Say no to Israel

Say no to Israel
Say Yes to Plaestine

Friday, November 12, 2010

Alam Baru Bagi Generasi Masa Kini.

Lama juga saya tidak menulis tajuk sebegini. Alhamdulillah akhir-akhir ini saya dikelilingi dengan nikmat sibuk. Setelah sibuk yang lepas hampir lengang sibuk yang baru pula menjelang. Apapun saya sangat bersyukur kerana dipilih olehNya untuk sibuk di muka bumi ini.

Dalam kehidupan generasi hari ini manusia semakin terkurung dari bebas menghirup udara yang beraneka dalam bentuk bumi yang berbeza-beza. Manusia bukan sekadar sudah terpisah dari alam flora dan fauna malah mereka telah terasing dari manusia sendiri. Kehidupan alaf ini bakal menempatkan manusia dikeliling gadget dan peralatan canggih yang kurang berurusan dengan manusia.

Kehidupan ini akan mengakibatkan banyak adab dan saranan Islam tak dapat dilunaskan. Bukan kerana Islam itu tidak canggih atau kolot. Tetapi ini kerana dunia maya yang disediakan teknologi menyekat kehidupan fitrah yang disediakan dalam sistem kehidupan Islam. Jika sebelum ini kita sering diingatkan tentang adab ziarah, menghormati jiran, beri/jawab dalam, adab di tepi jalan, di pasar, di rumah dan berbagai lagi adab lain. Kini ada ramai manusia yang hanya memerlukan komputer riba dan juga broadband untuk hidup sehari-hari.

Bagus kerana kita sudah maju dan boleh jimatkan banyak masa. Tetapi secara diam diam kita sudah semakin renggang dan jurang antara kita dengan saudara mara dan sahabat handai semakin dalam. Sekiranya dahulu kita ada istilah anak sedara 3 pupu atau 4 pupu. Kini sepupu pun sudah jarang bertandang ke rumah satu sama lain. Bahkan ada yang tidak pernah menziarahi ibu/bapa saudara sebelah ayah atau emak. Malah lebih dari itu mereka tidak kenalpun. Ini sangat merunsingkan sekiranya kita melihat dalam kacamata sosiologi yang sihat. Sepatutnya manusia berhubung, bersentuhan, melihat wajah secara berdepan, menghidu dan merasai saudaranya sebolehnya memahami hati dan perasaan suka dan duka. Tetapi kini tidak lagi sejak wujudnya teknologi komunikasi.

Alam maya lebih gah selepas terbinanya satu portal bernama facebook. Bahkan portal ini sudah mula disebut dalam khutbah-khutbah. Sebenarnya ada baik juga kewujudannya dalam dunia ini. Tetapi mudaratnya boleh tahan besar, kadangkala ia mampu menjadi pembuka atau pencetus kepada kemungkaran. Namun tidak dinafikan banyak juga golongan yang melakukan kebaikan di sana. Inilah yang perlu disedari oleh pendakwah hari ini. Bahawa kini mad'u mereka sudah berada di alam ini. Ramai dan sangat ramai. Pendakwah tidak mungkin boleh mengusir mereka dari berada di zon - zon maksiat alam maya seperti pencegah maksiat menangkap mereka-mereka berkhalwat!

Jadi, perlu disedari kita sudah memasuki ke era keruntuhan sistem kemanusiaan yang total. Kemudian harus juga kita cari jalan pulang dan kenderaan yang sesuai untuk membawa generasi muda kita kembali ke alam jihad dan dunia dakwah.

Kita perlu untuk terjun ke alam maya. Tetapi dengan kepandaian dan keperluan yang lengkap jangan sampai kita pula yang terjebak dengan arus deras alam maya lantas dihanyutkan terus sehingga kita yang lemas dan mati dalam lubuknya yang sangat dalam. Kita sepatutnya menerajui pelayaran menongkah arus dalam lautan internet ini agar senjata taghut yang canggih ini memakan diri mereka dan memenangkan Islam. Kita perlu mengislamkan dunia maya ini sama seperti kita perlu mengislamkan dunia nyata ini untuk akhirat yang bernilai.

Selamatkan generasi akan datang dengan mengubah gaya hidup di alam baru pada generasi masa kini. Tarbiyah itu di tangan kita dan hanya di tangan kita.

1 comment:

Rio Saputra said...

Inspiratif, Jazakaulloh atas nasehatnya, Barokaullohfik...
Kejayaan itu ada di tangan kita...
salam kenal, dari saya.
Rio