memimpin rakyat dalam masa terdekat. Anwar kini berdepan dengan Media, Polis, BN ,Peguam Negara, Badan Kehakiman dan juga penjenayah upahan. Seandainya benar Anwar tidak bersalah saya yakin benar ALLAH takkan membiarkan Anwar dalam tangan mereka.


sekarang musuh Anwar mencarinya untuk dipenjarakan. Semua jentera yang pernah mencari adik Sharlini yang sampai sekarang tidak dijumpai akan mencari Anwar bahkan mungkin lebih ramai lagi. kita lihatlah apa penyusunan Allah. Doa rakyat bersama sama Anwar.

kalau dalam Islam pendakwa akan disoal siasat terlebih dahulu. Kemudian saksi. perbicaraan ini seharusnya dalam mahkamah syariah. Saya menganjurkan rakyat malaysia mengadakan solat hajat minta ALlah perjelaskan kebenaran. kalau dulu dulu kita telah mendengar cerita Mahsuri dituduh Zina. saya yakin kisah darah putih itu akan berulang. Tetapi andai Anwar gugur. seribu Anwar akan lahir untuk menjatuhkan kezaliman yang mencengkam. Mereka memutar belit Allah itu Maha Mengatur.

Thursday, June 26, 2008

Semboyan Dari Silam.




Jangan kalian tunduk!

Ramai bukan kuasa,

Sedikit itu perkasa.

Mari dengar semboyan silam.




Jangan jadi kalut!

Ikuti cerita Jalut dan Thalut.

Seteguk air jadi pemisah.

Jumlah sedikit ikut perintah.

Taat itu bukti gagah.




Jangan kamu kecut!

Biar dilanggar ribut,

macam ribut Quraisy.

Cuba melanggar ahli Badar.


Satu hati, yakin ilahi di sisi.


Badar dimiliki.




Usah fikir undur!


Bacalah kisah Singa Palestina.


Cari darah Ayyub


dalam jasad Salahuddin.


Pasti kamu kenal


erti pantang serah.




Semboyan silam melantun erti,


menjerit faham berani.


Mendayu seruan sabar.


Memekik suara tawakkal.


Semboyan Silam takkan lengkap


tanpa kisah Al Fateh,


pembuka kota sejarah.




Umat ini,


bangsa mengerti.


Umat ini,


mahir stratergi.




Kembalilah umat ini.


Kembali pada ciri.


kembali menjati diri.


Asal faham kita Quran.


Asal amal kita Sunnah.




Kembali ke asal,


membentuk cekal,


menyusun bekal,


melayar kapal kemenangan.


Sahutlah semboyan dari silam.










Tuesday, June 24, 2008

cerpen ni menang di GKLN.


AKU baru selesai bertahalul dari umrah wajib, untuk ibadah hajiku. Inilah kali pertama aku melihat Rumah Allah secara langsung. Perasaan kagum memenuhi jiwa dan menyelimuti ruang fikirku.
Tahalul ini bertujuan untuk membatalkan ihram. Maka dengan simbolik memotong rambut, bolehlah aku kembali melakukan perkara-perkara yang dilarang ketika berihram. Selepas bertahalul, terasa seperti hilang letih ketika bertawaf dan saie. Pandangan mataku menyapu kedai-kedai makan yang tersusun di balik perkarangan bilik air besar. Sewaktu mencari kedai yang sesuai dengan selera, aku terpandang seorang anak muda yang lebih muda dariku. Kelihatan comot dan compang-camping. Telahanku, remaja ini pengemis. Sekumpulan hujaj dari Turki menghulurkan beberapa riyal kepadanya.Aku menganggap ini fenomena biasa kerana di mana ada umat Islam, di sana pasti ada pengemis dan penderma.
Aku membeli sebuku syawarma resepi Mesir dan juga segelas jus. Oleh kerana suasana sibuk di kedai itu, aku kembali semula ke atas bangunan bilik air yang lapang itu untuk menjamah makanan tadi.
Sambil mengamati keheningan fajar, aku menghabiskan syawarma. Subuh belum menjelma, namun jemaah di dalamnya sudah mulai sesak walaupun orang masih belum melimpahi kawasan luar masjid Haram, Sesekali aku bertasbih dan bertahmid memuji Allah kerana menerimaku sebagai tetamu-Nya pada kali ini. Dalam keheningan ini, remaja yang aku lihat sebentar tadi melintas di hadapanku. Tidak pula dia berhenti untuk meminta dariku. Dalam benakku sebenarnya, sudah berkira-kira berapa riyal yang akan aku sedekahkan kepadanya. Namun perkiraan itu berakhir dengan sifar.
Pertentangan yang menarik.Bisik nafsu, aku selamat kali ini. Imanku mendengus, seharusnya aku mengikuti remaja itu. Akalku bersuara, remaja ini bukan layak untuk meminta.
Dia mendekati sekelompok kanak-kanak yang sedang bermain, berbual dengan mereka seolah-olah menantikan sesuatu. Dari sudut berpakaian aku mengagak mereka sudah lama di Saudi atau mungkin orang Saudi yang berasal dari pedalaman.
Kembara haji aku ini baru sahaja bermula. Lagi empat hari baru akan bermalam di Mina sebagai amalan sunat bagi haji. Ini bermakna aku berada di luar ihram untuk tempoh empat hari lagi. Dalam memenuhi empat hari ini aku bercadang untuk berpuasa, sebagai pilihan kedua dari membayar dam wajib untuk ibadah haji tamattuk.
Kembali kepada remaja peminta sedekah tadi. Sambil aku memerhatikan mereka, muncul seorang lelaki yang membawa makanan. Hatiku mengatakan inilah ketua sindiket peminta sedekah kumpulan ini. Namun telahanku meleset. Dari cara berinteraksi, kelihatan seperti mereka setaraf dan akrab. Mereka makan bersama-sama. Seketika aku terpesona pada keakraban mereka seakan sebuah keluarga, walaupun rupa paras mereka jauh berbeza. Terdetik di hatiku untuk menyapa mereka. Namun perasaan tidak kena meruntun aku untuk terus duduk di tempatku.
Hari sudah terik, berjuta-juta jemaah haji ini menanti mentari tergelincir untuk menunaikan solat qabliyah zohor atau sunat zawal. Aku menatap kubus berselubung hitam yang kelihatan gah dan menawan. Damai jiwa melihatnya. Aku memuja Allah, empunya kubus ini. Aku memuji-Nya. Terkenang aku Ibrahim Alaihissalam dan Ismail Alaihissalam membina Rumah Allah ini. Lantas aku mencari Maqam Ibrahim. Seperti biasa ramai orang mengerumuninya. Terasa sebak ketika berselawat ke atas junjungan besar Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam dan juga keluarga baginda.
Tumpuanku kini beralih kepada sekumpulan lelaki Asia Barat. Mungkin dari Pakistan atau Bangladesh. Mereka berbaju biru dan termaktub nama Bin Laden padanya. Aku teringat Osama atau Usamah Bin Laden yang diburu oleh Amerika laknatullah. Lelaki-lelaki ini bukanlah pengebom berani mati yang mencabar kuasa dunia itu. Mereka hanyalah mencari sesuap rezeki bagi menyambung kehidupan. Walaupun begitu mereka juga patut dihargai. Begitu pantas dan cekap, mereka membersihkan lantai di perkarangan masjid haram dalam keadaan manusia bersesak-sesak mengelilingi kubus suci itu.
Teringat pada peminta sedekah pagi tadi. Perlukah dia meminta sedekah lagi, sedangkan peluang pekerjaan di sini banyak? Pelbagai mata pencarian tercipta dengan kehadiran jutaan pengunjung ke sini, tapi dia memilih untuk meminta sedekah? Pertanyaan itu menyerang benak fikirku.
Usai solat Zohor, aku keluar mencari makan tengah hari. Aku memilih untuk keluar melalui pintu Madinah. Dengan melangkahkan kaki kiri di setiap gerbang keluar disertakan dengan doa agar Allah bermurah hati padaku. Aku meninjau di perkarangan Syamiah. Ada sebuah kedai makan yang tertera nama "Restoran Pintu Madinah". Aku mendekati kedai itu. Aku memesan kebab sayur. Resepi ini adalah adunan beberapa negara. Aku kira inilah hasil pertembungan budaya dalam penghasilan makanan. Aku menghulurkan dua keping not dua riyal sebagai bayaran kepada kebab sayur dan jus oren yang sungguh menyegarkan.
Tiba-tiba retinaku menangkap susuk tubuh si remaja pengemis pagi tadi. Apakah pertemuan ini petanda bahawa niatku untuk bersedekah kepadanya telah bertukar menjadi hutangku yang belum langsai? Nekadku, kalau dia meminta dariku akan kuserahkan apa saja yang ada dalam poket kananku.
Sekali lagi, penggunaan unsur sastera yang menarik.Dia melintas lagi dihadapanku. Dia berhenti, entah mengapa budak ini membuatku menjadi berdebar. Setiap kali melihat kelibatnya, aku terpanggil untuk memerhati gerak-gerinya. Dia tidak meminta dariku tetapi meminta dari seorang lelaki dari Iran. Kali ini dia dihampakan. Lelaki itu sekadar mengatakan " Allah Kareem." Dia tidak mendesak dan terus berlalu. Aku melihat lelaki Iran itu. Lelaki itu tersenyum kepadaku. Aku membalas senyumannya. Senyuman itu sedekah yang mudah.
Aku sudah tidak merasakan aku terlepas dari tuntutan. Malah hatiku kini mempersoalkan, kenapa bukan aku? Kenapa dia tidak menadah tangan kepadaku? Aku menyudahkan suapanku sebelum kembali ke Masjid Haram. Kali ini aku beristighfar. Menyesali dengan sikap bakhilku. Menyesali sikap sangka burukku. Kini aku bernekad, andai aku terlihat lagi budak itu, akan aku berikan apa yang ada dalam poket kanan jubahku.
Seusai solat Asar, aku bersalaman dengan jemaah di kiri dan kananku. Lalu aku mendapatkan tempat air zam-zam untuk membasahkan hausku. Sungguh tidak disangka-sangka aku berjumpa dengan seorang sahabat yang sudah lima tahun tidak bertemu. Kami bersalaman dan berpelukan. Dia sudah jauh berbeza, kelihatan agak berisi dan tampak jauh lebih matang. Janggutnya yang agak panjang menampakkan dia bertambah warak biarpun dia hanya berkemeja dan berkopiah putih.
Akram hanya mengukir sekuntum senyuman yang jernih dengan kerinduan. Dia menceritakan bahawa dia terpilih untuk menunaikan haji dari keputusan cemerlang di universitinya. Pertama kali aku mendengar mengenai hadiah kecemerlangan sebegini. Ketika berbual, aku bercerita mengenai pengemis tadi.
"Biasalah, kanak-kanak banyak yang dijadikan mangsa sindiket peminta sedekah." Dia lalu menceritakan. "Di tempat ana ada kanak kanak yang dipotong tangan sejak lahir untuk tujuan meminta sedekah. Ada yang sengaja dikudungkan kaki mereka. Ada juga yang dibiarkan buta."
"Siapa mereka itu?" tanyaku separuh menyelidik.
"Ibu bapa merekalah." Jawapannya membuat aku susah menelan liur.
"Bukankah tempat anta semuanya muslim?" aku semakin sukar untuk mempercayainya.
"Memanglah muslim. Tapi dasar ekonomi masih kapitalis." Dia menghabiskan air zamzam di tangannya.
Sejak dialog itu aku sering berdoa agar Allah mengampuni umat ini. Aku mengingati semula tragedi-tragedi di dunia Islam. Apakah bala untuk umat ini? Aku memandang kaabah dengan air mata. Bukankah Empunya Kaabah ini telah mensyariatkan zakat dan sedekah. Apakah pemimpin-pemimpin muslim lakukan dengan syariat itu?
Selesai Isya aku pulang ke tempat penginapanku di kaki Bukit Ajyad. Di sana aku bersama rakan-rakan lain. Kami lebih suka bergerak sendiri sementara menunggu masa haji. Kami bebas bergerak kerana masing-masing mampu berbahasa Arab. Kami lebih suka bergaul dengan jemaah dari negara lain, bagi meluaskan konsep taaruf dan ukhuwah yang merupakan hikmah sampingan ibadah haji.
Hari berikutnya, aku ternanti-nanti pengemis muda semalam. Namun kelibatnya tidak dapat dikesan. Begitu juga hari berikutnya. Keesokannya, aku mengelilingi Masjid Haram, sengaja ingin menjejaki pengemis muda itu. Terdetik di hatiku, apakah remaja itu benar-benar manusia, atau lelaki karomah? Rasa serba salah dan tidak keruan menyeliputi sanubariku. Aku menoleh ke arah Kaabah, ingin meraih ketenangan dengan melihatnya. Aku penuhi setiap langkah dengan istighfar memohon keampunan. Untuk Zohor kali ini, aku mendapat tempat di hadapan multazam.
Selepas solat, aku berdoa untuk semua kaum keluarga dan sahabat handai. Aku berniat untuk beriktikaf sahaja sampai maghrib nanti. Oleh kerana aku sudah menyediakan tiga butir tamar untuk berbuka tidak perlulah aku keluar lagi dari masjid. Selesai solat, aku mengambil tempat berhampiran Bukit Safa. Aku membuka lembaran buku doa yang disediakan oleh kerajaan Saudi. Aku membaca doa-doa yang diajarkan nabi di dalamnya. Berpuasa membuatkan aku cepat letih untuk menunaikan tawaf sunat. Aku sekadar berdoa berselang-selikan dengan tilawah. Asar masih lambat lagi, jadi aku bersandar di salah satu tiang berhampiran, sambil melunjurkan kaki menghilangkan lenguh bersila.
Aku terlihat kelibat seorang pemuda yang kurasakan mengenalinya, lalu aku memerhatikannya dengan lebih teliti.
"Wahai anak muda, kenapa kau mengemis? " Soalku tatkala mendapati dialah remaja yang aku tercari-cari beberapa hari lalu.
"Kerana aku memerlukan makan." Jawab remaja itu.
"Di mana orang tuamu?"
"Mereka ada di rumah menjaga adik-adikku." Jawabnya ringkas.
"Apa jadi dengan mereka?" Aku masih belum berpuas hati.
"Ibuku kudung tangannya, manakala ayahku buta." Jawabnya selamba.
"Bagaimana mereka menerima nasib itu?" Aku terus ingin tahu.
"Kami sememangnya mengemis sejak turun temurun. Ibuku memang kudung sejak lahir. Ayahku pula buta kerana demam panas lima tahun lepas. Sejak dia buta aku yang mengemis untuk keluarga." Cerita remaja itu. Namun kali ini dia tidak berpakaian comot. Dia berbaju putih yang bersih.
“Aku telah nekadkan untuk bersedekah kepadamu duit ini." Aku menghulurkan seratus riyal. Remaja itu memandang aneh padaku.
"Kamu simpan sahajalah duit itu."
"Aku ikhlas untuk bersedekah kepadamu." Terus si remaja itu berlalu tanpa berpaling. Aku memanggilnya berkali kali….
"Saudara bermimpi ya?" Ada sejalur suara mengejutkanku. Aku kaget apabila melihat remaja pengemis itu, apatah lagi penampilannya serupa seperti dalam mimpiku.
"Ya aku mimpi bertemumu." Jawabku.
"Pernahkah kita bertemu sebelum ini?" Soal remaja itu.
"Beberapa hari lalu aku mencarimu. Aku pernah melihat engkau mengemis, pada hari pertama aku tiba. Beberapa kali kau melintasiku namun kau tidak menyedari kewujudanku." Aku bercerita kepadanya.
"Sungguh aneh," katanya. "Sudah empat hari aku di sini bermunajat dari Subuh hingga ke Isya memohon bantuan dari Allah.”
"Sungguh, aku memang melihat kau mengemis, dengan pakaianmu yang comot kau meminta dari seorang ke seorang yang lain. Bahkan kau ada kawan-kawan untuk bermain dan bersembang. Aku melihat semuanya pada hari pertama aku di sini," bersungguh-sungguh aku menjelaskan.
"Sememangnya aku kesempitan tetapi aku yakin hanya Allah yang dapat menolong aku ini. Ayahku jatuh sakit sehingga buta matanya. Ibuku pula sudah puluhan tahun kudung. Masa ayahku sihat, dia menjaga ramai anak yatim. Namun aku tidak tahu apa kerjanya. Katanya dia hanya pengemis di kota larangan. Dia memberitahuku bahawa dia sering memohon Allah membantunya setiap hari memberi makan anak-anaknya, iaitu aku dan adik-adik angkatku."
"Tahun ini kami benar-benar hilang tempat pergantungan. Aku tinggal berhampiran persimpangan Kudal. Dahulu aku mengisi air zam-zam dan menjualnya kepada penduduk sekitar itu. Selepas kerajaan menutup paip zam-zam di Kudal aku terpaksa berulang alik dari Haram ke rumah, aku hanya mampu membawa tiga tong sehari kerana jarak yang jauh. Lalu ayah menyuruhku mengemis di kota larangan sepertinya. Sejak itu, baruku tahu bahawa ayah aku hanyalah seorang pengemis di masjid Haram," ceritanya lagi.
"Jadi betullah kamu si …." belum sempat aku meneruskan soalan dia bingkas bangun dan berkata "…demi Allah, aku tidak pernah meminta sesama hamba. Aku hanya memohon dari Tuan Yang Maha Kaya."
Aku diam. Aku cepat-cepat menyeluk saku kananku untuk mengeluarkan isinya. Alangkah terkejutnya aku apabila mendapati sebanyak empat puluh ribu riyal berada dalam saku itu. Sambil memejamkan mata, sambil aku serahkan kepadanya
Dia terus bersujud mensyukuri pemberian Tuannya. Aku turut sama sujud mensyukuri keajaiban ini. Kami berpelukan sambil menangis. Aku menangis kerana istighfarku kini diterima Allah. Dia menangis kegembiraan kerana terkabul doanya. Berkat dia mentauhidkan Allah dalam meminta bantuan semasa kesusahan. Aku menyedari bahawa segala yang berlaku dalam dunia ini Allah jadikan sebab agar mengaburi insan dari melihat kuasanya secara zahir.
Aku bertemu pengemis sebenar di Kota Larangan.

Saturday, June 21, 2008

Jinak Bangsa Hamba.

Tuhan sumber segala.
Dari hujan ada rahmat.
Dalam air ada nikmat.
Keduanya kandung bala.

Alam aturan Pencipta.
Ada kuasa, punya mangsa.
Timbul kuat, zahir lemah.
keduanya punya hikmah.

Wujud manusia dengan bangsa.
Haiwan semua makhluk bernyawa,
hidup bersama menghindar ajal.
Keduanya punya jiwa.

Semua dicipta sebagai tanda.
Besar Pencipta jadi cerita.
Agung Yang Esa jadi berita.
Sebagai jinak bagi bangsa,
supaya cakna agar tega.

Hanya yang merasa mulia,
bangga jadi hamba.

Siddiq Osman.
di akhir lorong sepi.
22 Jun 2008.

Friday, June 13, 2008

Legenda atau lagenda?




siapakah lagenda? semua orang mengetahui bahawa lagenda kepahlawanan melayu adalah Hang Tuah dan Hang berlima. Tetapi apakah mereka itu lagenda, sejarah atau sekadar mitos? Apabila disebut P Ramlee semua orang bersetuju beliau adalah lagenda seniman. Lagenda hidup juga ada seperti Pele yang disebut sebagai lagenda pemain bola sepak.




Jadi apakah bezanya lagenda, sejarah dan mitos. Kita menyebut cerita dongeng seperti Jack dan pokok kacang gergasi. Jika Mitos melayu kita terlintas hikayat Malim Deman. Apakah mitos itu cerita hikayat? Seperti Hikayat Merong Maha Wangsa atau apakah mitos itu sejarah yang samar seperti kisah Mahsuri dan si Tanggang?




Pada pandangan saya lagenda adalah tokoh yang tiada dijumpai orang sehebatnya dalam sesuatu arena tertentu, ditambah dengan masyarakat yang banyak mengagumi dan mengakui kehebatan itu. Jadi jarang berlaku Lagenda itu banyak. Kecuali seperti lagenda Hang Tuah bersaudara keadaan ini berlaku kerana mereka ini berkumpulan. Ada yang sampai mengangkat kehebatan Tuah sehingga telah mendakwa dia bukan mati tetapi hilang bersama Puteri gunung Ledang hal ini bukanlah pelik kerana apabila seseorang mencapai tahap kekaguman kepada manusia mereka sanggup menyatakan sebarang cerita untuk menonjolkan lagi kehebatan lagenda itu.




Lagenda sebenarnya adalah manusia yang dikurniakan bakat dan keupayaan yang istimewa. Kebanyakan lagenda berakhir dengan misteri. sehingga lahir berbagai cerita orang mengenainya. kadangkala tokok tambah ini mengelirukan fakta sejarah yang sebenar. Contohnya kisah Hang Tuah bersaudara. Jika dipetik dari manuskrip sejarah era Melaka, Riau dan Jawa maka Hang Tuah logisnya wujud. Tetapi kesan kwujudannya tidak jelas. Apatah lagi Mahsuri seorang rakyat biasa yang difitnah jadi cerita mengenainya telah menutupi kesahihan wujudnya dia.




Apakah tujuan kisah mereka diubah suai? saya merasakan tujuan utama pengubah-suaian ceritera mereka ini adalah bagi menambat hati pendengar agar turut sama kagum. Manakala tujuan sampingan adalah ingin menegaskan bahawa cerita itu bukanlah semata mata untuk sejarah tetapi untuk pengiktibaran. Saya tertarik dengan dialog dialog dalam cerita seperti ini.


bagaimana mungkin dialog ini pasti atau sepertimana dialog yang sebenar? Kita tidak memiliki amanah ilmu seperti bangsa Arab seperti ilmu rijal dalam ilmu perawi hadith. Kalau dalam menilai hadith Teks dan Perawinya dikaji sama imbang. Jadi teks itu dapat ditapis dengan tapisan ilmu. selain itu kita tidak ada rentetan sanad yang bersambung seperti arab. Bahkan salasilah keturunan kita juga kabur.




maka lagenda ini mengajar kita bahawa kita menuju ke kemajuan teknologi tetapi asas sebenar ketamadunan kita tertinggal jauh. Kita mungkin boleh maju sebagai negara teknologi tetapi asas kita untuk melahirkan Modal Insan yang bakal memacu teknologi ini sangat rapuh. Saya merasakan kementerian Pelajaran Malaysia perlu menubuhkan grup pengkaji sejarah Melayu untuk menulis semula buku teks sejarah Malaysia dari awal sehingga sejarah modern untuk membaiki asas jatidiri watan melayu. kita perlu ingat satu kenyataan yang paling merugikan adalah china di Malaysia asalnya bukan Islam. inilah satu kenyataan yang sepatutnya dikaji dan dirumuskan semula.




Halalkanlah huruf e atau a dalam kalimah lagenda atau legenda tetapi haramkan pemalsuan sejarah bangsa yang kita cinta dan diami.

Wednesday, June 11, 2008

apa kata Tun...

Malaysia mengeluar lebih kurang 650,000 tong minyak sehari. Kita guna 400,000 tong dan selebihnya 250,000 tong di export.Tiga tahun lalu minyak mentah dijual pada kadar USD30 satu tong. Hari ini ianya USD130 – kenaikan sebanyak USD100. Hampir tiada peningkatan di dalam kos pengeluaran oleh itu lebihan USD100 boleh dianggap untung bersih.250,000 tong yang dieksport sepatutnya memberi kita pulangan 250,000 x 100 x 365 x 3 = RM27,375,000,000 (Dua puluh tujuh bilion Ringgit).Tetapi Petronas untung lebih RM70 billion, yang kesemuanya milik Kerajaan. Kerajaan ini melimpah dengan wang. Selain minyak, harga minyak sawit, getah dan timah juga meningkat lebih kurang 400 peratus. Keuntungan syarikat perladangan dan bank-bank juga mencecah sehingga RM3 billion tiap satu. Cukai yang dibayar juga sudah tentu mengalami peningkatan yang tinggi.

rujuk http://www.chedet.com/2008/06/oil-price.html

Monday, June 09, 2008

Berjimat cermat.

Ayahku berpesan, jangan membazir.
Ibuku berkata cermat itu selamat.
Bahkan AlQuran mengajar boros itu keji.

Nabi Bersabda walau disungai
berpadalah dalam wudhukmu.
Semuanya kukhatam sedari kecil.

Kini seekor sahabat Syaitan,
ingin mengajar masyarakatku.
Ajaran ini mungkin baru,
bagi sekolah Islam Hadhari.

Dahulu duit negara dibuang,
kini duit rakyat diburu.
Katanya kita perlu berjimat.
Katanya kita sentiasa fikirkan rakyat.

Sedangkan tilamnya derita sejagat.
Hidangannya jerih berdaulat.
Pakaiannya kebencian kesumat.

Berjimatlah perkataanmu,
cermatlah laung serumu.
Kerana inilah jalan selamat.
Melambat tarikh keramat.
Sumpah seranah ini bukan hanya meluat.
Tetapi doa yang keramat.

Jangan kau ajar kami jimat.
Jangan kau suruh kami cermat.
Sedang kau jahil amat.
sedang kau kufur nikmat.

Jimat cermat telah kami semat
zaman berzaman sebagai adat.

Rakyat yang murka.
di bumi orang susah.
9 Jun 2008

Friday, June 06, 2008

seperti kera.


Pemimpin umpama pengembala,
menjaga makan minum rakyatnya.
Keselamatan dipelihara, tiada siapa
mampu mengancam sejahtera.

Bahagia mereka jadi agenda.
Ada cedera segera dibela.

Kini pemerintah macam kera.
Pisang diupah lupa segala.
Kelapa yang bergayut ditendang ke tanah.
Keselamatan sang sabut dikopek kupas.
Disepak berguling kelapa ke tangan peraih.
Sudah dibogel dibelah pula.
Dari bersatu berpecah dua.

Belum puas hati sang kera.
Walau kelapa menangis bertimba.
Diparut parut kantung mereka.
Sudah diparut diperah pula.

Mengalirlah darah suci tiada noda.
Ditadah hirup mereka durjana.
Tempurung minda dijemur pula.
Biar kering hilang semua.

Sudah dijemur dicukur semua,
dikikis licin dipotong ceria.
Inilah kemajuan yang dibangga.
Rakyat ibarat kelapa.
Jadi santapan yang berkuasa.

Siddiq Osman
Khartoum, sudan

Thursday, June 05, 2008

minyak oh minyak


PM : minyak naik!

rakyat: pulak dah.

pemerhati: Minyak naik?

Pembangkang: kesian.

Umno: eh, oklah tu.


Minyak kau umpama air bagi teknologi.

Minyak kau bagaikan periuk nasi bagi Menteri.

Bila minyak naik...


Rakyat merasa dizalimi,

orang kaya akan memnting diri.

Orang miskin akan menyendiri.

Pemimpin akan melepas diri.

Bila minyak mahal...


Barang akan ikut mahal.

Rakyat akan jadi takut.

Kuasa beli akan menyurut.

Jenayah menambah jerut.

Bila minyak melambung.


Awas! Rakyat akan naik minyak.

Awas! Talqin untuk mereka bakal tiba.

Awas! Kesempitan ini akan berbalas.


PM: tinggi tu tinggilah juga,

Rakyat: bodoh punya pemimpin.

pemerhati: satu kesilapan baru.

Pembangkang: Kami akan protes habis habisan.

Umno: aah tinggila.