Say no to Israel

Say no to Israel
Say Yes to Plaestine

Saturday, January 20, 2007

sistem bantuan


Sistem Bekalan Air Sokongan

Seperti kebiasaan hari raya menjanjikan jamuan dan juadah yang enak dan lazat. Bahkan rumah rumah terbuka sering menghiasi minggu kedua sehingga akhir syawal. Begitulah juga dengan Persatuan Mahasiswa Malaysia di Sudan.

Catatan kembara kali ini akan menyingkap satu pengalaman baru dalam mengharungi rona rona kehidupan di Sudan. Sudan dan masalah bekalan sumber tenaga seperti air dan elektrik adalah biasa. Pelajar Malaysia di Sudan sudah membiasakan diri dengan keadaan ini. Namun baru baru ini setelah kami sepakat untuk mengadakan majlis rumah terbuka Aidil Fitri bagi persatuan untuk 300 jemputan kami mengalami masalah besar iaitu bekalan air untuk rumah persatuan terputus dan dijangka mengambil masa yang lama untuk dipulihkan.

Kami mencari jalan keluar dengan berbincang sesama kami bagi mendapatkan bekalan air sokongan. Rumah pelajar yang terdekat adalah 500 meter dari rumah induk. Untuk mengangkut air bagi membersih rumah dan masak memasak adalah suatu kerja yang melambatkan. Akhirnya seorang sahabat mencadangkan agar dipanggil "moyah karo" ke rumah. Cadangan itu sangat membantu. Tetapi masalah baru ialah di mana ingin dicari "moyah Karo" berikut. Pasukan membeli barang kembali dari pasar. Saya tergolong dalam pasukan ini.

Kami sebenarnya sudah terserempak dengan 2 buah "karo moyah" di pasar tadi. Lantas kami menyuarakan apa yang kami tahu. Memandangkan aktiviti memasak perlu disiapkan awal maka pasukan pembeli barang tadi dijadikan pasukan pemburu "moyah karo" setelah 20 minit berjalan di pasar markazi. Akhirnya kami menjumpai buruan kami. "moyah karo" yang dipandu oleh Mohammad telah disambar oleh kami. Mohammad berkeras dengan harga sd1500 pada awalnya namun saya dan sahabat saya memujuknya supaya menerima sd1000 sahaja. Setelah tawar menawar beberapa ketika kami bersetuju dengan harga sd1200. namun "baramil"nya sudah hampir kosong maka kami meminta agar dipenuhkan dulu "baramil"nya sebelum dibawa pulang ke rumah. Dalam perjalanan kami terserempak dengan sebuah lagi "karo Moyah" yang dipandu oleh Abdullah.

Saya cepat cepat terjun dari "Karo" milik Mohammad untuk menangkap "karo" Abdullah pula. Setelah berbincang Abdullah bersetuju dengan harga yang sama kami tawarkan pada Mohammad. Lalu Mohammad mencadangkan agar dipenuhi "baramil" milik Abdullah dahulu kemudian seorang dari kami mengikutnya mengambil air manakala seorang lagi membawa Abdullah pulang.

Rupanya pusat pengambilan air mereka agak jauh. 15 minit saya menjadi tarikan orang ramai kerana membonceng Mohammad di belakang "karo"nya sebelum sampai ke pasar Syirq. Saya agak seronok dibuai lenggok denai pasar itu yang berbonggol bonggol. Seakaan akan berada di zaman koboi atau kampong badwi. Kisah Luqman Al Hakim dengan anaknya menunggang keldai secara automatis melintasi fikiran saya. Rasa kagum dengan kemampuan keldai itu mengembalikan saya kepada doa menaiki kenderaan yang diajarkan nabi. Sungguhlah jika Allah tidak memudahkan makhluk lain mendengar perintah manusia mustahil manusia dapat pergunakan mereka.

Doa yang selama ini kita amalkan semasa menaiki kenderaan kurang penghayatannya kerana kenderaan itu manusia sendiri yang buat dan tidak ada rasa marah dan benci. Sesungguhnya Allah maha menciptakan.

Setelah sampai ke pam air yang dimiliki sendiri oleh Mohammad saya dijemput turun. Di sana ada beberapa lagi "karo Moyah" yang berkumpul untuk mengisi air. Rupanya tempat ini merupakan milik Mohammad sendiri. Sungguh penting air kepada manusia. Melihat kepentingan inilah rasanya mencetuskan idea ini kepada orang seperti Mohammad untuk melebat bakti menjadi sumber sokongan kepada sistem bekalan air di sudan.

Menurut Mohammad "moyah karo" bukanlah alternative baru. Sebenarnya sebelum sistem paip disediakan secara meluas "moyah karo" merupakan jalan utama air untuk sampai ke kawasan yang jauh dari perigi dan sungai. Bahkan sehingga kini di kawasan kawasan pedalaman seperti qadarif, darfur dan negeri negeri lain di luar Khartoum masih menggunakan khidmat ini sebagai bekalan utama bagi air di Sudan.

Semoga pengalaman kali ini dapat menjadi gambaran kepada pembaca bagaimana insan lain yang berada di tempat yang susah mendapatkan nikmat Allah dan mereka bersyukur dalam keadaan seadanya. Mereka hidup dalam keadaan susah tetapi sentiasa redha dan berusaha untuk meneruskan kehidupan dalam panduan cara hidup Islam yang diredhai Allah. Mereka tidak mengambil hak orang lain. Sedangkan bukan tidak boleh Mohammad mengambil air dari mana mana pili yang berdekatan. Tetapi rasa amanah membuat dia sanggup bersusah payah berulang alik ke pusat air miliknya bagi memastikan hasilnya adalah halal. Sampai jumpa lagi dalam catatan akan datang.

_____________________________

  1. Karo = kereta keldai
  2. Moyah = air
  3. Moyah Karo = air yang dibawa oleh keldai.
  4. Karo Moyah = kereta keldai yang membawa air.
  5. baramil = tong drum @ bekas takungan air yang besar.

Wednesday, January 10, 2007

Tulisan Arab... asalnya dan perubahannya.

Sumbangan Abul Aswad Ad Du ali Dan Dua Anak Muridnya Dalam Penulisan Arab.

Abul Aswad Ad Du ali merupakan seorang ulama dari kalangan tabiin. Beliau lahir sebelum hijrah tetapi tidak pernah bertemu rasul sepanjang hidupnya. Nama sebenarnya ialah Zalim Ibn 'Amru Ibnu Sufyan. Memeluk Islam di akhir hayat rasul. Meninggal dunia ketika beliau berusia 57 tahun. Beliau merupakan ulama bahasa dan fiqh.

Pengaruh Islam tersebar luas semasa hayatnya. Islam telah sampai ke luar liputan Arab. Maka di masa ini tidak semua muslim mahir berbahasa Arab seperti di zaman rasul. Bahasa Arab bukanlah seperti yang ada di tangan kita hari ini. Ketika iu tiada sebarang perbezaan atara huruf "Dal" dan "Zal" bahkan huruf "Nun", "Ba" , "Ta", "Sa" dan "Ya" adalah dalam satu bentuk tanpa sebarang titik. Namun orang arab mampu untuk membacanya berpandukan perkataan sebelumnya dan susunan ayat. Ketiadaan baris dan titik sedikitpun tidak menjadi masalah bagi mereka membaca sesuatu ayat dengan betul.

Namun kemampuan ini hanya pada orang arab yang boleh membaca dan menulis. Setelah Islam berkembang dengan pesat maka berlakulah kesilapan kesilapan yang banyak dalam bacaan Al Quran. Antaranya Al Lahn yang bermakna kesilapan bacaan kerana kesalahan meletakkan baris. Kesilapan ini bukan sahaja di kalangan orang bukan Arab. Bahkan di zaman nabi juga ada sahabat yang tersalah dalam bacaan mereka. Sehingga nabi pernah bersabda "ajarlah saudara kalian agar mereka tidak sesat" merujuk kepada saranan agar sahabat membetulkan bacaan saudara mereka.

Namun kerana sedikit sahaja golongan yang sering tersalah maka tiada sebarang usaha memajukan tulisan Arab yang telah sedia ada. Bagaimanapun di zaman Saidina Ali. Beliau meminta Abul Aswad Addu ali yang masyhur sebagai ahli bahasa dan penulisan untuk mencari jalan keluar bagi masalah ini. Pada mulanya beliau enggan melakukan perubahan ini kerana risau dari terjatuh dalam perkara bid'ah. Setelah melihat kepada maslahah dan berfikir panjang akhirnya beliau bersetuju. Ada riwayat lain yang mengatakan bahawa beliau telah di minta oleh wali Basrah iaitu Zayad Ibn Abihi.

Setelah mengkaji jalan atau penyelesaian untuk urusan ini, maka akhirnya beliau menggariskan kaedah baru dalam penulisan arab, iaitu dengan meletakkan kaedah kaedah berikut:

1- Setiap huruf yang berbaris atas akan ditandakan titik di atas huruf itu.

2- Setiap huruf yang berbaris depan akan ditandakan titik di hujung huruf itu.

3- Setiap huruf yang berbaris bawah akan ditandakan titik di bawah huruf tersebut.

4- Setiap huruf yang tiada baris iaitu mati tidak di letakkan sebarang titik.

5- Manakala baris tanwin ditandakan dengan dua titik.

Maka dengan itu al quran dibariskan mengikut kaedah ini agar bacaannya terjaga. Bagaimanapun masalah belum selesai kerana huruf huruf Arab belum dapat dibezakan seperti "Sin" dan "Syin", "Ain" dan "Ghain". Namun kelemahan ini disedari selepas wafatnya Abul Aswad.

Pada zaman pemerintahan Yazib Bin Marwan , Hajjaj Ibnu Yusuf telah mengarahkan dua orang anak murid Abul Aswad untuk menyelesaikan masalah At Tashif dalam tilawah Al Quran. At Tashif merupakan kesalahan bacaan kerana silap menentukan huruf. Pada mulanya Nasir Ibnu Asim Al Laisi dan sahabatnya Yahya Ibn Yu'mar enggan menunaikan permintaan ini kerana merisaukan ancaman bid'ah dalam menulis semula Al Quran dengan huruf baru. Namun setelah di desak dan memikirkan kemaslahatan terhadap umat ini lalu mereka bersetuju untuk menggariskan beberapa kaedah berikut:

1- meletakkan satu titik di atas huruf huruf berikut:

ذ,ز,ن,ض, خ,غ,ف,ظ

2- meletakkan satu titik di bawah huruf berikut:

ب,ج

3- meletakkan dua titik di atas huruf brikut:

ت,ق

4- meletakkan dua titik di bawah huruf berikut:

ي

5- meletakkan tiga titik di atas huruf berikut:

ش,ث

6- manakala baki huruf lain di kekalkan tanpa titik.

Maka dengan penetapan ini, perkembangan baru telah berlaku dalam seni penulisan Arab. sekaligus memudahkan orang bukan arab membaca Al Quran dengan bacaan yang betul. Namun begitu usaha memudahkan bacaan Al Quran dan bahasa Arab yang betul terus dipertingkatkan antara ulama lain yang terlibat ialah Al Khalil Ibn Ahmad Al Farahidi.

Semoga Allah menggandakan usaha mereka dalam memudahkan cara untuk umat hari ini. Kita seharusnya menjadikan usaha mereka ini contoh dan ikutan untuk menyumbangkan usaha ilmiah sebagai warisan kepada generasi selepas kita.