Hari ini seharian aku berseminar di Pusat Islam bersama ulama-ulama ulum quran seperti Tan Sri hassan Az Zahari, Prof. Dr Said Agil, Syeikh alaatofay, Syeikh Asy Syanqiti, Syeikh Sayid Ali Abdul Majid, Syeikh alauddin al Qaisy dan Syeikh Samih Ahmad Khalid Utahimaniah.
Sebelum kita berbincang lebih lanjut saya merasa hari ini apa yang disebut al Haqir dan perkataan hina sebenar dalam diri. Hari ini kekerdilan itu dapat saya fahami dan rasai dengan benar dan jelas. Hari ini saya mengaku dengan penuh sedar dalam hati dan faham bahawa Ilmu Allah itu maha luas dan saya ini sangat-sangat jahil. Ya Allah ajarkan aku ilmuMu yang luas itu. Ajarkan aku suatu ilmu agar dijadikan ilmu bermanfaat yang bakal kubekalkan ke alam kubur.
Sungguh Syeikh seperti Tan Sri Hassan Az Zahari telah berkhidmat kepada Ummah ini. Beliau masih kukuh mengajar dan menyimbah ilmu tajwidnya yang dalam dan tinggi ke seluruh dunia saban tahun. Sungguh saya kagumi orang tua itu. Masih kemas sebutannya bahkan lebih jelas dari sebahagian remaja yang was was menuturkan ayat ayat Allah. Sungguh menyebabkan aku malu dan tersipu dalam hati. Ya Allah telah banyak ku zalimi diri ini ampunkanlah dosaku.
Syeikh Sayid Ali Abdul Majid begitu hebat bicaranya iqtibas bersusun kemas dalam ucap kata. Sungguh mengkagumkan bagai al Quran sentiasa terbentang dalam mindanya sehingga kalam sepontannya menampakkan keindahan nuzum arabiyah yang segar dan mewah. Ya Allah sungguh kalamku sebelum ini kosong dan aku menyangkanya dakwah kepadaMu lancarkan lidahku fasihkan hatiku.
Syeikh alauddin al Qaisy Syeikhul Qurra' fil Iraq. Sungguh mendalam kefahamannya dengan maqamat tilawah dan sungguh merdu qiraah mufassirahnya. Barulah aku faham bagaimana orang beriman itu bila dibacakan ayat-ayat Allah bertambah Iman mereka. Sahlah kemerduan al Quran dalam nuzumNya memukau keasyikan dan menggamit palingan hati.
Kini aku rasakan bagai sebelum ini aku belum benar-benar pandai membaca al Quran. Ilmu Quran ku masih belum sampai tahap sederhana. Aduh masih jauh kejahilanku untuk menjadi daie kepada Allah bagi ummah ini.Ya Allah ajarilah aku dari sisiMu ilmu yang menyelamatkan aku dari nerakaMu.
Malam ini aku hanyalah orang yang awam dalam keadaan aku tahu aku ini jahil. Sebelum ini aku merasakan gelaran ustaz dan juga belajar di Sudan serta membaca buku-buku arab sudah menambah nilai dari seorang awam kepada seorang yang lebih hampir kepada Allah dalam keilmuan. Sah. Aku masih jauh dari martabat yang sedang aku perasan-perasan seorang diri. Belumpun ada ilmu yang yakin dalam dada ini.
No comments:
Post a Comment