Assalamualaikum w.b.t., Salam Israk buat semua pembaca yang diberkati dan dirahmati Allah sekalian. Semoga peristiwa ajaib di bulan Rejab ini dapat menginsafkan kita kepada persaudaraan dan kesatuan untuk membebaskan bumi Israk dari cengkaman musuh-musuh Allah, Yahudi dan Zionis.
Risalah penyatuan Israk Mikraj ini saya mulakan dengan mengajak para pembaca meyakini bahawa Israk dan Mikraj itu terjadi membabitkan roh dan jasad Ar-Rasul. Ini merupakan perbahasan panjang di kalangan sesetengah ulama’ sehingga tercetus khilaf besar di kalangan umat yang kurang faham. Omar Al-Telmesani ada menyebut di dalam risalahnya berkenaan Israk Mikraj bahawa “Aku tidak memerlukan dalil untuk meyakini Israk dan Mikraj itu melibatkan roh dan jasad ar-Rasul tetapi untuk meyakinkan orang lain maka telah aku kumpulkan beberapa dalil aqli dan naqli.”
Di sini saya tidak ingin menghurai panjang persoalan ini, yang jelas Allah mampu melakukan apa sahaja. Sebagai mukjizat untuk Rasul yang terbaik dan paling mulia. Sedangkan Allah berdialog dengan Nabi Musa secara sedar dan juga Nabi Ibrahim a.s. Inikan pula Nabi Muhammad yang paling utama. Di malam Israk yang mulia, Rasul telah mengimamkan seluruh Nabi sebagai simbolik kesinambungan dakwah tauhid sejak zaman berzaman.
Dalam keadaan begitu, Rasulullah dimuliakan dan diangkat namun tiada setitis pun rasa ujub dan takabbur melintas di hati baginda. Bahkan tawaddhuklah sikap baginda seumur hayat dakwahnya.
Tawaddhuk dan sikap lemah lembut inilah yang menyatukan generasi awal para sahabat. Sempena Israk yang menginsafkan ini, suka saya ingatkan diri saya dan semua pembaca kepada kehilangan tawaddhuk di hati pendakwah bukan sekadar membantutkan kerja dakwah, bahkan menyebabkan timbul fitnah ke atas gerak kerja dakwah. Islam sejak dari awal dengan sifat asasinya tidak pernah memandang rendah permasalahan ujub dan takabbur.
Jadi mengapa perlu kita yang menggelar diri kita sebagai pelajar agama merasakan diri kita terlebih mulia dan layak menghina hamba Allah yang lain. Yakinkah kita amal kita yang disertai rasa ujub dan takabbur itu diterima Allah? Atau layakkah kita menapak angkuh di bumi Allah dengan kehambaan yang berlapikkan rasa takjub pada diri yang hina?
Marilah kita serap aura tawaddhuk dari peristiwa Israk dan hiaskan diri kita dengan pekerti Rasul. Marilah kita semaikan ikhlas dan kita terapkan istiqamah, dengan harapan Allah akan menerima amal kita dan meredhai kita. Insaflah kita setelah beberapa tahun kita menyambut peristiwa Israk sedang bumi Israk masih dijajah dan menjadi tanah sembelihan saudara-saudara kita. Dosa mengabaikan perjuangan membebaskan bumi Palestin akan terus terpalit pada buku catatan kita. Bergeraklah di medan kita untuk menguatkan kesatuan ummah dan kekuatan Islam agar kembali menjadi payung untuk seluruh alam.
No comments:
Post a Comment