Say no to Israel

Say no to Israel
Say Yes to Plaestine

Saturday, May 30, 2009

Mencari Erti Taubat

Malam ini malam jumaat.
Masa ku punggah abjad dari al-Kitab.
Geledah aksara mencari makna.
Buat membunuh alpa jua dosa.

Dalam kulihat rosak dunia.
Kunilai punah buana dan maya.
Diselak aib semua, Tuhan tujukan bicaraNya.
Sedang kamu ingatkan sekaliannya jangan dilupa jiwa sendiri.

Pempam jiwa renyuk rasa.
Takut pedih jua malu memukul raga jiwa.
Keruanku hilang diserap kesal.
Lutut jadi luluh,
pinggang lantas lekang,
kujur tubuh luruh,
dibalut rengkut sujud.

Lantai kehambaan membasah.
Dibanjiri titis insaf.
Hati yang kontang dek api ujub
kini mekar disiram air tawadhuk.
Kini kuerti kenapa al Faruq sukar lelap.
Kufaham apa yang mengekang kornea siddiq.
Jua ku percaya Muhammad bengkak kaki berdiri.
Kerana mereka amat mengamati abjad pada al-Kitab.
Kerana mereka kenal erti taubat.
Sedang aku semut yang cuba mendongak megah
dalam gelap yang kusangka medan dakwah.

Ampun Tuhan, ampuniku.
Aku pacal yang tidak pernah kenal diri.
Tolonglah ampunkan daku.

tanda-tanda Husnul Khatimah

Sesungguhnya mati adalah pasti datang. Selepas mati kita akan dikuburkan ada yang diberi nikmat ada pula yang diazab. Sebagai Muslim kita wajib percaya dan mengimani azab dan ganjaran di alam barzakh. Dalam masa yang sama kita mempercayai mengenai hari kebangkitan selepas alam barzakh.

Sesetengah kita tidak merasakan kegusaran ini. Sesetengah yang lagi takut membincangkannya sehingga menyebut mati pun tidak berani. Sesungguhnya husnul khatimah itu lebih baik dari kehidupan yang sementara ini. Apapun mari kita renungkan maksud Firman Allah ini: "sesungguhnya Akhiran itu lebih baik bagi kamu dari permulaan." Surah ad Dhuha.

Di sini saya sertakan beberapa petanda seseorang itu mendapat husnul khatimah.

1 - Kalimah akhir dari mulutnya adalah kalimah toyyibah. La ilaha Illa Allah.
2 - Meninggal pada hari jumaat atau malam jumaat.
3 - Merenik peluh di dahinya atau ubunnya.
4 - meninggal dalam peperangan dengan orang kafir (syahid)
5 - meninggal akibat Taun atau Penyakit-penyakit dalam perut.
6 - Meninggal dalam melakukan amal soleh.
7 - Meninggal disebabkan lemas atau terbakar.

Semua ini hanya setelah mereka yang meninggal tadi merupakan orang Islam dan mengakui keesaan Allah dan kebenaran ISlam.

Pohonlah kematian yang baik untuk mendapat tempat kembali yang baik. Mati bukanlah suatu yang buruk tetapi kematian yang buruk itu mengekori mereka yang meninggalkan kebaikan dan membencinya.

Sunday, May 24, 2009

Kematian Yang Kulupakan

Semalam guruku pergi,
sebelum itu nenda tercinta.

Mereka pergi melengkap cerita.
Kisah yang mesti tamat di sana.
Tetapi pergian ini mengingatkan.
Ingat pada bekal di bekas amal.
Ingat kiraan umur makin merenek.

Kematian yang kulupakan,
datang dari segenap penjuru.
Bukan ugutan sekadar ingatan.

Namun kematian sering jua dialpa.
Kerna kehidupan penuh leka.
Bagai berangan di pohon beringin,
ingin membina istana permata.
Sedangkan dosa tidak diiring airmata.
Pahala hanya di bibir kata.

Bilakah akan dipasak ingatan?
Biarlah sebelum diri diingati.
Andai mati berlumba dengan nyawa.
Akulah medannya, nyawa itu kelajuan.
Mati itu kepantasan.

Umurlah penamat,
taubat menjadi pingat.
Alpa menjanji laknat.
Diri dunia itu singkat,
pilihlah jalan selamat.

Siddiq Osman.

Thursday, May 21, 2009

bezakanlah

Jutawan Mesir bunuh penyanyi Lubnan dihukum gantung

KAHERAH: Mahkamah mengarahkan seorang jutawan Mesir dan bekas polis dihukum mati, semalam selepas mensabitkan mereka dengan kesalahan membunuh bintang pop Lubnan, Suzanne Tamim, tahun lalu.

Hakim mengarahkan Hisham Talaat Mustafa dan polis pencen, Mohsen al-Sukkari, digantung masing-masing kerana mengarah dan membunuh mangsa di kediaman mewahnya di Dubai pada Julai lalu.

Pemimpin kanan Parti Demokrat Kebangsaan yang memerintah Mesir, Hisham dibuktikan mengupah Mohsen sebanyak RM7 juta bagi membunuh kekasihnya itu.

Mayat Suzanne, 30, ditemui dengan kesan kelar di leher di apartmennya yang baru dibeli beberapa bulan sebelum itu.

Suasana mahkamah kecoh selepas hakim membacakan keputusan.

Hakim turut mengarahkan keputusan itu dirujuk kepada mufti untuk pengesahan.

Isteri Hisham pengsan, Mohsen pucat dan ahli keluarga masing-masing menangis ketika hakim membacakan hukuman. - AFP tapi di Malaysia apa jadi? cuba renungkan. Sedangkan Mesir dituduh banyak rasuah dan korupsi.

Saturday, May 16, 2009

kegagalan perkauman arab sebelum HAMAS


Oleh : Siddiq Osman.
Diringkaskan dan dipetik dari buku berjudul Sekular dan Palestin 60 Tahun Dalam Kegagalan Dan Apakah Seterusnya?- Dr Abdul Aziz Mustafa Kamil.

Sebelum ini kita telah menyentuh berkenaan sejarah penubuhan HAMAS dan perkembangannya. Saya rasakan kali ini sesuai untuk saya perjelaskan beberapa kecelakaan yang telah berlaku sebelum wujudnya HAMAS di bumi Palestin.

Seperti yang saya sebutkan pada artikel lepas mengenai Peperangan Nakbah yang merupakan tamparan hebat pada maruah Arab seluruhnya. Duka untuk saya berkongsi kegagalan tersebut dan beberapa kesedihan lain yang telah berlaku sebelum 1983. Ada baiknya kita mulakan dengan permulaan penubuhan Israel pada 1948 menerusi cadangan England dalam PBB pada 1947. Sejak itulah Palestin dibahagikan kepada dua negara Israel dan Palestin.

Perkara ini telah membangkitkan kemarahan Negara-Negara Arab yang berada di sekitar Palestin. Pakatan Nasionalis Arab telah dibentuk dari Iraq, Jordan, Syria, Lubnan dan dikepalai oleh Mesir. Dengan nama bangsa Arab mereka telah menyusun peperangan yang dinamakan Harb an Nukbah oleh Arab dan disebut Perang Kebebasan oleh Yahudi. Peperangan ini bermula 15 Mei 1948. Kekuatan dan kelebihan ketenteraan ketika itu didahului oleh Jordan namun malangnya, general mereka ketika itu beragama kristian.

Pada permulaan peperangan, roh Islam telah menyumbangkan kemenangan pusingan pertama, menyedari hakikat ini Britain dan Amerika telah mengusulkan gencatan senjata bermula dari 8 Julai 1948. Kepimpinan Arab menerima gencatan senjata ini dengan tergesa-gesa tanpa penelitian yang wajar. Peluang ini diambil sepenuhnya oleh Yahudi untuk meraih kelebihan dalam peperangan ini. Mahaim Baijin telah mengeluarkan kenyataan; “sehingga kini kami tidak tahu mengapa Arab menerima gencatan senjata sedangkan mereka sudah sangat hampir dengan matlamat mereka.” Setelah tamat tempoh gencatan senjata selama sebulan, peperangan tercetus kembali dan Yahudi berjaya mengusir tentera Arab ke sempadan masing- masing. Tidak lama setelah itu peperangan pusingan kedua dilancarkan pula oleh Israel dan mereka telah berjaya memporak-perandakan tentera Mesir dengan pengeboman satu-satunya pengkalan udara Mesir yang tidak terletak dibawah kuasa Inggeris pada ketika itu.

Setelah kejayaan serangan Israel terserlah dan mereka memerlukan masa untuk mengatur kembali serangan, mereka mengusulkan gencatan senjata. Anehnya Arab sekali lagi menerima gencatan senjata kali kedua ini.

Seterusnya mari kita kembali melihat kekalahan besar Arab pada 1967 (kekalahan ummah sebenarnya). Yahudi menamakannya Peperangan Hari-Hari Enam. Manakala Arab menggelarnya Harb an Naksah juga disebut Perang 5 Julai. Dalam peperangan ini Yahudi berjaya menceroboh beberapa negara dan menjajah beberapa sempadan negara. Matlamat Yahudi dalam peperangan ini adalah bagi menakhluki bandar al Quds dan menguasainya. Setelah mereka berjaya menakhluki al-Quds mereka telah meluaskan penjajahan bagi menjamin kedudukan mereka di sana. Peperangan ini telah menyebabkan Saina ditawan dan Mesir terperangkap dalam jerat perjanjian Camp David 1978.

Antara perjanjian rahsia Amerika dan Mesir :

1. Amerika menjanjikan bantuan tambahan bagi kewangan Mesir setiap kali
termeterai perjanjian damai dan perlaksanaannya berhasil.
2. Kerjasama antara pasukan perisikan Mesir dan CIA.
3. Amerika akan memodernkan ketenteraan Mesir dan menggantikan kelengkapan
senjatanya dari buatan Russia sekiranya Mesir enggan bergantung dengan
Russia lagi.
4. Pengurangan jumlah tentera Mesir dari 650 ribu kepada 250 ribu tentera.
5. Mesir akan menyediakan kemudahan ketenteraan di Saina untuk Amerika.
6. Membenarkan Amerika mnggunakan Syarmi Syeikh sebagai lokasi stratergik.

Bagaimanapun Syria menolak sebarang perdamaian dengan Israel. Ini jelas setelah mereka tidak menerima perjanjian damai Geneva sebelum Camp David.

Rentetan perjanjian Camp David telah mengakibatkan kesempitan pembebasan semula Palestin sehingga tercetus beberapa tragedi ngeri seperti pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan Syatila (khemah pelarian di selatan Lubnan). Walaupun Ronald Reagan yang merupakan Presiden Amerika ketika itu menjanjikan keselamatan pelarian Palestin di Lubnan. Namun Tentera Israel telah mengepung Kem-kem Pelarian di Sabra dan Syatila pada petang 16 September 1982 dan membenarkan 350 tentera Kristian Lubnan lengkap bersenjata melanyak pelarian Palestin sehingga mengakibatkan kematian 3000 orang awam yang tidak berdosa.

Inilah kejadian yang mengerikan dan perlu umat Islam ketahui dan ingati bahawa bahana meninggalkan Islam dalam perjuangan menentang musuh-musuh Allah itu sangat besar. Atas dasar kajian sejarah inilah HAMAS tertubuh bagi mewujudkan penentangan menentang Israel atas nama Islam dan dasar-dasar yang telah digariskan oleh Syarak. Sebenarnya apa yang saya ringkaskan di sini adalah sebahagian kecil dari kegagalan Arab dalam menghadapi Israel dari sudut Politik dan ketenteraan. Banyak lagi jika kita melihat sejarah lebih 60 tahun penubuhan negara haram Israel

Friday, May 15, 2009

Takziah pada dunia.

Takziah kuucapkan pada dunia.
Pulangnya seorang serikandi ilmu.
Walau tiada anugerah tanpa segala,
baktimu terbukti pada jiwa.

Anak didikmu berasa bangga.
Ada yang bangga dipulas telinga,
ada ditempeleng, dileter bebel pun sama.
Kami bangga kerana kau sertakan semua dengan kasih.

Takziah pada dunia kuungkapkan.
Hilangnya pendidik tulus, ikhlas dan mulus.
Pernah aku menumpang wira coklat berkilat.
Di persimpangan lampu tanda dikau bertanya lampu itu warna apa?
sedang keadaan begitu dikau pertaruhkan nyawa,
untuk menyuap kami dengan ilmu.

Dimana mungkin guru sepertimu mungkin kami temui?
Takziah pada kami, takziah pada semua.
Tahniah padamu kembali menuntut janjinya.
Ummi Halimatun selamatlah engkau sejahtera di sana.

Siddiq Osman
Mencari nostalgia bersama ummi.

Saturday, May 09, 2009

Aku Pendekar Cinta




Semalam mimpiku datang lagi.
Dia berkata,
duhai pendekar cinta!

Aku keliru membisu,
lalu menjawab.
Aku tiada perkasa.

Serunya bergema,
perkasa beza makna.
Kau perkasa rasa.
Sabar tepu penuh jiwa.

Jeda dan khali memenuh maya.
Sangga kukuh di sisi kulepasi.
Kini aku teguh bagai kersani.
Terpasak pada kaki sendiri.
Akukah?

Mimpiku telah pergi.
Kini tinggal butir-butir koka.
kuusap bersama tutur cinta.
Terasa jiwa mekar perkasa.
Menyerap zat dari penawar bicara.

Kain kasa tertera sabda baginda.
Ku tatap baca,
tiada iman sehingga cinta bagi saudara,
cinta seutuh cinta bagi diri.
Inilah azimat inilah keramat.
Bisikan serapah.

Aku bertanya, mengapa?
Datang suara menyapa.
Sebagai teman, sebagai cermin.
Bisikan hati bergetar, kemana?
Kukatakan pada hati. Akulah kembara itu,
kerana akulah pendekar cinta.

Siddiq Osman
mahu berjuang.

Thursday, May 07, 2009

Saadah Hamba Sangga Kelana.

Puing sahara menyinggah diherdik rimas.
Sepoi tropika diidam diam selama.
Sunnah dunia susunan yang Esa
dirungut bagaikan sama tara.

Sedang sihat dialpa taat,
Kala sakit  maksiat dilupa.
Inilah insan kata terbina lupa.
Hamba berlagak juara.

Resam hamba saadah tegaknya pangku
tawaddhuk, Sujud menjujung izzah.
Bahagia meneguk maghfirah dari bibir
taubat. Derita memerangi jiwa pada tabir
nafsu, iblis jua dunia.

Insan itu resamnya hamba.
Ingkar pilihan derita, Patuh tiada hina.
Menjadi hamba bukanlah kudung jiwa.
Mengukir taqwa pada rasa, memahat iman pada kerja.
Hati berbunga sepanjang kelana,
berkasihkan Khalil agong setiaNya.

Saadah lantai yang mengatur kembara.
Tunduknya lembayung  meredup nestapa.
Puing sahara diramah mesra,
Sepoi tropika digamit manja.
Rima aksara menolak alpa, diisi benak
minda terbuka. Mushaf sakti jadi gembala nyawa.
Jalan Nabi kejora asa.

Luluh sudah pendurja manusia.
Andai ikhlas menyangga setiap perkara.
Dalam kelana dunia ke syurga.

Siddiq Osman
mendamba saadah.

Saturday, May 02, 2009

Pulang kerana Cinta

Datar ini gersang rekah
menanti hujan hidayah.
Lembah ini kontang kusam
dibakar api dosa semalam.

Aku musafir di sini
meniti daerah sepi mencari,
tercari-cari diri sendiri.
Agar, bisa ku bawa pulang.

Ramai sudah pulang,
ada teman ada saudara
seteru pun sama. Ada
yang pulang kerana damba,
bagai pungguk rindu purnama.
jua pulang kerana takut,
bagai menikus di sangkar kucing.

Tetapi aku yang mencari aku,
mahu pulang kerana cinta.
Meminta redha meminta dicinta.
Sekalipun kuyakin cintaku ini hanya
cebisan dari kurnia cintaMu.
Aku tetap mahu pulang kepadaMu dengan cinta,
kerana cinta.

Sudah seribu satu rayu kumungkiri.
Sudah bersimpang tujuh puluh aturan kaki,
namun janganlah Kau campakkan kecewa,
jangan pula hapus asa dan biarlah citraku mekar
dibakar sinar cintaMu. Aku tahu Kau mahukan kepulanganku.
Aku tahu Kau rindukan rayuku.
Pulanglah aku kerana cintaMu.
Selamatlah diri wahai aku.

Siddiq Osman
meneliti taubat adam.