Say no to Israel

Say no to Israel
Say Yes to Plaestine

Wednesday, December 02, 2009

khutbah raya


Saya menasihati diri saya dan kita semua agar bertaqwa kepada Allah kerana hanyalah taqwa menjadi tempat jatuhnya pandangan Allah kepada kita. Firman Allah:

Maksudnya:

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa.

Sidang Muslimin sekalian,

Berkumpul kita pada hari ini merupakan perhimpunan yang mencari keredhaan Allah. Mari kita kemaskan niat kita hanya sanya mencari redha Allah. Rasulullah bersabda :

Sesungguhnya setiap amalan itu dikira dengan niatnya dan bagi setiap seorang atas apa yang mereka niatkan...

Berimanlah kita terhadap sabda baginda ini, Kerana Allah berfirman :

Dan tidaklah Muhammad itu bertutur menurut nafsunya melainkan apa yang telah diwahyukan kepadanya.

Hari ini hari kebesaran, tiada hari yang lebih ramai Allah ampunkan dan bebaskan dari neraka selain hari Arafah maka hari ini kita sekali lagi merayakan hari pengampunan yang telah Allah anugerahkan khas untuk kita umat Muhammad.

Kamulah sebaik-baik ummat yang dikeluarkan untuk manusia mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran serta beriman dengan Allah.

Allah menyifatkan umat yang terbaik itu dengan 3 perkara menyuruh kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah. Hal ini merupakan kaitan sangat erat antara Iman dan dakwah. Iman dan dakwah diikatkan dalam ayat-ayat lain conothnya , Firman Allah:

Demi Masa sesungguhnya manusia dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan ke arah kebenaran dan berpesan-pesan ke arah kesabaran.

Dakwah adalah agenda pokok setiap mukmin. Bagaimana dan caranya harus diperhalusi menurut kemampuan dan tanggungjawab seseorang. Ini bertepatan dengan Hadith Rasul

Setiap kamu adalah pengembala dan setiap kamu akan dipersoalkan atas gembalanya.

Inilah kita dalam kehidupan dunia. Dihidupkan diberi nikmat dan diuji. Allah menyebut dalam firmanNya:

Sesungguhnya kami menjadikan manusia daripada mani yang bercampur dan kami mengujinya lalu kami jadikan baginya pendengaran dan penglihatan.

Ujian ini juga Allah sebut dalam al Quran yang berbunyi:

Apakah manusia mengira mereka dibiarkan mengatakan mereka beriman sedang mereka belum diuji?

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ

Sedarlah kita kehidupan kita di dunia ini membawa satu visi yang tunggal lagi besar iaitu menjadi hamba Allah dan hanya kepada Allah. Ini dipetik dari ayat Allah yang berbunyi:

Dan tidak kami jadikan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu iaitu Allah.

Ulama menafsirkan perkataan Ibadah itu kepada mengenal dan mentaati Allah. Ini boleh kita ambil dari kisah Rasul dan Khalil Allah Ibrahim Alaihissalam. Baginda merupakan Bapa sekalian rasul dan legenda pengorbanan sepanjang zaman. Ketika baginda diceritakan Allah mencari Tuhannya di dalam tempat persembunyian, Allah memberi hidayah agar dia mengenali Allah yang tidak pernah hilang dan tidak pula tenggelam timbul. Allah menunjukkan kebesarannya dalam penciptaan bulan, matahari dan bintang. Sehingga Nabi Allah menyedari bahawa Allah itu maha perkasa dan maha berkuasa. Keimanan sebenar seperti inilah yang mencabut rasa takut sesama makhluk kepada Taqwa hanya kepada Allah. Sehingga Ibrahim mampu menentang Namrud yang menjadi sembahan manusia ketika itu. Inilah revolusi ulung yang menjatuhkan diktator pertama di muka bumi. Inilah keupayaan Iman yang telus lagi tulus.

Kisah Ibrahim tidak terhenti di situ. Kehebatan Rasul pilihan Allah ini diteruskan dalam siri ujian yang lain bagi membuktikan kelayakan baginda sebagai Khalilullah. Setelah baginda berkahwin dan meningkat usia bersama Siti Hajar mereka dikurniakan anak bernama Ismail. Kasih ditumpahkan dengan sepenuh hati kerana Ismaillah satu satunya anak yang dianugerahkan kepada mereka setelah umur Nabi Ibrahim menjangkau usia. Ismail dididik dengan sebaiknya mentaati Allah dan bersikap lemah-lembut. Kepatuhan Ismail membuatkan kasih anak dan ayah semakin berpadu. Ketika kasih erat terjalin Allah menguji lagi mereka dengan perintah Qurban yang sangat agung. Ibrahim bermimpi menyembelih Ismail anak kesayangan. Mimpi Nabi-Nabi adalah wahyu. Maka segera Ibrahim mendapatkan Ismail meminta pandangan. Ismail yang telah diasuh dengan asuhan Rabbaniy menyahut seruan Ilahi dengan penuh baik sangka dan taat. Walaupun nyawanya bakal dipenggal dari jasad oleh ayah tercinta. Kecintaan mereka berdua tidak boleh menandingi ketaatan kepada Allah dan keimanan mereka kepada keMuliaan Allah. Maka bersedialah Ibrahim dan Ismail untuk pengorbanan mulia. Lalu Allah gantikan Ismail dengan sembelihan Agung iaitu seekor kibas dan sehingga kini kisah ini disebut seluruh dunia. Allah rakamkan peristiwa ini dalam firmanNya:

Maka ketika mana keduanya berserah diri kepada Allah dan Ismail dibaringkan atas pelipisnya, Lalu Kami memanggilnya” Wahai Ibrahim! Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah kami memberi balasan kepada orang yang berbuat kebaikan, Sesungguhnya ini benar-benar ujian yang nyata dan kami tebus Ismail dengan sembelihan yang besar. Kami kekalkan bagi Ibrahim puji-pujian bagi mereka yang selepasnya dengan ungkapan salam ke atas Ibrahim.

Selepas peristiwa ini Allah kurniakan seorang lagi Nabi sebagai anak kepada Nabi Ibrahim iaitu Nabi Ishak.

Dalam kisah pengorbanan ini kita harus mengutip beberapa iktibar. Pertama inilah asas pensyariatan qurban oleh sekalian manusia sampai kini. Nabi Allah Ibrahim sanggup melunaskan apa sahaja tuntutan Allah. Tetapi kita hanya dituntut menyembelih binatang ternak yang baik baik.

Kita mampu menyembelih haiwan itu tetapi apakah kita berqurban itu untuk mendapat redha Allah atau sekadar menutup mulut manusia dari berkata-kata sesuatu yang kita tidak sedap mendengarnya? Kita kembali kepada hadis di atas , Sabda Baginda:

Sesungguhnya setiap amalan itu dikira dengan niatnya dan bagi setiap seorang atas apa yang mereka niatkan...

Jika kita menyertakan nama kita dalam peserta Qurban dengan niat lain sebelum ini marilah pagi ini kita perbaharui niat hanya untuk mendapat keredhaan Allah dan mentaati perintahnya.

Kedua mendidik anak-anak semestinya melalui lunas lunas rabbaniy. Adapun sumber pendidikan haruslah bersumberkan al Quran dan as Sunnah kerana hanya sumber-sumber ini datangnya dari wahyu dan mampu menjaga waris kita dari fitnah dunia yang menyesatkan ini telah disebut arRasul dalam sabdanya:

Sesungguhnya aku meninggalkan kepada kamu 2 perkara sekiranya kamu berpegang dengan keduanya kamu takkan sesat selamanya : Kitab Allah dan Sunnahku.

Siapakah yang lebih baik mahu mendidik anak-anak kita jika bukan diri kita? Anak – anak merupakan cerminan peribadi kita. Sekiranya kita dari kalangan tukang umpat dan penyebar fitnah anak yang bakal lahir dari rumah kita adalah anak – anak yang sudah betah dengan kemungkaran. Tetapi jika kita ibu-ibu yang melagukan al Quran dan sering mengisahkan perihal kebaikan maka anak-anak kita akan berasa kekok dengan kejahatan. Ini dibuktikan oleh keperibadian Nabi Ibrahim yang diwarisi oleh Nabi Ismail.

Kita selalu berkata: Iman tak dapat diwarisi. Sedarkah kita bahawa bagaimana sebenarnya menjadi ibu dan bapa yang beriman? Apabila kita bercakap mengenai masalah anak-anak apakah kita sudah menjadi ibu-bapa yang soleh yang layak untuk mendapat anak yang soleh? Manusia sering menuding tangan kepada pihak lain sedang dirinya yang bermasalah.

Sidang Aidil Adha sekalian,

Marilah di hari adha ini kita bermuhasabah kita kaji dan dalami apakah masyarakat kita hari ini di sini merupakan masyarakat yang terbina atas dasar taqwa atau hanya wujud seperti binatang ternakan yang akan kita tumbangkan?

Kerana beza kita dan mereka adalah hidayah sekiranya tanpa hidayah kita mungkin lebih hina dari mereka seperti firman Allah dalam menyifatkan orang yang enggan beriman:

Mereka itu tidak ubah seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat.

Pengajaran terakhir yang dapat saya petik untuk santapan kita adalah Amal yang soleh yang kita lakukan akan diganjarkan dengan keberkatan dan rahmat Allah. Ini berlaku dengan pengurniaan Ishaq Alaihissalam selepas peristiwa qurban ini. Begitu juga kita jika kita mahu keluarga kita berkah maka perbanyakkan amal Soleh dan jaga anak-anak dari kemaksiatan. Kita harus berasa takut masuknya kemaksiatan dalam rumah seperti mana kita takut terbakarnya rumah kita. Kerana tempat kemaksiatan adalah neraka Allah jika tidak diikuti dengan istighfar dan taubat.

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ

Hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekalian ,

Qurban juga membawa kita kepada kisah anak-anak Adam Habil dan Qabil yang di sebut Allah dalam firmanNya:

Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera adam dengan kebenaran ketika keduanya mempersembahkan hasil tangan mereka untuk qurban maka diterima dari salah seorang mereka dan ditolak dari seorang lagi, berkata qabil nescaya aku akan membunuhmu. Habil menjawab sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang orang yang bertaqwa.

Dalam ayat ini Allah menceritakan kepada kita Qurban pertama yang berlaku di muka bumi. Di sini kita mengetahui bahawa dalam ibadah qurban ini ada yang diterima dan ada pula yang ditolak. Di sini sekali lagi Taqwa menjadi pemisah. Ukuran taqwa dalam amalan yang menentukan sampai atau tidak amalan kita. Ini juga menepati firman Allah:

Allah takkan menerima daging-dagingnya dan tidak pula darahnya tetapi Allah menerima taqwa dari kamu. Dan demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu membesarkan Allah atas hidayahNya kepadamu dan sebarkanlah berita gembira untuk orang-orang Muhsin.

Ketaqwaan harus menjadi noktah bidayah setiap amalan. Bukan riya’ bukan ujub dan bukan juga rasa terpaksa. Taqwa adalah merasa takut kepada Allah, beramal dengan wahyu, cukup dengan yang sedikit dan bersedia menghadapi kematian. Empat plot dalam definisi taqwa ini merupakan juga ciri dan peribadi yang harus ada dalam diri.

Sekaligus qurban boleh berperanan membersihkan hati dari sifat tamak, takabbur dan kedekut. Qurban juga mengajar kita tentang kematian. Tentang betapa singkatnya kehidupan. Apakah mati kita akan menjadi mati yang sia-sia tanpa sebarang jasa dan bekal? Atau mati kita mati yang dikenang di langit dan di bumi? Persoalan ini harus sering kita tanyakan pada diri kita. Kerana Allah berfirman:

Setiap jiwa itu akan menghadapi Maut.

Manakala menyebut kematian itu adalah sunnah, sabda ar Rasul:

Hati ini berkarat seperti mana berkaratnya besi maka gilaplah ia dengan zikrullah dan Zikrul maut iaitu menyebut-nyebut kematian.

Qurban juga antara lain menjadi wadah perpaduan dan keakraban. Kita bersama-sama dalam kerja-kerja qurban kemudian berkongsi dagingnya bersama penduduk sekitar kita. Inilah kesyumulan Islam yang diselitkan dalam Qurban.

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ

Sidang jemaah sekalian,

Sepuluh awal Zulhijjah merupakan hari-hari yang sangat besar ertinya dalam kehidupan muslim yang sedar. Allah menyebut Sepuluh hari ini dalam surah al Fajr menurut tafsiran kebanyakan ulama tafsir.

Dalam satu hadith Rasul bersabda:

Sebaik-baik amalah adalah yang dilakukan pada sepuluh awal zulhijjah, Sahabat bertanya apakah ia lebih baik dari jihad fi sabilillah? Rasulullah menjawab ia lebih baik dari jihad fi sabilillah kecuali jika siapa yang keluar dengan diri dan hartanya dan tidak pulang dengan satu apa pun.

Begitulah gambaran ganjaran yang Rasulullah beri untuk amal-amal soleh di sepuluh hari ZulHijjah. Maka hari ini adalah hari terakhir Zulhijjah perbanyakkanlah amal pada hari ini dengan ikhlas semoga Allah mengganjarkan kita dengan ganjaran yang tidak pernah kita angan-angankan.

Dalam hadith lain ada menyebut:

Barang siapa yang bangun solat pada lima malam nescaya dia telah mendapat syurga. Iaitu: Malam tarwiyah, malam Eidul Fitri, Malam arafah, malam eidul adha dan malam nisfu sya’ban.

Marilah kita menempah tiket kita ke Syurga dengan janji-janji rasul Ini. Sebagaimana sahabat-sahabat baginda berebut-rebut menyahut seruan nabi. Ajarlah anak kita merebut peluang peluang ini. Kerana setiap jiwa Allah cenderungkan kepada syurga Cuma kita sahaja yang perlu mengatur langkahnya.

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ

Sidang hadirin sekalian.

Sekiranya kita belum diizinkan Allah untuk menyahut seruan haji dalam hidup kita. Marilah kita semaikan niat untuk menyahut seruan itu bermula dari hari ini. Sejak semalam para jemaah Haji telah bermula wukuf mereka di Arafah bagi merealisasikan syiar haji.

Sesungguhnya Haji dan Umrah adalah syiar Islam yang sangat besar dan dicemburui oleh penganut lain. Kerana Haji adalah ibadah yang mencakupi seluruh aspek kehidupan. Harta, fizikal, ruh, perasaan dan juga persekitaran.

Berdoalah agar kita mendapat haji yang mabrur sebelum Allah mengambil kita pulang. Sesungguhnya hajilah ibadah yang mampu membersihkan dosa besar dan kecil. Begitulah fadhilat haji yang banyak. Tidak ada sebab kita menangguhkannya sekiranya kita mampu.

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ

بَارَكَ الله لِى وَلَكُمْ فِى القُرْآنِ العَظِيمِ , ونَفَعَنِى وَأِيَّاكُمْ بِاْلأيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ , وتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ
تِلاَوَتَه إِنَّه هُوَ السَمِيعُ العَلِيمُ . اَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا وَاَسْتَغْفِ ر الله العَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ ولِسَائِرِ المسُلِمِيْنَ
والمسُلِمَاتِ إنَّه هو الغَفُورُ الرَحِيمُ .

الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, وللهِ الحمد.

أَشْهَدأَنْ لا إِلَه إِلا الله وَحْدَه لا شَرِيْكَ لَه . وَأَشْهَدُ أَنَّ محمدًا عَبْدُه وَرَسُوْلُه .

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْعَلَى سَيِّدِنَا محمدٍ وَعَلَى آَلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَه وَنَصَرَه وَوَالاَه . أَمَّا بَعْدُ ,


فَيَا عِبَادَ اللهِ , أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّاىَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ . وَتَزوَّدُوْا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ
التَّقْوَى

Marilah kita bertaqwa dengan sebenar benar ketaqwaan. Berbekallah dengan sesungguhnya sebaik-sebaik bekal adalah taqwa.

Bertaqwa memerlukan kesabaran dan keteguhan. Keimanan yang tidak beserta ketaqwaan adalah tempang. Taqwa boleh dicapai dengan menjaga beberapa anggota badan. Seperti menjaga lidah dari dosa perkataan, menjaga mata dari melihat kemungkaran.

Imam Junaid ada menyebut:

Rasulullah Sallallahu alaihi wassallam menghimpunkan Taqwa dan Pekerti mulia. Kerana Taqwa membaiki hubungan antara hamba dengan Tuhannya manakala pekerti mulia membaiki hubungan antara hamba dengan ciptaan Allah. Maka dengan taqwa mendapat cinta Allah adapun dengan pekerti mulia menyebabkan manusia mengasihinya.

Oleh itu marilah kita perbetulkan tingkah laku kita, dalam mengharapkan ketaqwaan di hati kita. Ini semua boleh dipupuk dalam tarbiyah bersama dalam masyarakat kita yang kecil ini. Cuma persoalannya apakah kita sudah bersedia mengubah gaya hidup kita berlandaskan kehendak al Quran dan Sunnah atau kita sudah merasakan gaya hidup begini sudah mencukupi untuk menghuni syurga Allah?

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى محمدٍ وَعَلَى آَلِ محمدٍ , كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آَلِ إِبْرَاهِيمَ .

وَبَارِ ك عَلَى محمدٍ وَعَلَى آَلِ محمدٍ , كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبرَاهيمَ وَعَلَى آَلِ إِبرَاهِيمَ فِى العَالَمِيْنَ إِنكَّ

حمِيدٌ مَجِيدٌ . اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِ لمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ الأَحْيَآءِ مِنْهُمْ

وَالأَمْوَاتِ . رَبنَّا اغْفِرْ لَنَا ذُنوُبنَا وَذُنُوْبَ وَالِدِيْنَا وَارْحمْهُمْ كَمَا رَبوَّنَا صِغَارًا. رَبنَّا اغْفِرْلَنَا

وَلإِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُ وْنَا بِالإِيْمَانِ وَلا تَجْعَلْ فِى قُلُوْبِنَا غِلا لِلَّذِيْنَ آَمَنُوْا رَبنَّا إِنَّكَ رَؤُوْفٌ رَّحِيْمٌ .

اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ , وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَالْمُشْرِكِيْنَ , وَالنِّفَاقَ وَالْمُنَافِقِيْنَ وَالظُّلْمَ

وَالظَّالِمِيْنَ . اَللَّهُمَّ إِناَّ نَجْعَلُكَ فِى نُحُوْرِ أَعْدَآئِنَا وَنعُوْذ بِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ . اَللَّهُمَّ رُدَّ كَيْدَهُمْ عَلَى

نُحُوْرِهِمْ . اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شمَلَهُمْ وَفَرِّقْ جمْعَهُمْ وَشَتِّتْ كَلِمَتَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ , وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا

مِنْ كِلاَبِكَ .

اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَاننَا الْمُجَاهِدِيْنَ وَالْمُسْتَضْعَفِيْنَ فِى فَلَسْطِيْنَ , وَفِى غَزَّةِ , وَفِى العِرَاقِ , وَفِى

كَشْمِيْر , وَفِى جَنُوْبِ تَايْلَنْد وَفِى كُلِّ مَكَانٍ . اَللَّهُمَّ قَوِّ عَزَائِمَهُمْ , وَاجمَعْ كَلِمَتَهُمْ , وَثبَّتْ

أَقْدَامَهُمْ , وَانْصُرْهُمْ عَلَى أَعْدَآئِهِمْ .

اَللَّهُمَّ آَتِ أَنْفُسَنَا تَقْوَاهَا, وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا, أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَه اَ. اَللَّهُمَّ أَرِنَا

, وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَه . اَللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَاننَا, وَأَئِمَّتَنَا ا وَارْزُق نَا اتِّبَاعَهقلحَقَّ حَ

وَوُلاَة أُمُوْرِنَا, وَاجْعَلْ وِلاَيتَنَا فِى مَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ .

رَبنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لمَ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الخَاسِرِيْنَ . رَبنَّا هَبْ لَنَا مِنْ

أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّة أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ إِمَامًا.

رَبنَّا آَتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَة وَفِى الآَخِرَةِ حَسَنَة وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

. وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا محمدٍ وَعَلَى آَلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمْ . وَالحَمْدُ للهِ رَبِّ

الْعَالَمِيْنَ .

اَلله أكبر , الله أكبر , الله أكبر , وَلِلَّهِ الحَمْدُ .

Tuesday, November 24, 2009

Wahai Diri.

Kalam ini khas untukmu.
Dikau melengkapi aku.
Kurangnya engkau kelemahanku.

Dengarlah,
bangunmu bersamaku.
Tidurmu rehatku.

Sedarlah,
Mati kita sama,
andai kau diazab aku tersiksa.
Andai kau dirahmat aku bahagia.

Wahai diri,
pergilah ke Syurga,
hindarkan neraka.

Siddiq Osman

Thursday, November 19, 2009

Yahudi Mahu duduki al Quds. Di mana kita?


Pusat Media al Quds telah mendedahkan kerajaan Netenyahu akan membina 7 penempatan besar di bandar suci al Quds.
Pusat Media al Quds telah melaporkan melalui al Quds Press bertarikh 19 Nov.:"sesungguhnya plan pembinaan yang dirancang pembinaannya di bandar Ghilo yang telah di tawan bukanlah perojek tunggal yang sedang berjalan plan pembinaannya bahkan ia merupakan permulaan bagi pembinaan 7 projek yang lebih besar. dan hebat darinya."
Menurut maklumat dari sumber dalaman kerajaan haram Yahudi yang didedahkan al Bayan projek ini akan bermula selepas perundingan diplomasi dengan Washington selesai. Ini menunjukkan perudingan mengenai penempatan baru Tel Aviv dan Washington hanya sia-sia kerana ianya dipandang enteng oleh Yahudi. 

Semalam 18 Nov di umumkan projek penempatan kedua yang diberi nama Nauf Tis-yun akan  mula dibina, ketika selesai majlis meletakkan batu asas untuk projek itu.Pusat Media al Quds turut menyenaraikan ketujuh-tujuh perkampungan yang di sebut dalam plan pembangunan Israel:

Hayy Gghilo: 

 Ia merupakan penempatan yang telah mula dibina sejak 1971 iaitu semasa pemerintahan Golda Myer , Terletak di Timur Laut Jabal Abu Ghaneem berhampiran dengan Beit Jalaa di Bandar al Quds yang masih dijajah. Kini ia menampung 8 ribu kelompok penginapan yang menempatkan 35000 perampas Yahudi. Projek yang baru ini dijangka menyediakan 900 rumah baru kepada yahudi.



Hayy Nauf Tis-yun
Semalam telah selesai majlis meletakkan batu asas bagi projek untuk membangunkan 107 kelompok penenmpatan baru sebagai tambahan bagi 70 kelompok yang telah sedia ada. Dengan plan untuk mendirikan 2 lagi penempatan lain. Ia terletak berdekatan Beit Dhifafaa yang turut menempatkan gereja ortodoks yang telah disewakan kepada Bitriq Theofulus untuk tempoh 99 tahun. 

Hayy Maskovitch 
Terletak di utara Jabal al Mukabbir di bandar al Quds disebut sebagai al Milyar Dair seorang Yahudi Amerika telah melaburkan modal untuk penempatan bagi Yahudi yang bekerja untuk meyahudikan bandar al Aqsa.



Hayy 1
Perkampungan besar ini dijangka menempatkan 3500 kelompok penempatan di dalamnya terletak di bandar al Quds dan menjadi penghubung Tebing Barat Utara dan Tebing Barat Selatan. Turut menempatkan Balai Polis Besar Israel.



Hotel Shepperd
Terletak di Perkampungan Syeikh Jarrah, Kini sedang giat diambil alih oleh Yahudi dengan mendakwa mereka telah membelinya dari pemilik-pemilik Arab. Mereka merancang untuk meruntuhkan perkampungan itu dan membina 350 kelompok penempatan.



Hayy Pasjat Zeniff
Terletak di timur Beit Jenina dan menempatkan 12000 pendatang Yahudi



Hayy Colondia
Merupakan penempatan besar yang akan dibina di kawasan Lapangan Terbang Colondia bersebelahan RamaLLAh dijangka menempatkan 80 kelompok perkampungan sebagai peringkat pertama.

Ya! ini semua plan dan mmg benar Makaru wa MakaruLLAH dan Allah lah sebaik helah. Tetapi kita yang Allah beri nikmat memiliki tanah, diberi nikmat berada dalam rumah sendiri tanpa perasaan risau bila rumah kita akan dirampas. Apakah sumbangan kita dalam menentang kezaliman ini? Ingat!! kezaliman ini ke atas saudara-saudara kita. Mereka di Palestin itu amanah yang perlu kita jawab. 

Mereka perlukan usaha kita saudara mereka. Mereka perlukan sumbangan kita keluarga mereka. Yang paling penting mereka perlukan doa kita seagama dengan mereka. Dimana kita? Di restoren KFC? Di depan TV? Di Mc Donald? Burger KIng? STarBuck? Atau kita di bank-bank menyimpan wang takut disamun perompak? Bangunlah semua. Islam takkan menang tanpa pejuang. Islam takkan rugi tanpa anda. Tetapi dengan tidak berjuang matilah kita dalam keadaan munafik atau Jahiliyah.

Anda mahu ke Syurga? anda buat pilihan anda. Anda mahu ke neraka? Mampukah anda? 
sumber 

Wednesday, November 18, 2009

Mesir lawan Algeria di Sudan.



Bagi mencari pasukan terakhir dari Afrika ke Piala Dunia 2010 Mesir memilih Sudan bagi menjadi gelanggang taruhannya. Manakala Algeria memilih Tunisia selepas undi dibuat Sudan terpilih menjadi tuan rumah untuk play off piala dunia 2010.

Bagaimanapun semangat kesukanan telah dicemari oleh beberapa pergaduhan semalam dikhabarkan sehingga meragut nyawa penyokong. Al Qaradhawiy menyeru agar persengketaan ini segera dihentikan dan menyifatkan api permusuhan ini ditiup oleh Syaitan. Ulama Algeria Syeik Abbas menyeru agar kedua-dua badan bola sepak menjadikan perlawanan ini sebagai pengikat kasih sayang bukan permusuhan walaupun ia merupakan pertandingan besar bagi kedua-dua negara.

Kerajaan Sudan telah menyediakan 15000 anggota polis bagi memperkemaskan keselamatan. Stadium Khartoum menawarkan 35000 tiket yang mana 17000 untuk orang di Sudan manakala 9000 di jual di Algeria dan 9000 lagi dijual di Mesir. Airport Sudan hari ini menjadualkan 48 penerbangan dari Algeria dan 18 dari Mesir manakala 2000 lagi penyokong mesir dijangka melalui laluan darat.

Kini Khartoum seperti menyebelahi Algeria kelihatan rata-rata penduduk Sudan mengangkat bendera Algeria berbanding bilangan yang sedikit menyokong Mesir. Bagaimanapun selaku peminat bola sepak saya menyokong pasukan Mesir memandangkan pemain-pemainnya lebih berdisiplin dan saya merasakan Mesir satu pasukan yang layak bertanding di Piala Dunia.

Tuesday, November 10, 2009




cerpen best.

al Quran Pemangkin perpaduan.

Salamun 'alaikum. Sejak akhir akhir ini saya sering melihat feed-jit blog saya untuk memantau lawatan pengunjung rupa-rupanya ramai yang datang ke sini dari search engine untuk mencari mengenai al Quran. Walaupun saya lebih cenderung menjadikan blog ini sebagai sebaran info palestina dengan cara saya sendiri tetapi tidak salah saya rasa untuk memenuhi ruangan maya saya ini dengan apa yang dicari oleh pengunjung tidak tetap.

Walaupun blog tidak membawa pengaruh seperti yang dibawa oleh buku-buku dan akhbar-akhbar tetapi saya yakin peranannya dalam menghuraikan kefahaman dan menyebarkan maklumat wujud. Jadi, saya akan mencuba untuk menggabungkan isu-isu Palestin dan pengajian al Quran serta tafsirnya sekadar yang saya mampu di sini.

Seperti tajuk di atas al Quran dan manhajnya merupakan tunjang perpaduan Islam yang hakiki. Tidak ada seorangpun muslim melainkan beriman dengan al Quran. Beriman bahawa al Quran itu perkataannya dan maknanya datang dari Allah. Sekiranya kita berpegang dengan hakikat yang sama maka kita adalah muslim. Membenarkan al Quran bermakna membenarkan risalah Muhammadiah. Atau dengan kata lain beriman dengan kerasulan Muhammad s.a.w.

Di sinilah tunjang perpaduan kita. Islam bukan kesatuan bangsa, Islam bukan kesatuan tanah, Islam bukan kesatuan ekonomi. Tetapi semua ini tadi bersatu dalam Islam kerana satu ideologi dan fikrah iaitu Mentauhidkan Allah dan mengakui Muhammad penutup utusan langit. Jika semua muslim faham hakikat ini tidak ada sebab untuk permusuhan sesama muslim. Tetapi jangan terlupa al Quran menyifatkan manusia dalam perihal IMAN kepada 3 golongan : Mukmin, Kafir dan yang lebih tercela Munafiq.

Al Quran menyeru semua mukmin bersatu dalam menghadapi 2 golongan manusia iaitu yang enggan menerima Allah sebagai ilah dan rab. Serta mereka yang mengakui Allah sebagai tuhan sekadar helah untuk menjahanamkan Islam dari dalam. Mereka ini mengharapkan perpecahan di kalangan Muslim.

Walaupun Islam mengutuk kedua golongan tadi. Tetapi Islam menggariskan bagaimana untuk hidup bersama mereka. Ini jelas dalam al Quran yang menyebut Risalah ini adalah rahmat untuk seluruh alam. Jika risalah ini mendahului pemerintahan dunia maka akan selamat dan sejahtera seluruh alam. Ini terbukti semasa pemerintahan Islam. Tidak wujud sebarang pemberontakan agama di bawah pimpinan Islam. Melainkan peperangan antara pemerintahan Islam dan kuasa kuasa luar yang kafir.

al Quran adalah sistem lengkap kehidupan manusia di dunia. Segala cabang kehidupan disusun di dalamnya. Al Quran menyebut: Jika kamu berselisih maka kembalikanlah perselisihan itu kepada Allah dan rasul. Maka untuk kembali kepada perpaduan Ummah hanya al Quran kuncinya.


Marilah kita kembali kepada pengajian al Quran dalam setiap lapangan kehidupan kita. Baik ekonomi, politik, ketenteraan dan perundangan serta segala apapun jua.

Tuesday, November 03, 2009

Belajar al Quran. Untuk apa?

Salam semua mungkin sesetengah menganggap soalan ini soalan cliche, atau setengah yang lain merasakan ini soalan bodoh apa pula ni. Tetapi sedar tak sedar majoriti orang Islam Melayu menjadikan pengajian al Quran hanya aktiviti masa kanak-kanak. Selepas maghrib atau Isya kena mengaji. Sesetengah itu tengah hari pon kena mengaji. Tetapi setelah sekali mereka khatam al Quran. Sudah. Tutup al Quran itu seperti tamat buku teks sesuatu subjek. Ya lah dah Khatam maknanya dah habis la satu al Quran kita mengaji atau belajar.


Jadi menolak fahaman inilah saya merasakan anda perlu mengetahui apakah sebabnya kita belajar al Quran. Memang betul dan tepat membaca setiap huruf al Quran itu sepuluh kebajikan. Bahkan al Quran senderi membawa pengertian yang dibaca. Tetapi perlu kita faham dan dalamkan kefahaman kita kepada amalan, bahawa al Quran bukan teks pelajaran. Tetapi al Quran teks kehidupan. Teks teks al Quran adalah Kalamullah yang sentiasa menambahkan keberkatan sekiranya kita ulang lihat sekalipun. Apatah lagi kita baca, kemudian merenung maknanya dengan teliti dan peka.

Kita muslim melayu sering mengambil sekurang-kurangnya. Ya selalu benar kita disogokkan sekurang-kurangnya dia solat. At least dia baca juga quran. ataupun oklah tuh takder la dia tinggal langsung Islam. Inilah sesat dalam benar. Bukanka rugi kita dapat sisa-sisa. Sepatutnya kita mengejar yang terbaik. Barulah kita layak mendapat ganjaran yang Allah janjikan. Ia juga langkah paling selamat dari terjerumus kepada meninggalkan yang wajib dan melakukan yang haram. Begitu juga dengan membaca al Quran. Jika masa kecil kita bagai nak rak mengaji al Quran bukankah sia-sia bila dewasa kita sekadar menyimpannya dalam almari.

Kita hanya membaca tanpa memahami apa isinya. Apa tuntutannya? untuk apa bacaan kita? Untuk pahala yang belum pasti kita gapai atau untuk memenuhi adat Melayu Muslim? Islam menganjurkan kita pada mencintai ilmu dan keilmuan. Tetapi bukan mati sekadar itu. Islam juga mengajarkan kita sumber semua keilmuan itu adalah Allah dan al Quran itu adalah Kata-Kata Allah. Jika ini yang Allah pilih utk jadikan lampu suluh kehidupan kita kenapa kita mesti bermula dengan ilmu lain? Kenapa al Quran mesti yang terakhir atau bukan yang pertama? Kita perlu tahu untuk apa kita membaca al Quran supaya bacaan kita lebih fokus.

Saya amat kagum kepada mereka yang mampu menghafaz al Quran ada yang dari awal usia dan ada juga yang sudah tua. Mereka mampu menjaga kalam Allah dalam minda dan hati mereka. Ini penanda awal keberkatan hidup mereka. Tetapi sayang juga kerana ada antara mereka yang menghafal al Quran tidak memahami kalam Allah itu lantas bertindak dengan bertentangan dari apa yang al Quran ajarkan. Tetapi sekurang-kurangnya dia sudah hafaz al Quran. Inilah masalah kita. Apakah faedahnya hafalan jika kita tidak dapat amalkan?

Marilah kita sama-sama mendaftar diri kita yang sombong ini kembali ke pengajian-pengajian al Quran agar kehambaan kita bercahaya dengan suluhan nur al Quran. Ingatlah jika hati berkarat pengasahnya ada dua Zikrullah dan Zikrul maut. Afdhal zikruLLah adalah tilawatul Quran.