Mungkin ada yang merasakan coretan ini telah terlambat. Mungkin ada yang merasakan ia bukanlah keperluan atau sesuatu yang tidak penting. Tetapi bagi diri ini coretan ini sebagai tanggungjawab dan masa tidak ada kaitannya dalam penilaian apa yang ingin diriku kongsikan.
Almarhum merupakan ustazku yang sangat disayangi dan lebih lagi disegani. Namanya bukan sekadar sebuah nama tetapi ia membawa lambang dan simbolik yang mengertikan apa itu dakwah, apa itu tarbiyah, apakah medan kalam dan apa pula medan amal, bagaimana disebut tanzim, apa yang diertikan sebagai amal jamaie.
Jawapan bagi seluruh persoalan ini bukan dijawab dengan kaedah dan huraian tetapi dalam tindakan dan contoh.
Apa yang sering memenuhi telinga mentahku ini suatu masa dahulu semakin masak apabila mengulang imbau teori teori itu dengan sikap dan hidup beliau. Dia selalu menyebut qudwah dan masalul a'la, dia juga sering bercakap mengenai keburukan double standard semuanya itu ditampilkan oleh beliau dalam pengajaran dan kehidupannya.
Sungguh dulu aku hairan mengapalah dia ini begitu dihormati. Apakah bezanya dia dari guru-guru lain? Apalah lebihnya dia? tetapi persoalan ini lenyap sejak aku mengenalinya dengan perkenalan yang benar. Aku kenal pelajar-pelajarnya yang awal. Aku kenal usahanya selain di sekolah. Aku bertaaruf dengan sejarah perjalanan hidupnya sebagai daie. Sungguh dia bukan sekadar daie tetapi dia juga murabbi.
Pujian-pujian ini bukan kerana aku muridnya tetapi kerana dia benar-benar murabbi. Orang bercerita tentang ukhuwwah berkajang-kajang tetapi dia bercerita tentang ukhuwwah dalam makan menggunakan talam. Rehlah dan jaulah, dalam senyum dan salam. Aku rindu pelukannya. Aku rindu tawanya bahkan kadang-kadang aku rindukan kemarahannya pada ketidak seriusan kami. Aduh sungguh manis hidup bersamanya. Bagaimanakah para sahabat rasul mengenang baginda? Ini cuma cebisan teladan yang dijelmakan dalam sebuah jasad yang merupakan pengikut Muhammad di akhir zaman.
Beliau mengajar bahawa perlu amal jamaie dengan menggunakan tangannya yang mulia untuk mencuci tandas yang kami gunakan. Dia mengajar kebersihan sebahagian dari iman dengan pakaian dan dirinya yang sentiasa terurus. Tidak pernah aku melihat rambutnya kusut. Bahkan dia sering marah-marah bila ada rakanku berwajah tidak terurus bersemuka dengannya. Rumahnya kemas dan rapi semasa beristeri juga selepas menduda. Aku tidak mengenali siapa-siapapun bersih dan kemas tetapi tidak cerewet sepertinya.
Entahlah adakah ini semua kerana aku suka mencari-cari kebaikannya atau sememangnya dia begitu tetapi percayalah aku pernah mencuba mencari buruknya tetapi tidak pernah aku bersua. Dia sudah tiada tetapi jasanya merata-rata. Kerana dia bukan sekadar membina bangunan Surau sekolah kami, bukan pula sekadar mendermakan harta dan tenaganya untuk sekolah kami. Sebenarnya dia telah membina hati-hati yang ramai. dia telah menyuburkan ruh yang kehausan. Walaupun hidayah bukan di tangannya tetapi tarbiyah dari tangannya yang sering sakit-sakit akibat gout itu sungguh mengesankan.
Dia selalu sahaja menyuruh kami bersungguh-sungguh dia menyuruh kami jadi sepertinya. ya dia memang bersungguh-sungguh. Dia mampu bertahan memandu dalam keadaan tangannya sudah tidak mampu mengangkat sebatang pen. Dia pernah bertungkus lumus menjeritkan nama Allah ketika api sedang galak ingin membakar sekolah kami. Aku lihat itu. Kesungguhannya lebih marak dari api. Aku kadang-kadang keliru mahu memberi perumpamaan seperti apa murabbiku ini. kalau nak dibandingkan dengan api kerana semangatnya dia juga seperti tasik dengan ketenangannya memecah konflik. Jika mahu diibaratkan seperti gunung jasanya dia juga seperti lembah yang mudah didekati. Jika mahu ibaratkan seperti langit maruahnya tawaddhuknya tak pernah meninggalkan bumi. Jika mahu diibaratkan seperti cahaya seri wajahnya kadang-kadang kelam perit kehidupannya sangat suram.
Jika kalian melihatnya seperti aku melihatnya kalian pasti setuju dia inilah alam dalam bentuk anak adam. Semuanya ada padanya lekuk-lekuk bumi, bau-bauan udara, warna-warna cahaya dia mengajarkan perkenalan dengan Muhammad s.a.w dengan segala ruang hidup yang mampu digapainya. Dia mengajar kami solat, mengajar kami puasa, mengajar kami khat, mengajar kami akhlak, mengajar kami izzah, mengajar kami dakwah, mengajar kami riadhah, mengajar kami lughah mengajar kami menyembelih, mengajar kami bersedekah, mengajar kami cintakan alam, mengajar kami kehidupan dan juga mengajarkan kami kematian.
Dia seolah-olah tidak pernah lupa walaupun dia pernah mengatakan manusia itu sifatnya lupa. Aku merasakan dia telah layak untuk syurga. Pernah aku bertanya pada kucing peliharaannya selepas kewafatannya berkenaan ini. Dia seolah bersetuju denganku. Kucing itupun sudah tua walaupun sekadar tua seekor kucing tetapi pasti telah banyak dia belajar dari guruku itu.
Entahlah sejak beberapa hari ini aku sangat merindukannya. Sedang dia sudah sebulan lebih meninggalkan kami. Terasa mahu sahaja mengunjunginya bertanya itu dan ini. Aku rindu pada kelasnya pada cerita kudung kepalanya, pada cerita dia mula-mula belajar bahasa Arab. Pada cerita dia ke Penang, pada kisah dia mula-mula menaiki kapal terbang.
Kini murabbiku telah tiada tetapi kemungkinan aku bersama murabbi yang baru yang sehebatnya masih ada. Kerana Islam adalah dari Allah yang kekal selamanya. Pasti ada guru baru yang dilantik untuk mentadbir pengajaran madrasah hayah ini. Terima kasih Allah kerana memberi ruang untuk diri ini berkenalan dengan murabbi sepertinya.
No comments:
Post a Comment