Say no to Israel

Say no to Israel
Say Yes to Plaestine

Tuesday, June 24, 2008

cerpen ni menang di GKLN.


AKU baru selesai bertahalul dari umrah wajib, untuk ibadah hajiku. Inilah kali pertama aku melihat Rumah Allah secara langsung. Perasaan kagum memenuhi jiwa dan menyelimuti ruang fikirku.
Tahalul ini bertujuan untuk membatalkan ihram. Maka dengan simbolik memotong rambut, bolehlah aku kembali melakukan perkara-perkara yang dilarang ketika berihram. Selepas bertahalul, terasa seperti hilang letih ketika bertawaf dan saie. Pandangan mataku menyapu kedai-kedai makan yang tersusun di balik perkarangan bilik air besar. Sewaktu mencari kedai yang sesuai dengan selera, aku terpandang seorang anak muda yang lebih muda dariku. Kelihatan comot dan compang-camping. Telahanku, remaja ini pengemis. Sekumpulan hujaj dari Turki menghulurkan beberapa riyal kepadanya.Aku menganggap ini fenomena biasa kerana di mana ada umat Islam, di sana pasti ada pengemis dan penderma.
Aku membeli sebuku syawarma resepi Mesir dan juga segelas jus. Oleh kerana suasana sibuk di kedai itu, aku kembali semula ke atas bangunan bilik air yang lapang itu untuk menjamah makanan tadi.
Sambil mengamati keheningan fajar, aku menghabiskan syawarma. Subuh belum menjelma, namun jemaah di dalamnya sudah mulai sesak walaupun orang masih belum melimpahi kawasan luar masjid Haram, Sesekali aku bertasbih dan bertahmid memuji Allah kerana menerimaku sebagai tetamu-Nya pada kali ini. Dalam keheningan ini, remaja yang aku lihat sebentar tadi melintas di hadapanku. Tidak pula dia berhenti untuk meminta dariku. Dalam benakku sebenarnya, sudah berkira-kira berapa riyal yang akan aku sedekahkan kepadanya. Namun perkiraan itu berakhir dengan sifar.
Pertentangan yang menarik.Bisik nafsu, aku selamat kali ini. Imanku mendengus, seharusnya aku mengikuti remaja itu. Akalku bersuara, remaja ini bukan layak untuk meminta.
Dia mendekati sekelompok kanak-kanak yang sedang bermain, berbual dengan mereka seolah-olah menantikan sesuatu. Dari sudut berpakaian aku mengagak mereka sudah lama di Saudi atau mungkin orang Saudi yang berasal dari pedalaman.
Kembara haji aku ini baru sahaja bermula. Lagi empat hari baru akan bermalam di Mina sebagai amalan sunat bagi haji. Ini bermakna aku berada di luar ihram untuk tempoh empat hari lagi. Dalam memenuhi empat hari ini aku bercadang untuk berpuasa, sebagai pilihan kedua dari membayar dam wajib untuk ibadah haji tamattuk.
Kembali kepada remaja peminta sedekah tadi. Sambil aku memerhatikan mereka, muncul seorang lelaki yang membawa makanan. Hatiku mengatakan inilah ketua sindiket peminta sedekah kumpulan ini. Namun telahanku meleset. Dari cara berinteraksi, kelihatan seperti mereka setaraf dan akrab. Mereka makan bersama-sama. Seketika aku terpesona pada keakraban mereka seakan sebuah keluarga, walaupun rupa paras mereka jauh berbeza. Terdetik di hatiku untuk menyapa mereka. Namun perasaan tidak kena meruntun aku untuk terus duduk di tempatku.
Hari sudah terik, berjuta-juta jemaah haji ini menanti mentari tergelincir untuk menunaikan solat qabliyah zohor atau sunat zawal. Aku menatap kubus berselubung hitam yang kelihatan gah dan menawan. Damai jiwa melihatnya. Aku memuja Allah, empunya kubus ini. Aku memuji-Nya. Terkenang aku Ibrahim Alaihissalam dan Ismail Alaihissalam membina Rumah Allah ini. Lantas aku mencari Maqam Ibrahim. Seperti biasa ramai orang mengerumuninya. Terasa sebak ketika berselawat ke atas junjungan besar Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam dan juga keluarga baginda.
Tumpuanku kini beralih kepada sekumpulan lelaki Asia Barat. Mungkin dari Pakistan atau Bangladesh. Mereka berbaju biru dan termaktub nama Bin Laden padanya. Aku teringat Osama atau Usamah Bin Laden yang diburu oleh Amerika laknatullah. Lelaki-lelaki ini bukanlah pengebom berani mati yang mencabar kuasa dunia itu. Mereka hanyalah mencari sesuap rezeki bagi menyambung kehidupan. Walaupun begitu mereka juga patut dihargai. Begitu pantas dan cekap, mereka membersihkan lantai di perkarangan masjid haram dalam keadaan manusia bersesak-sesak mengelilingi kubus suci itu.
Teringat pada peminta sedekah pagi tadi. Perlukah dia meminta sedekah lagi, sedangkan peluang pekerjaan di sini banyak? Pelbagai mata pencarian tercipta dengan kehadiran jutaan pengunjung ke sini, tapi dia memilih untuk meminta sedekah? Pertanyaan itu menyerang benak fikirku.
Usai solat Zohor, aku keluar mencari makan tengah hari. Aku memilih untuk keluar melalui pintu Madinah. Dengan melangkahkan kaki kiri di setiap gerbang keluar disertakan dengan doa agar Allah bermurah hati padaku. Aku meninjau di perkarangan Syamiah. Ada sebuah kedai makan yang tertera nama "Restoran Pintu Madinah". Aku mendekati kedai itu. Aku memesan kebab sayur. Resepi ini adalah adunan beberapa negara. Aku kira inilah hasil pertembungan budaya dalam penghasilan makanan. Aku menghulurkan dua keping not dua riyal sebagai bayaran kepada kebab sayur dan jus oren yang sungguh menyegarkan.
Tiba-tiba retinaku menangkap susuk tubuh si remaja pengemis pagi tadi. Apakah pertemuan ini petanda bahawa niatku untuk bersedekah kepadanya telah bertukar menjadi hutangku yang belum langsai? Nekadku, kalau dia meminta dariku akan kuserahkan apa saja yang ada dalam poket kananku.
Sekali lagi, penggunaan unsur sastera yang menarik.Dia melintas lagi dihadapanku. Dia berhenti, entah mengapa budak ini membuatku menjadi berdebar. Setiap kali melihat kelibatnya, aku terpanggil untuk memerhati gerak-gerinya. Dia tidak meminta dariku tetapi meminta dari seorang lelaki dari Iran. Kali ini dia dihampakan. Lelaki itu sekadar mengatakan " Allah Kareem." Dia tidak mendesak dan terus berlalu. Aku melihat lelaki Iran itu. Lelaki itu tersenyum kepadaku. Aku membalas senyumannya. Senyuman itu sedekah yang mudah.
Aku sudah tidak merasakan aku terlepas dari tuntutan. Malah hatiku kini mempersoalkan, kenapa bukan aku? Kenapa dia tidak menadah tangan kepadaku? Aku menyudahkan suapanku sebelum kembali ke Masjid Haram. Kali ini aku beristighfar. Menyesali dengan sikap bakhilku. Menyesali sikap sangka burukku. Kini aku bernekad, andai aku terlihat lagi budak itu, akan aku berikan apa yang ada dalam poket kanan jubahku.
Seusai solat Asar, aku bersalaman dengan jemaah di kiri dan kananku. Lalu aku mendapatkan tempat air zam-zam untuk membasahkan hausku. Sungguh tidak disangka-sangka aku berjumpa dengan seorang sahabat yang sudah lima tahun tidak bertemu. Kami bersalaman dan berpelukan. Dia sudah jauh berbeza, kelihatan agak berisi dan tampak jauh lebih matang. Janggutnya yang agak panjang menampakkan dia bertambah warak biarpun dia hanya berkemeja dan berkopiah putih.
Akram hanya mengukir sekuntum senyuman yang jernih dengan kerinduan. Dia menceritakan bahawa dia terpilih untuk menunaikan haji dari keputusan cemerlang di universitinya. Pertama kali aku mendengar mengenai hadiah kecemerlangan sebegini. Ketika berbual, aku bercerita mengenai pengemis tadi.
"Biasalah, kanak-kanak banyak yang dijadikan mangsa sindiket peminta sedekah." Dia lalu menceritakan. "Di tempat ana ada kanak kanak yang dipotong tangan sejak lahir untuk tujuan meminta sedekah. Ada yang sengaja dikudungkan kaki mereka. Ada juga yang dibiarkan buta."
"Siapa mereka itu?" tanyaku separuh menyelidik.
"Ibu bapa merekalah." Jawapannya membuat aku susah menelan liur.
"Bukankah tempat anta semuanya muslim?" aku semakin sukar untuk mempercayainya.
"Memanglah muslim. Tapi dasar ekonomi masih kapitalis." Dia menghabiskan air zamzam di tangannya.
Sejak dialog itu aku sering berdoa agar Allah mengampuni umat ini. Aku mengingati semula tragedi-tragedi di dunia Islam. Apakah bala untuk umat ini? Aku memandang kaabah dengan air mata. Bukankah Empunya Kaabah ini telah mensyariatkan zakat dan sedekah. Apakah pemimpin-pemimpin muslim lakukan dengan syariat itu?
Selesai Isya aku pulang ke tempat penginapanku di kaki Bukit Ajyad. Di sana aku bersama rakan-rakan lain. Kami lebih suka bergerak sendiri sementara menunggu masa haji. Kami bebas bergerak kerana masing-masing mampu berbahasa Arab. Kami lebih suka bergaul dengan jemaah dari negara lain, bagi meluaskan konsep taaruf dan ukhuwah yang merupakan hikmah sampingan ibadah haji.
Hari berikutnya, aku ternanti-nanti pengemis muda semalam. Namun kelibatnya tidak dapat dikesan. Begitu juga hari berikutnya. Keesokannya, aku mengelilingi Masjid Haram, sengaja ingin menjejaki pengemis muda itu. Terdetik di hatiku, apakah remaja itu benar-benar manusia, atau lelaki karomah? Rasa serba salah dan tidak keruan menyeliputi sanubariku. Aku menoleh ke arah Kaabah, ingin meraih ketenangan dengan melihatnya. Aku penuhi setiap langkah dengan istighfar memohon keampunan. Untuk Zohor kali ini, aku mendapat tempat di hadapan multazam.
Selepas solat, aku berdoa untuk semua kaum keluarga dan sahabat handai. Aku berniat untuk beriktikaf sahaja sampai maghrib nanti. Oleh kerana aku sudah menyediakan tiga butir tamar untuk berbuka tidak perlulah aku keluar lagi dari masjid. Selesai solat, aku mengambil tempat berhampiran Bukit Safa. Aku membuka lembaran buku doa yang disediakan oleh kerajaan Saudi. Aku membaca doa-doa yang diajarkan nabi di dalamnya. Berpuasa membuatkan aku cepat letih untuk menunaikan tawaf sunat. Aku sekadar berdoa berselang-selikan dengan tilawah. Asar masih lambat lagi, jadi aku bersandar di salah satu tiang berhampiran, sambil melunjurkan kaki menghilangkan lenguh bersila.
Aku terlihat kelibat seorang pemuda yang kurasakan mengenalinya, lalu aku memerhatikannya dengan lebih teliti.
"Wahai anak muda, kenapa kau mengemis? " Soalku tatkala mendapati dialah remaja yang aku tercari-cari beberapa hari lalu.
"Kerana aku memerlukan makan." Jawab remaja itu.
"Di mana orang tuamu?"
"Mereka ada di rumah menjaga adik-adikku." Jawabnya ringkas.
"Apa jadi dengan mereka?" Aku masih belum berpuas hati.
"Ibuku kudung tangannya, manakala ayahku buta." Jawabnya selamba.
"Bagaimana mereka menerima nasib itu?" Aku terus ingin tahu.
"Kami sememangnya mengemis sejak turun temurun. Ibuku memang kudung sejak lahir. Ayahku pula buta kerana demam panas lima tahun lepas. Sejak dia buta aku yang mengemis untuk keluarga." Cerita remaja itu. Namun kali ini dia tidak berpakaian comot. Dia berbaju putih yang bersih.
“Aku telah nekadkan untuk bersedekah kepadamu duit ini." Aku menghulurkan seratus riyal. Remaja itu memandang aneh padaku.
"Kamu simpan sahajalah duit itu."
"Aku ikhlas untuk bersedekah kepadamu." Terus si remaja itu berlalu tanpa berpaling. Aku memanggilnya berkali kali….
"Saudara bermimpi ya?" Ada sejalur suara mengejutkanku. Aku kaget apabila melihat remaja pengemis itu, apatah lagi penampilannya serupa seperti dalam mimpiku.
"Ya aku mimpi bertemumu." Jawabku.
"Pernahkah kita bertemu sebelum ini?" Soal remaja itu.
"Beberapa hari lalu aku mencarimu. Aku pernah melihat engkau mengemis, pada hari pertama aku tiba. Beberapa kali kau melintasiku namun kau tidak menyedari kewujudanku." Aku bercerita kepadanya.
"Sungguh aneh," katanya. "Sudah empat hari aku di sini bermunajat dari Subuh hingga ke Isya memohon bantuan dari Allah.”
"Sungguh, aku memang melihat kau mengemis, dengan pakaianmu yang comot kau meminta dari seorang ke seorang yang lain. Bahkan kau ada kawan-kawan untuk bermain dan bersembang. Aku melihat semuanya pada hari pertama aku di sini," bersungguh-sungguh aku menjelaskan.
"Sememangnya aku kesempitan tetapi aku yakin hanya Allah yang dapat menolong aku ini. Ayahku jatuh sakit sehingga buta matanya. Ibuku pula sudah puluhan tahun kudung. Masa ayahku sihat, dia menjaga ramai anak yatim. Namun aku tidak tahu apa kerjanya. Katanya dia hanya pengemis di kota larangan. Dia memberitahuku bahawa dia sering memohon Allah membantunya setiap hari memberi makan anak-anaknya, iaitu aku dan adik-adik angkatku."
"Tahun ini kami benar-benar hilang tempat pergantungan. Aku tinggal berhampiran persimpangan Kudal. Dahulu aku mengisi air zam-zam dan menjualnya kepada penduduk sekitar itu. Selepas kerajaan menutup paip zam-zam di Kudal aku terpaksa berulang alik dari Haram ke rumah, aku hanya mampu membawa tiga tong sehari kerana jarak yang jauh. Lalu ayah menyuruhku mengemis di kota larangan sepertinya. Sejak itu, baruku tahu bahawa ayah aku hanyalah seorang pengemis di masjid Haram," ceritanya lagi.
"Jadi betullah kamu si …." belum sempat aku meneruskan soalan dia bingkas bangun dan berkata "…demi Allah, aku tidak pernah meminta sesama hamba. Aku hanya memohon dari Tuan Yang Maha Kaya."
Aku diam. Aku cepat-cepat menyeluk saku kananku untuk mengeluarkan isinya. Alangkah terkejutnya aku apabila mendapati sebanyak empat puluh ribu riyal berada dalam saku itu. Sambil memejamkan mata, sambil aku serahkan kepadanya
Dia terus bersujud mensyukuri pemberian Tuannya. Aku turut sama sujud mensyukuri keajaiban ini. Kami berpelukan sambil menangis. Aku menangis kerana istighfarku kini diterima Allah. Dia menangis kegembiraan kerana terkabul doanya. Berkat dia mentauhidkan Allah dalam meminta bantuan semasa kesusahan. Aku menyedari bahawa segala yang berlaku dalam dunia ini Allah jadikan sebab agar mengaburi insan dari melihat kuasanya secara zahir.
Aku bertemu pengemis sebenar di Kota Larangan.

1 comment:

umaq_eiman said...

KOMEN UMUM

Cerpen bergerak dengan tema yang jelas – walaupun pengarang kelihatan bercerita tentang bermacam-macam perkara yang tidak berkaitan dengan sang pengemis tetapi dengan bijak cerita dibawa kembali ke situ sehingga tidak kelihatan ‘putus’ atau ‘terlompat-lompat’ di mana-mana. Malah masa-masa senggang tanpa kemunculan sang pengemis digunakan oleh pengarang untuk memanipulasikan unsur saspens yang agak mengesankan.
Kekuatan utama cerpen ini ialah penataan latar yang realistik. Pengarang menggambarkan suasana ‘Kota Larangan’ dengan begitu jelas sehingga pembaca berasa seolah-olah berada di situ. Kekuatan konsep tauhid dan tawakkal juga ditegaskan oleh pengarang, tidak hanya secara narasi ala sinopsis tetapi melalui aksi watak-watak, dengan kata lain show yang seimbang dengan tell.
Daripada aspek gaya bahasa, pengarang banyak menggunakan pengucapan yang ringkas dan lurus. Penyampaian akan menjadi lebih baik jika pengarang menggunakan gaya yang lebih puitis dalam penceritaannya.
Apabila diperhalusi ke akar umbi, gagasan dalam cerpen ini adalah mudah – tauhid, tawakkal dan persaudaraan sesama Islam, dipentaskan dengan latar kota Makkah al-Mukarramah melalui jalan cerita yang agak ringkas. Namun sedikit persoalan timbul – di manakah duduk letaknya amalan mengemis seumpama itu pada sudut pandangan Islam? Di manakah garis dalam ruang kelabu antara perbuatan meminta-minta yang tercela dengan konsep tawakkal serta bantu-membantu sesama Muslim? Jika pengarang bermaksud menyampaikan nilai-nilai Islami, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk memaparkan kebenaran dan tidak mengelirukan pembaca.