Menulis adalah medan dakwah yang telah lama menjadi kegiatan ulama besar , bahkan ia juga menjadi medan menikam Islam dari luar dan dalam oleh musuh-musuh Allah yang bertopeng atau yang telanjang. Tetapi persoalan yang ingin kita bahaskan penulis yang menggunakan wadah ini kini ada beberapa kategori.
Ustaz-ustaz muda yang segar dari pusat keilmuan dalam dan luar negara menggunakan majalah majalah baru dan juga blog serta web untuk menyampaikan fikrah mereka dengan cara baru dan segar dengan ilmu yang dilambakkan dalam penulisan mereka untuk dipilih oleh pembaca atau pelanggan dakwah era kini.
Ustaz-ustaz muda yang dibayar untuk menulis di akhbar dan majalah ternama untuk menongkah arus masyarakat dengan mendatangkan nas nas terpencil dan dihurai dengan aliran terpilih. mereka ini ada tiga golongan : yang menerima dengan silat pulut mereka tersendiri menyampaikan mesej secara halus kepada pasaran dakwah dengan mengguna kaedah tauriyah dan sebagainya dalam penulisan mereka agar mesej diberi untuk memberi manfaat kepada agama tanpa menyinggung musuh agama. kedua yang menerima dan mengikut setiap saranan dan arahan. dan yang terakhir memilih untuk menolak secara jelas dan menganggap minyak dan air tidak boleh bercampur.
seterusnya ada anak anak muda yang ilmunya masih mentah tetapi berani dan lantang menulis di dalam blog milik mereka dengan mengeluarkan pandangan peribadi mereka serta berasa yakin pada hujjah-hujjah mereka dan mereka ini mempromosikan idea mereka serta merasakan inilah kebenaran yang orang tua perlu lihat. Kacamata mereka lebih tajam dari pengalaman orang tua yang sudah kabur. Mereka memberi wajah baru pada banyak perkara banyak perkara negatif yang dipositifkan dan perkara positif yang ditampilkan sudut negatifnya. Anak -anak ini akan memetik nas-nas dan pandangan pandangan ulama yang mereka belum menguasai dan dengan yakin menjadikannya sandaran pada hujah mereka. Kadangkala guru mereka lebih muda dari tokoh yang cuba mereka selar.
sebelum ini beberapa tahun yang lalu saya ada menulis bagaimana menjadi penulis muslim dan juga penulis mukhlis. Sebenarnya sebelum itu sepatutnya saya menulis siapa penulis itu atau bagaimana anda dikira sebagai penulis. Sebenarnya penulis bukanlah mereka yang berani atau boleh menulis. Penulis selayaknya adalah seorang pembaca dan pelajar yang tekun. Yang hadam dalam ilmu ilmu yang ingin ditulisnya. Penulis sejati bukanlah menulis apa yang masyarakat ingin tahu atau baca tetapi penulis sejati menulis apa yang perlu masyarakat baca dan memaksa masyarakat membaca mesejnya itu dengan keupayaan dan bakat penulisannya yang halus.
menjadi popular dan kaya dengan penulisan adalah perkara yang biasa tetapi menjadi hamba Allah dalam penulisan adalah perkara ajaib di sisi makhluk langit. Mereka hanya menerima ibadah kita kepada Nya jadi tulisan kita di bumi ini tidak akan dibaca mereka kecuali apabila tulisan kita itu ubudiyah yang tulus suci dan murni untuk Allah tanpa risau atau gusarkan keredhaan atau kebencian manusia. Allah sahaja matlamat mereka. Muhammad Ahmad ar Rasyid mengingatkan bahawa kebarangkalian peroses penulisan kita itu hanyalah proses menghitamkan kertas atau mungkin juga pengulangan idea lama tetapi tidak mustahil kita akan menumpahkan idea baru yang Allah cetuskan dalam minda kita untuk santapan masyarakat. Menjadi penulis bukanlah merebut gelar tetapi melalui sukar agar menyubur mekar akar-akar perubahan dalam minda sejagat. Sehingga menggerak ummah yang sedang tersadai atau membangkit ummah yang lena panjang.
Dakwah kita bukan hanya dalam pena tetapi dakwah kita di mana-mana. Seandai pena sudah bertukar wajah maka dakwah kita tetap di sana. Seandai senjata berubah bentuk maka dakwah kita turut menjelma. Dakwah dan jihad umpama jasad dan bayang dibawah cahaya terang benderang. Menulislah dan bergeraklah wahai diri yang punya nyawa. mengalirlah wahai tinta yang punya warna. Tumpahlah wahai idea yang bergeliga berkumpullah kalian di bawah panji kebenaran mendukung tegaknya wahyu Tuhan.
No comments:
Post a Comment