Say no to Israel

Say no to Israel
Say Yes to Plaestine

Thursday, August 28, 2008

Rinduku Kembali.


Kau penawar luka setahun.

Kau pengubat batin yang lumpuh.

Berseri senyum sang iman.

Mekar kuntuman bunga taqwa.


Kami mengintaimu dengan doa.

Kami menjengah terjinjat-jinjat menanti

ketibaanmu membawa sejuta erti.

Setengah tahun menanti buat diri berhati-hati.

Dijunjung amal dikilik bekal.

Bersedia menerima didikan sepurnama.


Siangmu menjanjikan sabar.

Malammu menyediakan rahmat.

Tidur bersamamu beroleh berkat.

Jaga disisimu bernilai amat.

Sehari bersamamu menambah tahun usia.

Tuhan aku pohon Kau temankan hitung dan percaya,

ketika aku bertemu rinduku.

Tuhan kuatkan jiwaku memenuh tawaranMu,

menuntut tugasku dengan bantuMu.


Wahai diri, pertemuan ini jangan kau bersegan silu.

Jangan lambat memesra rinduku.

Hangati kebersamaan ini melebihi bulan madu.

Biar terluah semua kasih terbalas segala dendam.

Kerana purnama cuma sekali mengambang,

membawa sepanduk nama Ramadhan.

Tuhan berkati pertemuan kami.


Siddiq Osman

27 Syaaban 1429

khartoum, Sudan.

Sunday, August 17, 2008

merdekakah kita?


Mencari Erti Merdeka.


Merdeka! Merdeka! Merdeka?

Nadaku meninggi, mendatar lantas menjunam.

Bapa Kemerdekaan menjelma di ufuk rasa.

Inikah hasil tuai yang mereka semai?


Angin berlalu menyapa,

repek apakah penyair ini?

Aku mendidnding sepoi bahasa itu dengan tegar.

Inikah bangsa setengah abad merdeka?

Tanah berpijak mengeliat durja,

celaka apa ingin kau jemput.

Aku menghentak gegar dengan cekal.

Bangsa merdeka bangsa berjiwa.


Hiburan bukan cita,

harta bukan segala.

Akal di kepala dijunjung.

Mulia ditatang bukan gendong.

Maruah bukan dirabak comotkan.
Langit menjeling, lalu berbisik.

Merdeka tetap merdeka.

Aku mendongak khilaf.

Merdeka itu perlu merdeka.

Bayu membuang sepoi pergi.

Engkau perlu belajar bersyukur.

Aku menjerit dalam telinga.

Syukur bukan untuk jadi alpa.


Akalku belum dijajah.

Mindaku dilindung kelambu wahyu.

Jiwaku dilambung kagum Sunnah.

Kisah juang mengisi labu kepala.


Kini jeriji besi bukan ugutan,

tali gantung atau muncung senapang bukan penghujung.

Tetapi, bungkam HIV, koma si rempit,

terburai maruah di akhbar.

Ini bualku.

Bukan bahasa kalian.

Bahasa fenomena tiada jiwa.

Bebas dipijak diludah di bumi merdeka.

Aku benci rai merdeka, bila

temanku meraba anak dara.

Aku benci sorak merdeka, bila

saudaraku mengemis bagai hamba.


Merdeka bermula di jiwa.

Merdeka mengalir di minda.

Merdeka bukan untuk dipesta,

tapi dijaga siap siaga.


Siddiq Osman

18 Ogos 2008

Khartoum, Sudan.

mingguan malaysia24ogos2008.

Saturday, August 09, 2008

Wira Palestina.


Allahu Akbar! lantunan bergema.
Buku-buku lima dijulang ke udara.
Bukan simbol kebencian, bukan
lambang dendam, bukan juga
mercu keganasan. Penafian
sebarang kedayusan, kebaculan
bagai dubuk kepada nusa.

Menjadi wira Al Quds, beerti:
Memperjuangkan agama.
Berakhlak pendukung takwa.
Kenal apa yang dijulang.
Kenal tangan yang bersalam.
Waspada kupang yang dibelanja.
Pendoa kecekalan saudara.

Wira Palestina, bukan semata:
Menjejak tanahnya, melancar peluru dan batu.
Harus mati di keliling Al-Aqsa.
Memacak bendera empat warna.
Tetapi,
Wira Palestina juga melahirkan anak sejuta.
Menulis memuji jihad mereka.
Mengemis ubatan mereka.
Menutup aurat mereka.
Merintih di malam sepi dengan airmata.

Wira Palestina bertebaran di mana-mana.
Berkongsi cita, cinta dan sengketa.
Bersama mencicip duka.
Bersama mendoa Syurga.
Jadilah Wira Palestina.

Wednesday, August 06, 2008

Sungai Nil Suam Meraikan Mereka.




5 ogos menjadi saksi pertemuan pejuang dari Bumi Suci dengan bumi berdebu. Persisiran Nil menjadi saksi obor semangat yang ditiup. Aku dan rakan-rakan turut memeriahkan keakraban dua watan. Mendengar lafaz cinta dua bangsa. Cinta yang sangat suci dan jitu. Bermadahkan Al Quran, bermaharkan perjuangan.


Khaled Mesyal berdiri megah menongkat kalimah tawakkal dan jihad, beliau adalah antara ribuan Salehuddin Al-Ayubi yang bangkit semula di bumi berkah Palestin. Khaled atau lebih dikenali Abu Walid mengungkapkan bait-bait peyatuan antara Palestin dan Sudan. Mereka terpisah oleh kewujudan Mesir, Mereka terbeza oleh hitam dan putih. Dataran Zaitun dan Tin berbeza dari dataran Kacang Tanah dan Gandum. Namun Akidah yang sejahtera dan keberanian Arab menjadikan mereka bersatu, bersepadu dan sebulat suara. Cinta mereka satu, cita mereka jitu dan musuh mereka beribu. Aku mengiyakan kata-kata beliau dalam diam dan jeda.
Dalam keadaan genting di Gaza, Khaled menjanjikan kemenangan bukan di Palestin tapi di dunia. Dia berpesan kepada seluruh pemimpin. Berpeganglah dengan Islam jangan gadaikan agama. Genggamlah Senjata jangan dihias di dinding kebaculan.
Aku sekali lagi mengangguk setuju. Ayat-ayat Quran bersusun dalam setiap baris ucapan. Semuanya dilontarkan dari hati yang faham dan praktis yang benar. 45 minit sangat pantas menemui ajal. Semoga jodoh Sudan dan Palestin akan berkesudahan dengan cambahan benih kebenaran.
Datangnya Khaled Mesyal untuk memberi sokongan sebagai Muslim yang sejasad terasa sakit bila Presiden Sudan Omer Al Basyiir yang berhadapan dengan ancaman mahkamah antarabangsa di bawah seliaan Yahudi , mencanangkan tuduhan-tuduhan busuk yang tidak pernah wujud.