Sentiasalah
Kembali kepada Allah.
Bila
menyebut kata kembali kita selalu faham kita kini di kejauhan. Jika diterjemahkan dalam kata Bahasa Melayu
yang tidak kita gunakan merujuk kepada makna pergi kepada asal dari tempat yang
lain. Pulang juga membawa makna yang sama tetapi mungkin bezanya jarak temapt
lain itu. Jauh atau dekat, mungkin juga bezanya masa keberadaan kita di tempat
lain itu sekejap atau lama.
Masalahnya
bukan takrifan itu tetapi perlu juga disentuh untuk membuka fokus baru agar
kita segar. Seperti kita menukar ulaman atau manisan pada makanan rutin kita.
Kenyang yang dicari dari ruji itu juga tetapi tetap diubah penemannya.
Begitulah
ilmu yang pentingnya amalannya kerana sekadar tahu ia membeku. Jika diamalkan
barulah dihitung sebagai kebaikan. Kembali yang dirujukkan kepada Allah ini
bukanlah kembali yang membawa jasad atau ruh atau minda dari suatu tempat ke
tempat yang lain. Kembali ini hanyalah berkitar dalam tiga perkara ; ilmu , hal
ehwal dan perbuatan atau amalan.
Kerana itu
kata sentiasa dikepilkan agar tidak difahami kembali kepada Allah itu mati atau
bahasa yang dilembutkan oleh mereka yang sayangkan dunia dengan kata meninggal
dunia. Kembali kepada Allah yang ingin dibincangkan di sini adalah kembali
dalam keadaan hidup. Bahkan mungkin sebelum kembali mereka ini mati tetapi
tatkala mereka telah kembali kepada Allah maka mereka barulah hidup. Paling kurang
sebelum mereka kembali mereka sengsara bila sudah kembali mereka bahagia.
Jadi
kembali kepada Allah ini selalu kita alih bahasakan ke dalam bahasa Arab dengan
ungkapan Taubat. Bila disebut taubat fahamlah orang ramai apa yang diingini
olehku dengan tajuk di atas. Mungkin ada yang bertanya untuk apa dihurai
sehingga empat perenggan? Perlu untuk diketahui letak duduk taubat itu kerana
kalaulah dijelaskan kembali pada Allah itu taubat sahaja maka tidak cerah
taubat itu bagaimana dan apa.
Betapa cantik
bahasa Arab itu taubat itu maknanya kembali rujuk pula pulang. Bila disebut rujuk
maka kita faham akan masalah cerai atau talak. Disebabkan rujuk ini ada iddah
maka difahamilah akan pulang atau rujuk itu masanya singkat. Jadi taubat ini
lebih panjang. Mungkin juga lebih umum. Jika sudah bercerai di luar tempoh
iddah sudah tidak boleh rujuk. Mungkin inilah perkiraannya.
Mari kita
masuk ke dalam kota taubat ini. Maka jumpalah kita akan papan tandanya iaitu
Allah. Papan tanda kota ini tertulis Allah ini bermakna kota taubat ini daerah
Allah yang mana daerah Allah ada banyak dan yang masyhur Taubat, Tawakkal,
Redha, Iman, Hubb, Taqwa dan Rajak. Banyak lagi yang lainnya tetapi inilah yang
masyhur. Kenapa kita menceritakan perihal Taubat ini pada mulanya?
Inilah
kisahnya. Pintu kota ini menyatakan taubat yang sebenar itu atau kembali yang
hakiki itu mestilah beralamatkan Allah. Jika kita beralamatkan benda , keluarga
atau rakan sebaya maka sesatlah kepulangan kita dan berakhirlah di neraka. Maka
kita perlu pulang atau kembali dari selain Allah hanya kepada Allah. Jauh atau
dekat kita tersasar mesti kembali berpatah balik samada di lampu Isyarat atau
bulatan apatah lagi jika sudah terjumpa isyarat pusingan U. Maka pusingkan arah
kita untuk kembali kepada Allah.
Kemana
agaknya kita akan pergi selain kepada Allah bukankah Allah itu tidak mengambil
atau diambil ruang? Kita perlu ulang ingat kita bukan memindahkan salah satu
atau keseluruhan jasad kita. Tetapi kita mengubah dan pulangkan kepercayaan,
kecintaan, ketaatan, kepatuhan, ketakutan dan juga pengharapan hanya kepada Allah.
Bagaimana? Mestilah persoalan ini memerlukan jawapan yang tuntas. Boleh dikhabarkan
berubahlah... atau segeralah bertaubat… tetapi ini bukan jawapan yang tuntas
bahkan ia hanyalah jawapan yang pantas dan ringkas. Sebelum kita mahu kembali
kita mestilah mendapat keinginan kembali. Bagaimana mungkin orang sedang makan
sedangkan dia tidak inginkan makanan itu. Inilah yang berlaku di negara orang
yang kaya raya. Mereka membuang makanan kerana mereka benar –benar yakin makanan
itu aka nada gantinya. Manakala di negara orang papa kedana mereka akan makan
sehinggalah tiada apa lagi yang boleh dimakan kerana mereka benar-benar yakin
itulah makanan terakhir untuk mereka.
Masalahnya
dunia hari ini ramai orang kaya di negara miskin. Kita sering berasa kaya
amalan, kaya pahala dan kadangkala perasan kita menggunung sehingga kita percaya
Allah sangat kasih pada kita, sampaikan ucapan istighfarpun kita lupa. Alpa
kita seolah kita ini kaya dari Allah dan Allah pula yang mengemis simpati kita
dalam merayu istighfar hambaNya. Inilah orang miskin yang perasan kaya. Jelas
jawatannya hanyalah hamba. Biarlah hartanya dari Russia sampai Australia sekalipun
dia hanyalah hamba yang miskin dalam daerah orang miskin.Maka bagaimana orang
yang tidak tahu dia miskin sanggup mengemis?
Ada juga
yang faham dan percaya dengan sepenuh hati dia adalah si miskin yang melarat
tetapi dia tetap tidak mengemis. Ini bunyinya macam bagus, tetapi jika kita tahu
kerajaan mahu memberi kepada siapa yang miskin harta yang banyak asalkan dia
mengemis kemudian dia tidak mengemis juga maka apakah bagus atau budus namanya?
Maka sudah kenal diri perlu pula kenal Ilahi. Allah maha pemberi, maha pemaaf,
maha memberi Azab, maha gagah, maha penyayang dan maha pencinta. Minta sahaja
dengan tulus dan mulus maka terkabullah.
Ilmu yang
kita sebut di atas tadi itulah ilmu hakiki dalam mencari taubat yang tak
henti-henti. Bila kita kenal keperluan kita pada taubat dan kemampuan serta
kekuatan yang kita taubatkan diri dan jiwa padanya maka pastilah kita akan
sentiasa bergantung dengan taubat bagai pengemis dengan telapak tangan mereka,
atau bagai peniaga dengan barang jualan mereka, atau panglima dengan pedang
mereka mungkin juga supir dengan stering mereka.
Bertaubat adalah
hal perubahan keadaan diri dari satu jenis ke jenis yang lain. Dari jenis yang
hina ke jenis yang kurang hina. Dari jenis yang maksiat ke ibadat, dari yang
buta kepada yang celik mata dan dari yang pekak kepada yang peka. Mengubah hal
ini panjang juga kisah ceritanya kerana hal lebih susah diubah dari benda. Walaupun
kadangkala hal itu lebih kecil dari benda. Misalnya seorang perokok mungkin
sudah mencuba berpuluh kali untuk berubah tabiat menghisap sekotak rokok
sehari. Padahal kilang rokok telah mengubah berkapal rokok setiap hari.
Bagaimana mahu
berubah hal ini? Ada tiga perkara sebelum ubah kesemuanya pertama bersendiri
ketika ini kita kurung diri kita dari kehadiran selain kita. Agar terarah kita
melihat hanya salah sendiri. Kedua diam dari sebarang kata atau bicara biar
jangan ada alasan keluar dari lidah kita. Dan yang ketiga makan yang halal
semata agar darah dan daging menjadi wangi untuk membawa udara ke otak
merancang kehidupan yang paling akrab dengan Allah. bunyi seperti mudah kerana
bunyi bukanlah beban ia hanya getaran. Yang susah itu amalan kerana anggota itu
bukanlah daya tetapi beban yang akan digerakkan oleh iman.
Perbuatan
inilah yang menjadi pokok persoalan. Ia akan membawa kepada hukum dan atur
cara. Hukum bertaubat wajib dari dosa sunat dari alpa. Atur cara :sesal, tinggal,
azam, pulangkan hak kepada pemiliknya dan berterusan dalam kebaikan. Mudahkan? Memanglah
mudah Allah bukan suruh hafal Allah
suruh buat. Cuba buat sekali dulu! Gagal ? buatlah lagi! Gagal lagi? Buatlah lagi
! sampai bila? Sampai bila-bila! Berapa kali hadnya? Sampai nyawa di tenggorok
atau matahari timbul sebelah barat mana dulu itulah had.
Ok, baca
dan faham kemudian jom beramal.
No comments:
Post a Comment