Say no to Israel

Say no to Israel
Say Yes to Plaestine

Wednesday, May 28, 2008

Ucapan Pembukaan.

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Segala puja dan puji hanya selayaknya bagi Allah Yang mencipta tujuh petala langit dan bumi. Allah berfirman "Yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu siapakah yang baik amalannya." selawat dan salam ke atas Makhluk yang paling baik amalannya Rasulullah Allazi sammahu Ahmad. dan ke atas ahli keluarga serta sahabat handai baginda serta mereka mereka yang mengikuti jalan jalan kebaikan.

Pengerusi Majlis sahabat saya yang di kasihi. Abang abang dari PETRONAS yang disegani serta kakak kakak PETRoNita yang dihormati, ihkwah dan Akhawat yang didoakan. Semoga Allah merahmati perhimpunan kita pada pagi yang berkah ini.

Diskusi buku merupakan agenda keilmuan yang kita sematkan pada taqwim saban tahun. Buku buku pilihan setiap diskusi akan menghidangkan intipati yang digilapkupaskan oleh panel panel yang berusaha. Membudayakan pembacaan adalah seruan pertama yang Allah perdengarkan kepada bumi melalui telinga rasulNya.

Ingin sekali saya ingatkan diri saya dan semua hadirin biarlah perkumpulan kita pagi ini bukan semata untuk ilmu. Tetapi Iman. Iman ini menjanjikan ukhuwah yang lebih akrab dari keturunan. Iman ini menjanjikan harta lebih lumayan dari dunia dan isinya. Andai iman kita jadikan paksi tiada rasa kecewa akan bertandang.

seterusnya selari dengan tajuk buku yang amat bernilai ini marilah kita gilapkan bakat dakwah kita. Agar setiap hela nafas kita, setiap tutur bicara kita, merupakan usaha untuk menyebarkan Islam. Sesungguhnya inilah amal yang paling utama. Dakwah bukan kefahaman, dakwah bukan syarahan tetapi dakwah itu kehidupan.

Semoga Allah menetapkan langkah kita dalam jalan dakwah. Marilah kita jernihkan kembali niat kehadiran kita di sini agar majlis ini terus dipayungi oleh Malaikat dan rahmat Allah. Aquulu qauli haza wa astaghfirullahu li walakum.

Tuesday, May 27, 2008

Cinta Perantau.

Sayap kasih mengepak perlahan.
Meluncuri langit perasaan.
Burung cinta menghinggapi hati.
Ranting ranting rasa bergoyang bahagia.

Di bawah mandian suria,
rintik peluh menemani langkah.
Menjinjing seluruh jiwa.
Mengheret seribu rasa.
mencari sebuah cinta.

Cinta suci pasti ada dimana mana.
Cinta itu dicari dan ditimba.

Namun cinta kecil dipinta jua.
Bakal menghiasi sebuah kembara.
Cinta sebahagian agama,
berpimpin menuju syurga.

Bibit cinta jadi ubudiah.
Damba rasa jadi tasbih.

Mencari bahtera empat ciri.
Cantik paras, jelas asalnya.
Banyak bekalnya, Bagus kemudinya.
Andai tiada berkumpul semua.
Kemudi yang benar itu mestinya.

Aku nakhoda di laut bergelora.
Tanpa kemudi yang jitu,
aku bisa sesat dan tiada sampai.
Andai salah memilih,
bahtera bakal memesongkan jalanku.

Cinta perantau,
bukan pada bahteranya.
Cinta perantau,
hanya pada kembaranya.

Siddiq Osman
khartoum,
27 Mei 2008

Sunday, May 25, 2008

dialog si bodoh.

Raja: kenapa gaduh ni?
Si cerdik: Kami berebut sebuah pulau.
Si Bodoh: Ya sebab pulau itu saya yang punya.
Raja: kenapa kamu nak rebut dia punya.
Si cerdik : dulu nenek moyang dia dah kasi pada kami.
Si Bodoh : Pulau itu hak milik kami turun temurun.
Raja : mana bukti nenek moyangnya bagi kamu?
si cerdik bawa surat yang dah kusam.
si Bodoh : tetapi pulau itu lebih dekat dengan kami.
Si cerdik : bukannya sultan buta. tapi dah bagi kat kami, hak kamilah.
Raja : macam nilah kamu amik pulau tu. dan si bodoh kamu dapat terumbu karangnya.
si Bodoh: yey dapat terumbu karang. kamu ingat kamu cerdik sangat????
Si cerdik terpinga pinga sebentar kemudian tersenyum.

Saturday, May 24, 2008

berputih mata di Batu Putih


Bila ICJ kata bukan kamu yang punya.

Kita akur dan beri pada mereka.

Bukan soal siapa menang,

siapa kalah. Tapi mana logisnya?

Dulu Temasik itu milik kita.

Semua tanahnya hitam, putih atau kelabu,

tak kira apa tanihnya batu, pasir atau gambut.

Milik kita, hak kita.


ICJ kata bukan,

Kita akur. Mereka menang.

Lepas menang menang lagi.

Siapa ICJ.

Kenapa mereka menang?

Jarak? Sejarah? Hujah?


Sudahlah, kalah itu nyata.

Syukurlah tanah itu sekangkang cuma.

Aku menyeru Melayu kembali pada Agama.

Aku merayu kembali mula membaca.

Aku merestu Batu Putih milik Singapura.

Andai itu harga mengembalikan hemah bangsa.


Anak Pak Man

Khartoum.

25 Mei 2008

Friday, May 23, 2008

Aku Mahu Pulang!!!


Harapan Pulang.


Aku di sini di bumi jauh.

Hawanya panas tanpa mesra.

Suhunya membakar berbara duga.

sedetik kurasa terlalu lama.


Tidak terhitung jengahan purnama.

Telah menimbun kenangan ditimba.

Hati menjerut rindu dilanggar nostalgia.

Aku ingin nasi minyak,

aku ingin gambar sama pengantin.


Pengantin yang pernah sebantal denganku.

yang pernah sehidang denganku.

Aku terlepas semuanya.


kuabaikan pedih kejauhan,

kulupakan jerih perpisahan.

kuluputkan airmata rindu.


Ini semua demi satu impian,

demi secebis pengalaman,

demi setitis pengetahuan.


Tuhan, Engkau yang bisa meletakkan aku di sini,

dan Engkau singkatkanlah tempoh ini.

aku mahu pulang.


Tuhan berikan aku kekuatan,

sabar itulah pintaku.

Tuhan tanpa pimpinan kasihMu,

aku lemas dalam resah

yang bergelar perasaan.


Siddiq Osman

Khartoum , Sudan.

23 Mei 2008/

Tuesday, May 20, 2008

Adik...

Adik, kita dari rahim yang berbeza.
Tetapi hidupmu,
dalam jalur akidah yang satu,
menjadikan kita sentiasa sama.
Adik, sambutlah salam kasih,
bersih putih dari abangmu.

Pertemuan kita mengukir senyum dilangit.
Pertemuan taqwa layak dibangga.
Adik aku ingin kasihimu lebih dari erti sebuah kasih,
namun kusedar diri ini hanya hamba.
Kasih yang jitu dan satu itu
perlu kita damba.

Adik, keindahan kata ingin dititip padamu,
agar mampir rasa rindu yang mendayu.
Adik, kecantikan bahasa ingin ditiup ke hatimu,
moga terpinggir resah yang menderu.

Adik, kataku hanyalah doa,
Bahasaku hanyalah nasihat.
Imanmu yang daku damba,
Taqwamu yang ingin kulihat.

Gelak tawa kalian nostalgia,
jerit sorak jadi lukisan bahagia.
Aku yakin sejuta rasa,
pasti mengukir tangis ceria.

Adik- adikku,
aku sayang kamu.

Abang Umar
Blok c, Mansyia Khartoum.
20 Mei 2008.

Sunday, May 18, 2008

kata kata yang membuatkan aku tersandar.

Ustaz bagi Madrasah AdDiwan iait ustaz Rifa'ah Rafi' Al 'Uqqad menyatakan:

"seorang penyair itu hanya layak dikenali melalui syairnya, sekiranya syairnya tidak memperkenalkan penyairnya maka tidak layak penyair itu dikenali."

"Syair yang baik adalah syair yang terhasil dari jiwa penyair, bukan dari pihak lain. Sekalipun ia kurang tepat tetapi jauh lebih baik dari puisi yang terhasil dari bukan jiwanya."

Apapun kata kata nih menarik. Ahmad Faris Asy Syidyaaq:
hitamnya dakwat lebih indah dari warna warni barangan lain.

Thursday, May 15, 2008

Puisi Saat Buhsan.


Seram Sejuk.


Roma menegak,
liangnya menguncup.
Kulit berbintik seperti puru.
Makin dekat makin geli.


Rupa sudah begitu,
rasa tiada selesa.
Aku mencari selimut,
buat membalut jasad.


Ah! sudah tiga malam,
masih belum hilang.
Siang hatta siang.
Klip pok klip pok.
Kelopak mata bergerak.


Rasa ini tidak kujemput.
Enggan pula pergi.
Tik tek, tik tek.
Jarum memindah angka
jam, sudah siang lagi.


Arghhh!!! Aku mahu tidur.

Siddiq Osman.
insomnia.

Tuesday, May 13, 2008

Khartoum Dalam keadaan berjaga jaga.


13 Mei 2008- khartoum kembali sibuk. Kenderaan Awam telah kembali memenuhi jalan raya pergerakan kembali lancar post post chekpoint telah dikurangkan. Pagi tadi saya sempat meninjau kawasan perniagaan masih banyak kedai belum dibuka kerana majoriti peniaga kelas sederhana adalah berasal dari omdurman.


Dalam perjalanan kelihatan beberapa Pick up yang membawa askar bantuan meninggalkan post mereka dan kembali ke kem. Sudan mengumumkan percubaan pemberontak gagal. Walaupun begitu Khalil Ibrahim ketua pemberontak menyatakan kerajaan silap jika menyangka akan hanya ada satu lagi serangan susulan.


Kapal Terbang kembali mendarat membuatkan airport khartoum agak sesak menerima tetamu yang telah tersangkut di lapangan terbang transit seperti dubai mesir dan qatar. Bagaimanapun rakyat Malaysia masih diingatkan agar berada dalam keadaan berjaga jaga. Reaksi yang sama diambil oleh pihak universiti bila melanjutkan cuti hingga 18 Mei 2008.AJK bertindak kecemasan telah ditubuhkan semalam.


semoga blog ini dapat terus memberikan makluman yang menenangkan rakyat malaysia di luar Khartoum.

Monday, May 12, 2008

Kembali terkawal..


12 mei 2008 Berita mengenai pergolakan di Omdurman dan bandar Mogran saya kira sudah tersebar ke pengetahuan umum. Setelah mendengar taklimat dan penerangan dari pihak bertanggungjawab dapat saya simpulkan keadaan terkawal walaupun tahap keselamatan kini berada di paras pertama bahaya iaitu alert zone.

Namun begitu berlaku beberapa kekecohan di Bandar Sunut iaitu satu kawasan berhutan yang sedang dalam pembinaan bandar masa depan, dan berlaku tembak menembak berhampiran stadium dipercayai tempat simpanan senjata puak pemberontak.

Sehingga kini sebanyak 400 pemberontak terkorban dan 100 pihak tentera termasuk rakyat tempatan menjadi mangsa pertempuran yang tercetus sejak hari jumaat. Bagaimanapun kelihatan penduduk tempatan bergerak seperti biasa hari ini. beberapa syarikat dari luar masih belum dibuka.

Bagaimanapun Khalil Ibrahim masih belum mengaku kalah dengan mengeluarkan kenyataan bahawa ini baru siri pertama serangan. Namun sumber mempercayai itu hanyalah propaganda pemberontak bagi meraih sokongan dan menimbulkan situasi panik di sudan. Kesediaan SPLA dari selatan sudan untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan merupakan perkara yang positif dalam menyelasaikan konflik.

Orang kanan Khalil Ibrahim disahkan terkorban semalam semasa pertempuran hebat di antara dua pihak. Seorang saksi melaporkan sekitar 20 trak yang membawa sekitar 200 orang dilihat menyerang balai polis omdurman sekitar jam 4 petang waktu tempatan.

sekian setakat ini.

Sunday, May 11, 2008

Sudan Bergolak


10 Mei 2008. Sudan kembali bergolak dengan serangan oleh 300 anggota pemberontak yang telah memasuki bandar terdekat dengan Khartoum dari barat, Omdurman. Perintah berkurung dikeluarkan serta merta untuk wilayah khartoum.

Namun di sekitar Khartoum masih kelihatan pergerakan yang perlahan dalam keadaan berhati hati. di mana mana tempat stratergik diletakkan kawalan oleh pihak berkuasa.

Pada 11 Mei 2008 kenderaan awam dari Khartoum Bahri dan Khartoum Utara telah dibenarkan bergerak cuma usaha memburu pakatan pemberontak masih dijalankan. menurut sumber yang boleh dipercayai Pemimpin JEM telah diberkas dan pemberontakannya telah ditewaskan. kerajaan Sudan mengesyaki ada sokongan kuat terhadap serangan ini dari negara jiran iaitu Chad. dengan serta merta kerajaan sudan memutuskan hubungan diplomatik dengan negara berkenaan.



dijangka 12 mei khartoum akan kembali seperti biasa. Rakyat Malaysia di Sudan berada dalam keadaan berjaga jaga. maklumat keselamatan sentiasa disebarkan oleh pihak kedutaan dan juga PETRONAS. Bagaimanapun semua kegiatan masih dilakukan dalam pengawasan pihak tentera yang berkawal di pos pos stratergik.

PPN-08


Salam semalam telah dilangsungkan pertemuan pemikiran nusantara buat kali pertama di khartoum. pertemuan pemikiran yang melibatkan 3 negara telah berlangsung dengan jayanya.

Buat julung kalinya tiga persatuan dapat berkumpul semeja menghidangkan sebuah program yang berpusatkan pemikiran pelajar pelajar Nusantara di Sudan. Program yang memakan masa 8 jam lebih itu telah di sertai oleh hampir 110 peserta yang menghidangkan 3 tajuk perbincangan. Forum yang membincangkan bagaimana menyampaikan Gambaran Islam sebenar kepada dunia merupakan pembuka kepada perbahasan yang memanaskan minda peserta. Sambutan yang hangat telah dihiasi dengan Panel Panel yang berwibawa. Setelah itu kumpulan Nasyid dari pelajar Indonesia menggegarkan dewan dengan suara emas mereka dalam menyampaikan sebuah beberapa buah lagu.

Ceramah kedua dipanaskan lagi dengan sebuah tajuk yang sering menggugah kesatuan ummat iaitu kerajaan dan politik dari kacamata Islam. kupasan dari penceramah begitu luas dan menyeluruh namun pembentangan ini mengundang berbagai reaksi dari peserta perbahasan menjadi panas sehingga hilang kehangatan musim panas yang sedang membakar di lar dewan.

setelah solat zohor dan makan tengah hari pentas diperindahkan dengan ceramah yang dinanti nantikan iaitu wanita dan peranannya. sungguhpun peserta wanita tidak sampai 1/4 tetapi kehangatan tajuk ini diluar dugaan sehingga penceramah menyatakan "lihatlah bagaimana perhatian priya yang begitu tinggi terhadap wanita." sungguhpun keletihan menyeluruhi isi dewan namun semangat ingin bersama menjadikan suasana sentiasa meriah.

semoga PPN o8 merupakan permulaan bagi kerjasama yang baik antara 3 negara. selari dengan tema kali ini diharap akan terlaksana kesinambungannya. "Berukhuwwah dalam menjejaki jalan Dakwah."

Wednesday, May 07, 2008

Puisi Ilmu


Sinar Tiada Sirna.

Selama alam bernyawa,
selagi maya berdiri
manusia pinta cahaya.
Suria zahir pudar dalam gerhana.
Gemilau batiniah kekal purnama.

Syafie melatar enam paksi;
Asa, upah, jerih, guru,
usia dan geliga.
Paksi terbina lantera memancar.
Enam dilatar bukan sekadar angka,
buat dikira dihitung berapa.

Syafie melanjut kalam Ali.
Lantera ini menyuluh buana.
Andai didunia ia memacu.
diakhirat sana ia memandu.

Ghazali menebar anwa' cahaya.
Fardhu untuk semua, wajib didamba.
Wajib separuh, sunat dierti.
Haram didatangi, melengkap anwa' bertiga.

Menuntut sinar bagai berburu.
Perlu ditambat untuk dibela.
Buat tunggangan bagi yang perkasa.
Buat hidangan pada yang meminta.

Hubungnya cahaya dengan manusia.
Tiada berhubung malap petaka.
Songsang berhubung bala berganda.
Sunnah berhubung diajar baginda,
bukalah cerita kurun pertama.
Awal berita kita bersua.

Andai bersemi dalam nurani
megah manusia pasti dicerna.
Hidup terbela mati mulia.

Maka cukup diterang perihal semua.
simpul diikat dalam kata :
Sinar tidak kunjung sirna.

Siddiq Osman
Bersama saksi dihari muka.
8 Mei 2008

Sunday, May 04, 2008

puisi kebenaran.



Duri Penawar

Melata kepalsuan dalam kealpaan.
Keliru bersepuh dungu mengaburi,
kanta nilai balar diguris kikis.

Kala ini menegak kebenaran
tiadalah bagai menegak benang yang kering.
kebenaran bisa merenggut nyawa dari kelongsong badan.
Kebenaran boleh menepu resah.


kebenaran itu hak dan keadilan.
kebenaran itu pasca kepalsuan.

Hak itu pastikan tegak,
tiada tenggelam dek demokrasi manusiawi.
Hak itu pastikan merebak,
takkan terkepung oleh pagar komunis meninggi.
Hak itu pastikan marak,
takkan dipijak diktatoris kuku besi.

Hak itu sifatnya tinggi,
sentiasa terjulang
di pundak para pejuang.
Biar dicantas tempang,
tetap berlari menabur berani.

Andai di lautan lemah,
ia mengapung kesatuan.
Tika di gunung gagah,
ia menunjang kasih ihsan.
Kala dalam payah,
ia menghulur gulungan harapan.

menggenggamnya bagai menggenggam duri,
menjunjungnya bagai menatang api,
peminjamnya dihantar ke dalam bumi.
Tanpanya hidup tiada peri.
keadilan pra kebenaran.

bila hak tuntas di minda,
keadilan tersulam di jiwa,
kebenaran bukan lagi duri.
tetapi nyawa.

kala itu,
kepalsuan yang terhegeh membina megah,
akan direntap kebenaran yang menugu tulus.

saat itu, saat dinanti.
mizan buana jadi saksama,
hukum alam terfitrah semula.
bilah duri jadi penawar.

Siddiq Osman