Hidup selalunya bewarna-warni kerana itulah kenangan itu indah. Jika hidup cuma satu warna mungkin ia cantik bagi sesetengah orang tetapi pastinya akan bertepikan kejemuan juga. Ya, selang seli susah dan senang sangat menguji. Ya juga, hidup ini kadang kala mengerikan. Tetapi lebih tepat, hidup ini adalah nikmat yang sedang kita kecapi sekalipun dalam ujian yang maha hebat.
Pernah kita rasakan alangkah baik kalau kita ditamatkan nyawa. Pernah pula kita harapkan hidup ini berkekalan. Perasaan perasaan inilah yang perlu kita didik. Mesti kita bentuk rasa hati kita biar sesuai dengan kehendak Islam dan tuntutan Rabbaniy. Kita akui emosi dan perasaan bukanlah 100 peratus dalam kawalan. Tetapi hal ini semua boleh dibentuk sedikit demi sedikit dengan berada dalam latihan iman.
Latihan Iman? apakah ada latih tubi keimanan seperti yang diwar-warkan? atau apakah kesan langsung dan tidak langsung latihan ini berkaitan dengan emosi dan perasaan? Apakah latihannya?
Iman seperti yang kita tahu mengaku dengan lidah, percaya dengan hati dan buktikan dalam amalan. Ia berkitar 6 tiang utama. Beriman dalam keesaan Allah, kewujudan malaikat, Kebenaran kitab-kitab, Kerasulan utusan-utusan(nabi). hari Qiamat, dan Ketentuan dalam hidup yang baik atau yang tidak kita rasakan baik untuk kita itu datang dari Allah. Melatih iman bukanlah dengan tindakan-tindakan fizikal seperti pumping, Push-up atau sebagainya. Tidak pula berbentuk ruh semata seperti bertapa, meditasi atau sebagainya. Bukan juga latihan minda seperti membaca, belajar atau buat kira-kira semata.
Latihan iman adalah rangkuman ubudiyah, dalam segenap aspek keinsanan. Latihan ini berlaku dalam setiap detik pernafasan. Latihan ini mengikat hati makhluk dengan pencipta, latihan ini mengikat kelakuan makhluk sesama makhluk dan latihan ini mengikat minda makhluk sesama makhluk dengan pencipta. Latihan ini adalah kehidupan yang mesti dilalui dengan rasa sedar dan insaf, faham dan fikir, sesak atau tenang. Latihan ini menggabungkan keterlibatan 3 fakulti insan dalam setiap acara hidup.
Latihan Iman ini berpandukan wahyu. Al Quran dan Sunnah merupakan juru pandu kejayaan pelatih-pelatih latihan ini. Kefahaman yang subur harus dipetik dari teks-teks wahyu yang sentiasa segar. Barulah latihan iman terbentuk secara berdikit-dikit dalam bentuk berkumpulan atau seorang.
Kesannya, Manusia yang begini akan faham asal usulnya. Orang yang kenal diri jarang sekali merungut apatah lagi mahu mengungkit-ungkit. Manusia yang bergerak dalam akal yang waras dan pedoman yang betul akan jelas hala tuju gerakanannya. Sekalipun ada hal yang tak diingininya berlaku mereka faham itu bukanlah penamat segalanya. Bahkan terus bermotivasi untuk menggandakan usaha dan menuju pengharapan. Imanlah penyelamat secara tak langsung sedang Allahlah yang memberi kesan langsung tanpa kita berupaya melihat melalui mata kasar. Iman yang ada dalam hati dari perolehan latihan iman menyelamatkan manusia dari kecewa mahupun putus asa.
Kesemuanya bermula dari penyerahan diri kepada Allah. menyerahkan urusan amal, urusan rezeki, urusan ganjaran, urusan natijah dan juga segalanya kepada Allah dan hanya Allah. Hasilnya kita bergembira hidup dalam aturan Allah kerana kita telah merelakan. Sekali kita diuji kita mendapat dua kenikmatan. Satu nikmat ujian satu lagi nikmat terlepas dari ujian.
Pintu iman adalah Islam. Pintu Islam adalah kehidupan. Hidup akan selamanya indah Mati tidak pernah digundah. Kelam langit tidak pernah basah, Cerah langit tidak pernah merekah.
1 comment:
tq atas perkongsian .
Post a Comment