Say no to Israel

Say no to Israel
Say Yes to Plaestine

Tuesday, March 09, 2010

Bidadari Paderi.

Asslamulaikum. Alhamdulillah telah selamat berada di tanah air sejak 25 Febuari 2010 Alhamdulillah juga atas kesihatan yang berpanjangan malah dirasakan semakin sehat dengan izin Allah.

post kali ini merupakan post untuk komentar pada sebuah novel yang sudah selesai saya tatapi baru baru ini. Saya sememangnya menggemari novel sejak lama dahulu. Alhamdulillah rupanya novel aliran yang saya minati masih terus hidup dan menemui peminat-peminatnya di kedai buku. Bidadari Paderi bagi saya cukup rencamnya saiful A. Imam mampu mengumpulkan ilmu dan sastera dengan berkesan. Sebuah kehidupan seorang pejuang diperingkat bawahan yang disusun penuh konflik dalaman dan luaran sehingga mampu mengalirkan perasaan geram dan sedih bercampur baur dalam jiwa saya. Selain itu beberapa plot penting perjuangan ini menghuraikan bagaimana persiapan pejuang agama itu perlu wujud dalam diri.

Satu Novel yang mengumpulkan cinta dari semua kategori, cinta harta, cinta wanita, cinta bangsa, cinta negara, cinta agama, cinta keluarga, cinta Allah, cinta tercela, cinta teruja, cinta setia, cinta sahabat dan cinta terpuji semuanya dipaparkan dalam watak watak yang wujud. Bagaimana adab bercinta selaras dengan tuntutan Islam dan menegur permasalahan yang berlaku sampai hari ini dalam masalah cinta secara menampilkan tauladan dan sempadan sangat zahir bagi saya. Pun begitu banyak perkaitan cinta dalam novel ini tetapi ia tidak merupakan fokus utama dalam penceritaan. Saya lebih melihat saiful A Imam memfokuskan bagaimana menggambarkan kehidupan muslim yang selayaknya dalam diri watak utama. Ketika senang dan juga dalam kesusahan. ketika diuji dan diberi nikmat. Watak Jauhari sebagai anak yatim sangat rumit untuk dihasilkan.

Seorang anak yatim yang teguh dan sabar dalam kemurungan yang panjang. Berkenan kepada seorang pertiwi yang tegas dan jelita, cinta berbalas tanpa perhubungan. CInta yang berbataskan rasa malu dalam landasan adat minang dan syariat Islam. Membuatkan novel ini sungguh padat dengan persoalan pertentangan dan keselarasan serta bagaimana agama dan adat digauli dalam masyarakat Islam Minangkabau. walaupun novel ini berlatarkan abad ke 19 semasa penjajahan belanda ke atas Indonesia tetapi bawakan bawakan itu sesuai dijadikan pedoman sehingga hari ini. Satu kredit dari saya kepada perumpamaan dalam dakwah dari sudut penulisan kepada Saiful A Imam saya merasakan novel ini lebih hidup dari kisah kisah cinta anta anti seperti ketika cinta bertasbih dan ayat-ayat cinta. Saya juga merasakan novel ini lebih mesra dari 1511 dalam masalah perjuangan.

Sungguh persoalan agama disentuh tanpa terkecamuk penceritaan, sungguh kisah cinta diselit tanpa tercemar saluran dakwah, sungguh unsur perasaan dipasak tanpa jauh meninggalkan pengamalan. Inilah keenakan yang dapat saya kecap dari novel yang pada awalnya saya kurang mesra dengan tajuknya. Pandang pertama saya salah setelah menyelak helaian demi helaian. Saya sarankan kalian memiliki novel ini sebagai bacaan ringan yang mendidik dalam hiburan.

Tuesday, February 16, 2010

Beredar pulang sang lelayang.

Semusim sudah umurmu di langit biru.
Merantau mencari tahu.
Bergalau, beresah dan bersendu.
Syahdu bersulam rindu,
Tawa bertatah duka.

Leleh airmata melawan deras angin.
Tertitis ke bumi gersang demi impian.
Mencari destinasi dalam kabur takdir,
di mana rezeki, di mana mimpi.
Lelah menjawab soal unggas lain.
Ada bertanya cari apa?
Bertanya menanti apa?
Bertanya sampai bila?
Bertanya belum cukupkah?
Sehingga terlupa soalanmu sendiri.

Tiba-tiba datang angin yang memanggil pulang.
Pulang ke sarang yang pernah mengeramkan.
Ke sarang yang pernah menetaskan.
Lelayang ini bersedia pulang.
Tetapi dengan seribu soalan.

Lelayang ini pulang dengan angan-angan.
Pulang untuk teman.
Pulang untuk menjadi budiman.
Lelayang yang satu ini pulang kosong.
Tanpa temolok yang gemuk.
Tanpa dada yang montok.
Pulang dengan asa dan percaya.
Cuma asa dan percaya.

Beredarlah lelayang dengan tawakkal pada Tuhan.
Memulakan musim-musim di sarang.

Siddiq Osman.

wanted pembunuhan Muhammad Mabhuh di UAE


Monday, February 15, 2010

Mimpi Semalam.

Selalu orang kata mimpi ini mainan tidur. Namun bagi saya mimpi kadang-kadang satu perkhabaran. Apa yang jelas mimpi itu ada dari syaitan dan ada pula yang membawa makna. Semalam saya mimpi di hujung malam. Mimpi yang aneh.

Saya ke suatu tempat yang bukan daerah saya. Saya dah tak ingat dengan siapa. Tetapi kami berjumpa dengan orang putih kulitnya perang bulu mukanya berkumpulan ada yang lelaki ada yang perempuan. Yang menariknya mereka sedikit sedikit berbahasa melayu. Saya menoleh kepada teman saya dia berkata mereka ini bersungguh mahu belajar melayu. Menariknya dalam mimpi itu kami sempat berbual. Saya menegur mereka dengan memberi salam, mereka membalas dalam bahasa bercampur melayu dan inggeris. Tetapi saya cuma ingat dalam dialog akhir kami.

Seorang dari mereka bertanya apa rukun salam? saya menjawab ada empat 1) pemberi salam 2) penjawab salam 3) ucapan salam 4) jawapan salam. Entah dari mana datang perkara ini saya tak tahu tak pernah saya belajar rukun rukun salam. Kemudian kami seolah2 perlu bergerak ke arah lain tetapi masing masing seperti keberatan. Melihatkan perkara itu saya bertanya tahukah kalian apa itu makna Salam? mereka memberi isyarat agar saya menjawab lalu saya katakan salam itu peace. Mereka seperti terpana. Saya seolah mendapat isyarat mereka ini dari atlanta. entahlah apakah tandanya mimpi ini. Benarkah ada rukun rukun salam? jika sesiapa tahu dan ada pendapat saya suka mendengarnya dalam komen.

Monday, February 01, 2010

Lelaki Baik

Menjadi lelaki adalah amanah,
seperti menjadi menteri.
Lelaki baik punya ciri.
Baik agamanya bagai ajaran nabi.
Lurus hidupnya tegak lisan bagai gigi.
Akalnya cerdik mengenal batasan ilahi.

Menjadi lelaki adalah anugerah,
bagai menjadi wali.
Punya beban dakwah,
rezeki dicari sehari-hari.
Rumah bukan sarang tetapi tempat pulang.
Jalanan bukan kubang tetapi jadi laluan.

Menjadi lelaki adalah payah,
bagai menjadi petani.
Menyemai benih pada isteri.
Membaja anak dengan bakti.
Membajak jerih dengan harap
pohonan berbuah.
Anak isteri hiasan yang dipersoalkan
di kemudian hari.

Itulah kisah menjadi lelaki.
Lelaki yang baik,
baik pada isteri,
baik di hati,
baik di bumi,
lelaki dinanti.

Siddiq osman
2 Febuari 2010

Saturday, January 30, 2010

Hikam Atoiyah

Salamun Alaikum bagi yang belum pernah dengar tajuk ini eloklah baca entry ini. Kitab ini adalah karya karangan Imam AtoiLLAh yang sangat dalam maknanya dan padat isinya. Kitab ini telah disyarahkan oleh berpuluh ulama dari segenap pelusuk dunia dan juga era baru dan lama. Bahkan ada yang mengatakan kalaulah boleh dibaca selain al Quran didalam Solat maka layaklah hikam atoiyah dibaca ketika solat.

sesungguhnya karangan ini adalah khazanah yang berharga dalam ilmu Aqidah, Akhlak dan Syara'. Ia adalah simpulan kefahaman imam dari al Quran dan Hadis. Imam Atoillah adalah pemuka ilmuan ISlam pada kurun ke tujuh hijrah. Beliau diberi gelaran mahkota agama.

saya sebenarnya baru sahaja beli buku ini yang disyarahkan oleh Syeikh Saa'id Ramadhan al Buthiy. sungguh merasa nikmat menikmati hikam Ataoillah dari penerangan syeikh sa'id bahasa yang indah dikupas dalam sastera yang mudah. Walaupun hikmah atoillah adalah tersusun dalam gaya bahasa yang berat tetapi setelah memahaminya terasa segar keilmuan yang diwariskan.

Monday, January 18, 2010

Mesir Sepupu Israel.

Saya mendapat tajuk ini dalam pembacaan saya di salah satu blog pelajar Malaysia di Mesir. Sungguh melucukan kerana dia menyetujui pandangan bahawa apa yang Mesir lakukan ke atas Ghaza dan Palestin ini sebagai stratergi perisikan untuk menjatuhkan Israel. Bertambah melucukan beliau turut menyetujui Mesir masih dipandang tinggi oleh Arab sekitar Palestin dan arahan serta isyarat Mesir dinanti oleh Negara-negara Arab.

Dari sumber yang sama dengan sumber penulis blog tersebut iaitu al Jazeerah. Saya mendapati Mesir telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Pemimpin HAMAS Ismael Haneyah. Manakala mahkamah Mesir memutuskan untuk mengembalikan penduduk Yahudi ke Israel dalam satu kes yang berlainan. Sedang Arab secara seluruhnya mencemuh tindakan Mesir membina benting baja di Rafah apakah ini semua stratergi perisikan dan tanda hormat kepada kerajaan Mesir sekarang?

Saya bukanlah anti Mesir ataupun menganjurkan perpecahan Ummah yang sedia berkecai ini. Tetapi saya menyebut berkali-kali mengenai Pengkhianatan Mesir di sini agar kita mengenali siapa musuh siapa kawan. Di Mesir puluhan ribu aktivis Islam yang tidak dapat dicari setanding mereka di luar Mesir sedang berusaha merebut amanah menjaga kemaslahatan tanah Mesir dari rejim sekarang dan mereka inilah harapan kita. Mesir adalah bangsa yang diharapkan tetapi bukan dengan kerajaan mereka hari ini.

Saudara yang menulis blog itu menyetujui komentar berkenaan filem Mesir waladul 'am.

Tebing Barat menolak permusuhan dengan Qaradhawiy.

Setelah Imam Imam di sekitar tebing barat menolak untuk mengecam al Qaradhawiy dalam khutbah mereka bahkan menganjurkan  intifadhah dibangunkan di Tebing Barat.

Abbas dan Syeikhul Syayatin gelaran yang diberi kepada sekongkol Abbas iaitu al Habbash kini ditempelak hebat di sana.

Erdogan dalam temubualnya menyifatkan keadaan pemimpin Islam hari ini wajar diratapi.

Friday, January 15, 2010

Taubat Sa'labah.

Kerana matamu memandang
aib sebalik tabir.
Kesal hatimu bergetar
mengundang taubat sebenar.

Hilangmu dirasai Nabi,
Umar dan Salman diminta mencari.
Ke rumah ke pasar dijejaki.
Sehingga gunung didaki.
Riwayat penternak menyentuh hati.
Kisah air mata diberita.

Umar menjemputnya dari sahara,
Nabi mengunjung pohon berita.
Kekal Iman syurga dipinta.
Maut menjemput penuh selesa.
Malaikat mengiring sampai pusara.

Inilah kisah duka Sa'labah.
Takutkan diri tidak diterima
mencari ampun berair mata.
Tenanglah dia dalam syurga.

Siddiq Osman.

Wednesday, January 13, 2010

Abbas Vs Qaradhawiy atau pengkhianat vs Ulama?

Penguasa Tebing Barat mengerahkan khatib khatib menyelar al Qaradhwiy dalam khutbah khutbah mereka berikutan seruan Qaradhawiy agar mengheret pihak yang bertanggungjawab menangguhkan laporan goldstone berkenaan kezaliman perang di Ghaza.

Kala itu Qardhawi menyerukan agar "Organisasi Konferensi Islam" dan "Liga Arab" membuka penyelidikan segera untuk mencari siapa yang berada di belakang penundaan tersebut, agar keputusannya diumumkan di Mekah. Dia mengatakan, "Siapa yang terbukti keterlibatannya dalam hal ini pantas dihukum rajam di Mekkah sebagai hukuman atas pengkhianatan terhadap saudara-saudaranya di Gaza dan ketundukannya pada ancaman Zionis."

Ekoran dengan itu pihak yang mendukung Abbas mengutuk Qaradhawiy dan menuduhnya mahu menjatuhkan Mahmud Abbas.

Saturday, January 09, 2010

benda yang tidak boleh diniagakan dengan Orang Kafir.

1 Senjata.
2 Yang membantu penyebaran agama tersebut.
3 menjual al Quran kepada org kafir.
4 menjual hamba muslim kepada orang kafir.

Ungkit mengungkit

Kuliyah bahrul maziy: Hadith Buyu'

Golongan yang dibenarkan mengungkit dalam ISlam:

1. ALLAh taala.
banyak contohnya dalam al Quran.

2.Ibu Bapa
Contoh: akulah yang bela kamu, beri makan dan menyusukan kamu.

3. Guru.
Contoh: Sia-sia aku ajarkan kamu selama ini.

Thursday, January 07, 2010

Isu Kalimah Allah.

mungkin agak lewat untuk saya jelaskan isu ini. Tetapi bagai kata orang putih betterlate than never. Saya agak terkilan beberapa komen yang saya dengar baik dari penuntut atau ahli agama yang mengupas isu ini.

Kupasan saya yang saya faham:

Isu ini diadili di Mahkamah sivil dalam kes penggunaan kalimah Allah dalam akhbar Katholik. Keputusan olh hakim berbangsa china bukan beragama Islam telah membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Akhbar itu sebagai merujuk kata God atau Tuhan yang selama ini digunakan dalam bible dan sebagainya.

Di sini ada yang berpendapat isu ini tidak patut di adili di mahkamah sivil kerana kalimah Allah di Malaysia merujuk kepada Tuhan bagi seluruh orang Islam. Maka isu ini mesti melalui mahkamah syariah.

Saya merasakan ianya di luar perbahasan syariah kerana kita adalah negara sekular dan isu cetakan adalah bukan hal beragama di Malaysia. Walaupun ianya percetakan gereja, dan hal ini di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri bukan JAKIM atau badan badan agama yang lain. Sejak dari dasar kita sudah asingkan isu kehidupan dari agama maka isu syariah kita sdah sangat sempit ditambah dengan badan-badan agama kita yang tidak cukup kakitangan dan sibuk dengan kes khalwat dan arak.(di sini saya merasakan sistem perundangan syariah kita sangat lemah.)

Kedua Isu ini berkaitan dengan menggunakan nama Allah untuk agama lain. Di tanah Arab kalimah Allah digunakan semua agama. (kristian, Yahudi dan Islam) Tetapi yang hanya menyembah Allah sahaja adalah Islam. Di barat bible berbahasa Inggeris menggunakan kalimah God , Lord dan Father merujuk kepada Allah. Kristian yang sampai di tempat kita sejak zaman berzaman adalah dari barat iaitu katolik bukan koptik seperti yang banyak di timur. Persoalannya sejak beratus tahun krsitian wujud di Malaysia kenapa sekarang baru mereka mahu menggunakan kalimah ALLAH?

Banyak berpendapat bagi mengelirukan orang Islam supaya menyebabkan lagi banyak kes murtad yang sudah sedia banyak. Ada juga berpendapat ini percubaan untuk mereka melarat lebih jauh kepada penggunaan nama Allah yang Maha Suci dalam agenda agenda syirik mereka. Tidak kurang berpendapat apa salahnya menggunakan nama Allah selagi mereka merujuk kepada Tuhan bukankah kita tahu mereka juga percaya kepada Tauhid Rububiyah cuma ingkat dalam tauhid Uluhiyah.

Saya berpendapat ini adalah satu tamparan kepada orang Islam di Malaysia. Setelah anak lelaki dimurtadkan dengan wang, anak gadis dilacurkan dengan seks. Kini nama Tuhan bagi orang Islam direbut dalam perebutan undang-undang yang digagaskan oleh penganut mereka dan kita jadikan sistem keadilan negara kita. Syariah kita dijadikan minor dalam bidang kehakiman. Salah siapa isu ini? Mereka cuma seolah berkata buat apa kalian nak kecoh sangat isu kalimah Allah ini kita kan sama saja?

Kalimah Allah sangat suci dan Allahlah yang Maha Memelihara. Kita yang tiada mampu membela maruah kita serahkanlah urusan Kemuliaan Allah kepada Allah. Kita kembali kepada menegakkan dahulu kemuliaan Islam dalam diri kita, keluarga kita, Masyarakat kita. Isu kalimah Allah ini juga sedang dipolitikkan oleh sesetengah manusia. Jika benar isu ini dipandang besar oleh pihak berkuasa maka gunakanlah kuasa yang ada. Mengapa perlu bising-bising negara kita bukanlah minoriti Islam. Apakah orang kristian akan memberontak kerana kalimah Allah sedangkan mereka lebih cintakan Jesus berbanding God.

Saya kembalikan isu ini kepada pendukung-pendukung Islam terang dan kelam apakah sama sembahan kita dengan mereka? Jika tidak zahirkan beza kita beragama dari mereka.


gambar atas masa lepas PMR 97, yang bawah masa lepas spm 09 cikgu dalam gambar tu Ummi Halimatun Husin dgn Cegu Ghazali Omar dua dua dah kembali kepada Allah. Al Fatihah untuk mereka.

Gambar dari rjaluddin. rindu weih Gens X 5

Sunday, January 03, 2010

Siap juga akhirnya...

setelah beberapa kali kena stay up ngan adik adik KMK akhirnya siap juga majalah as Syabab 2010. Alhamdulillah 60 pages yang mengumpulkan 14 penulis. Pelbagai bentuk penulisan dipaparkan dan kesemuanya adalah hasil penulisan siswa siswi sudan.

Terima kasih kepada para penulis. Terima kasih yang tak terhingga pada My sister Khalida, Aisyah yang bersengkang mata dan terpaksa balik melepasi tengah malam sampai jatuh jatuh, dan tak lupa juga daus yang
support kami dengan pizza dan bantuan bantuan teknikal.

Alhamdulillah selesai sudah kerja untuk KMK bawah seliaan saya. Semoga KMK tahun depan lagi mantop dan bertenaga dengan ahli baru yang fresh.

puisi 5 minit

Angkasa Dusta

Hidupnya cakerawala diputar rahsia,
yang indah di mata
hakikatnya bahaya,
yang jelik rupanya
menawar bisa segala.

Lapisan langit menabir khabar.
HUjan menimpa disangka rahmat
rupanya banjir melanda.
Awan yang berat disangka sarat
rupanya bukan untuk kita.

Bulan dan suria menambah alpa.
Hari dikira semakin bertambah,
rupanya usia semakin parah.

Angkasa semua bukan berdusta.
Kitalah yang sentiasa leka,
setiap suatu adalah bukti
bagi yang mengerti
wujunya Ilah.

Siddiq Osman

Friday, January 01, 2010

Gula gula Najib

Memandaku Najib manis bicaranya.
Hampir semut tersalah sangka.
Sayangkan rakyat tiada terkata.
Setiap tahun hadiah diterima.

Memanda Najib bijak orangnya.
Padanlah dengan isteri bergaya.
Lihatlah dahinya seluas padang bola.
Boleh buat lapangan terbang juga.

Memanda Najib perihatin jua.
Bela orang miskin merata-rata.
Jual harta tentera buat jelata.
Pandai juga buat silap mata.

Memanda Najib pemimpin berjaya.
Apa dibuat difikir berganda.
Kalau tersilap c4 ada.
Boleh letupkan habis cerita.

Memanda Najib gagah orangnya.
Buat kerja tak kira masa.
padanlah rakyat kena keluar belanja.
Nak dapat memanda berjasa.

Memanda Najib penyantun orangnya.
Tiada yang turun di eranya.
Makan dan tambang naik semua.
Mengajar rakyat hidup sederhana.

Memanda Najib adil saksama.
kebebasan bersuara diberi semua.
ISA pun dia nak pinda.
Agar demokrasi kembali bertakhta.

Memanda Najib pandai berseloka.
Sebab itu Bahasa Melayu kembali diguna.
sabarlah pelajar semua.
2012 dah tak lama.

Memanda Najib patut dibangga.
semua kerja disemak semula.
berbagai suruhanjaya telah berjaya.
tinggallah negara aman bahgia.

Memanda Najib satu Malaysia.
Sungguh petah sungguh wibawa.
Boleh jadikan pembaca berita.
Apa ditutur benar semua.

(pemantun dan pendengar sila berguling sambil membaca entry ini!)

Monday, December 28, 2009

Bisikan Pada Rindu.




Pekan bertukar purnama berganti.
Bukan sekadar angka, bukan pula usia.
Rahsia atma menjadi berita.

Angin menutur dari sahara
menyusur ganang, meredah gelombang
membawa khabar kembara usang.

Sedang dibelai bayu juang,
teralun dibuai ombak perang.
Mabuk pendekar di laut darah,
cekal digenggam mengatur langkah.

Walau sukma kian parah,
bumi pertiwi tegar diimpi.
Bukanlah sumpah bukan serapah.
Inilah bisikan rindu melimpah.

Thursday, December 17, 2009

Salam Tahun 1431H

Entahlah kenapa perlu berasa seronok setiap kali tahun baharu? Sedangkan apa yang aku rasakan kini hanya kesedihan dan kemurungan. Mungkin kerana diri kurang amal soleh sedangkan umur kian bertambah bersama dosa dan noda. Moga Allah ampunkan di tahun ini. Semoga Allah pertemukan aku dengan puasa Asyuraa.

Aku juga tidak pasti apakah umat harus bergembira menyambut tahun baru ini? Ya Iraq sudah kembali terbina, Pengunduran dari Afghan sudah mendapat suara di Senat Amerika. Tetapi sehingga kini Ghaza sudah 3 tahun dikenakan sekatan. Somalia masih bergolak dan yang pasti khalifah islamiyah masih jauh dan kabur.

Owh Untuk pelajar malaysia di Sudan seronok kerana dapat jubah-jubah baru dan juga teman-teman haji sudah kembali.

Entah kenapa setiap tahun baru perlu ada azam yang baru sedangkan azam yang sudah sudah masih menjadi azam bukan kenyataan. Apakah azam dan angan-angan sudah seerti?

Apapun Salam 1431 Hijrah.

Tuesday, December 15, 2009

Part 2:The Maiden Heist,Saw 6, Inglarious Basterds, Papadom

The Maiden Heist merupakan kisah 3 pegawai security yang bekerja di Muzium seni dan masing-masing meminati karya tersendri merancang untuk mencuri karya-karya itu sebelum mzium itu dipindahkan.

Kisah ini mengajar kita bahawa manusia sanggup menggadaikan apa sahaja kerana sifat ingin memiliki. sesiapa yang berjaya mengawal sifat ini beerti mereka berjaya mengawal diri mereka dari cintakan dunia.

Saw 6 merupakan siri pembunuhan yang kejam. Hanya mereka yang kuat semangat boleh menonton cerita sebegini. Inilah apa yang berlaku di dunia hitam ada manusia yang telah hilang kemanusiaan kadang-kadang kerana perasaan dendam kadang-kadang kerana perasaan marah. Manusia yang bijak adalah manusia yang menggunakan akalnya lebih dari perasaan.

Inglarious Basterds kisah yang disusun mengikt chapter tersendiri. Ia berkaitan dalam usaha membunuh tentera The Reds atau nazi. Kisah ini menunjukkan bagaimana perasaan dendam itu dipandu oleh stratergy untuk melunaskan dendam mereka dan membela nasib bangsa mereka. Kisah yang panjang dgn dialog ini membosankan tetapi mengajar betapa pentingnya ketelitian dalam merancang sesuatu. Ia mampu membawa kita mengkagumi betapa Allah itu maha teliti dalam kejadian sistem alam. Ini hanya akan ddapati oleh org yang terikat fikirannya dengan ALlah.

PApadom cerita melayu yang baik. sudah lama saya tidak berpeluang menonton filem melayu sebaik ini. Ia mengisahkan kasih seorang bapa kepada anaknya. Ini mengundang saya kepada mengakui jika tiada tawakkal nescaya hidup kita takkan mudah. semua perkara menjadi susah.

Sampai jumpa lagi dalam komentar filem saya yang akan datang.

Sunday, December 13, 2009

Movie atau Filem.

Peringatan:Salam mungkin entry ini bukan entry yang akan dipersetujui semua pembaca atau ramai yang tidak menyokong pernyataan ini. Saya tak kisah jika anda mahu mengkritik asalkan tiada sebarang mesej berbentuk perkataan maki hamun dalam comments box saya takkan delete.

Semalam dan hari ini saya banyak habiskan masa menonton. Banyak filem yang saya tonton : 2012, my sisters keeper, Gamer, Up, The Maiden Heist,Saw 6, Inglarious Basterds, Papadom. Walaupun kebanyakan orang berpendapat menonton Filem ini membuang masa dan kerja yang tidak berfaedah. Mungkin saya perlu bersetuju dengan itu, tetapi saya menyedut maklumat dari filem-filem yang saya tonton. Selain maklumat jalan cerita dalam filem banyak membantu mengembangkan minda saya. Mungkin ini sesuai untuk kanak-kanak sahaja tetapi itulah yang saya rasakan.

Setelah saya menelaah buku kritikan sastera Syed Qutb. Beliau menulis dalam setiap cerita yang hebat mesti memiliki mesej yang baik. Jadi saya bukan hanya menonton untuk menghiburkan hati atau menenangkan minda seperti selalu orang sebut. Saya menonton untuk menilai dan mencari sesuatu dari sana. Seperti yang Faisal Tehrani pernah sebut. Karya ini ada dua sudut mesej dan seni.

Ok, Dalam 2012 saya melihat bagaimana gambaran manusia tentang hari Qiamat sangat senang. Walaupun ia tidak menyebut Kiamat tetapi itulah gambaran mereka bagaimana bencana boleh berlaku. Tetapi jika mereka yang berimaginasi tinggi membaca surah-Surah al Quran akan mendapati apa yang digambarkan itu tidak dapat dibandingkan langsung dengan Hari Qiamat dalam al Quran. Ini kerana, Dalam 2012 manusia masih memikirkan tentang anak, duit, family, mak dan ayah. Padahal dalam al Quran mengatakan ibu mengandung akan keguguran, Anak akan lari dari ibu, saudara dah meninggalkan saudaranya kerana dahsyat sangat hari itu. Bahkan manusia seolah olah kemabukan padahal mereka hanya ketakutan. Ini boleh dijadikan bukti gagalnya minda manusia menggapai ketakutan mereka sehingga wahyu perlu memandu untuk menggambarkan dahsyatnya Kiamat itu dan mesti beriman dengan hari yang dahsyat itu sebagai jalan selamat.

My Sisters Keepers Menambah kesan kepada kehidupan dunia ini sangat sementara dan barangsiapa yang bersedia untuk mati dia dah tak kisah apa-apa.Jadi di sini pengajaran bergabung kembali dengan 2012 kenapa kita mahu tamakkan dunia sedangkan kita pasti akan meninggalkannya dan suatu hari benda yang kita tamakkan itu akan musnah?

Up filem kartun yang cantik. Memaparkan kehidupan manusia yang sunyi tetapi mahukan sesuatu dalam hidupnya. Setelah bertungkus lumus baru dia tahu bahawa apa yang dia usahakan itu bukan lagi Impian hidup kekasihnya. Mesej yang baik di sini ialah kita terlalu sedikit habiskan masa untuk diri kita dalam kehidupan ini. Selalu kita lakukan sesuatu untuk org hargai, utk orang tengok, untuk orang bahagia dan paling sedih kita tak sempat sediakan sesuatu untuk kita selepas mati. Jadi kenapa kita masih begitu padahal kita semua tahu kita akan mati???

Gamer Filem yang tergolong dalam fiksyen yang melampau. Memaparkan dalam dunia ini terpaksa ada org mati hanya untuk kepuasan nafsu sesetengah pihak. Cuma dalam filem ini digambarkan dalam rupa yang sangat drastik. Tetapi hakikat itu berlaku tapi dalam cara yang sangat tak langsung. Kita boleh lihat sistem hari ini Kuli bekerja 12-18 jam sehari, pegawai bekerja 8-12 jam sehari, Pengurus bekerja 4-8 Jam sehari Bos atau taukey goyang kaki atau bekerja kurang dari itu. Pendapatan pastilah yang paling sikit bekerja itu lebih lumayan. Tetapi persoalannya kenapa kuli yang kena hiburkan pegawai, Pegawai kena hiburkan pengurus dan bersambung. Sepatutnya yang ataslah hiburkan yang bawah. Inilah sistem yang sedang kita lalui. Kita tahu ia terbalik tetapi kenapa kita meneruskan sistem ini??? Lambat laut kita akan redha apa yang berlaku seperti dalam imaginasi pengarah Gamer.

Bersambung,,..

Thursday, December 10, 2009

Tarbiyah Kedai Kasut.

Baru baru ni saya ajak adik2 pegi makan on the way pergi saya perasan kasut adik saya yang sorang tuh dah kurang cantik. memang saya jenis perhati org dari atas sampai bawah. Kalau tgk muka semua saya tgk lubang hidung, gigi, misai semua laa.

Bila perut dah kenyang saya ke kedai kasut pertama. Kedai yang saya beli kasut yang saya pakai hari tu. Masuk ja kedai tu tokei kedai terus tanya ttg kasut yang saya pakai. Dia seronok sebab saya puji kasut tersebut. Adik saya mencari-cari kasut yang dia minat. Tiada satupun kasut disentuhnya. Kira kedai ni bkan untuk dia.

Kedai kedua adidas butik. Jaraknya dengan kedai pertama dalam 2 KM. dalam banyak-banyak kasut ada satu kasut yang dia minat tapi dia rasa saya tak mampu belanja dia semahal harga kast tuh.Atau mungkin terlalu mahal untuk harga sepasang kasut. Kira problemnya hargalah.

Kedai ketiga cuma sekitar 200 meter dari kedai adidas. Kedai ni kedai untuk kast wanita. hampir 40 minit membelek jmpa sepasang boot pendek dia sdah bekenan tapi, takut segan nak pakai plak nanti nampak sedikit ganas. So masih dalam masalah patern.

Kedai keempat ini kedai terakhir kalau tak ada juga yang sesuai saya akan tinggalkan mereka dengan duit dan saya ke tempat mengajar. Kedai ni berselerak dgn kasut dan juga pekerja-pkerja yang pemalas. Tetapi setelah beberapa lama adik saya jumpa juga sepasang kast yang berkenan di hati. Adik yang sorang lagi pon saya semawakan jga sepasang, malu-malu dia memlih. Alhamdulillah dua2 adik saya dapat kasut baru. Saya pun dapat talipinggang baru.

Pengajaran yang saya dapat selepas itu cuma ringkas. Dalam memberi apa jua kita haruslah mencari sesuatu yang padan dengan penerima dari segi mental, fizikal dan emosi. Jika tidak benda itu akan krang bermakna atau mungkin menjadi mudarat. Begitu juga dengan nasihat atau teguran biarlah ia lambat membuahkan kesan dari memberi kesan yan negatif.

Wednesday, December 02, 2009

khutbah raya


Saya menasihati diri saya dan kita semua agar bertaqwa kepada Allah kerana hanyalah taqwa menjadi tempat jatuhnya pandangan Allah kepada kita. Firman Allah:

Maksudnya:

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa.

Sidang Muslimin sekalian,

Berkumpul kita pada hari ini merupakan perhimpunan yang mencari keredhaan Allah. Mari kita kemaskan niat kita hanya sanya mencari redha Allah. Rasulullah bersabda :

Sesungguhnya setiap amalan itu dikira dengan niatnya dan bagi setiap seorang atas apa yang mereka niatkan...

Berimanlah kita terhadap sabda baginda ini, Kerana Allah berfirman :

Dan tidaklah Muhammad itu bertutur menurut nafsunya melainkan apa yang telah diwahyukan kepadanya.

Hari ini hari kebesaran, tiada hari yang lebih ramai Allah ampunkan dan bebaskan dari neraka selain hari Arafah maka hari ini kita sekali lagi merayakan hari pengampunan yang telah Allah anugerahkan khas untuk kita umat Muhammad.

Kamulah sebaik-baik ummat yang dikeluarkan untuk manusia mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran serta beriman dengan Allah.

Allah menyifatkan umat yang terbaik itu dengan 3 perkara menyuruh kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah. Hal ini merupakan kaitan sangat erat antara Iman dan dakwah. Iman dan dakwah diikatkan dalam ayat-ayat lain conothnya , Firman Allah:

Demi Masa sesungguhnya manusia dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan ke arah kebenaran dan berpesan-pesan ke arah kesabaran.

Dakwah adalah agenda pokok setiap mukmin. Bagaimana dan caranya harus diperhalusi menurut kemampuan dan tanggungjawab seseorang. Ini bertepatan dengan Hadith Rasul

Setiap kamu adalah pengembala dan setiap kamu akan dipersoalkan atas gembalanya.

Inilah kita dalam kehidupan dunia. Dihidupkan diberi nikmat dan diuji. Allah menyebut dalam firmanNya:

Sesungguhnya kami menjadikan manusia daripada mani yang bercampur dan kami mengujinya lalu kami jadikan baginya pendengaran dan penglihatan.

Ujian ini juga Allah sebut dalam al Quran yang berbunyi:

Apakah manusia mengira mereka dibiarkan mengatakan mereka beriman sedang mereka belum diuji?

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ

Sedarlah kita kehidupan kita di dunia ini membawa satu visi yang tunggal lagi besar iaitu menjadi hamba Allah dan hanya kepada Allah. Ini dipetik dari ayat Allah yang berbunyi:

Dan tidak kami jadikan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu iaitu Allah.

Ulama menafsirkan perkataan Ibadah itu kepada mengenal dan mentaati Allah. Ini boleh kita ambil dari kisah Rasul dan Khalil Allah Ibrahim Alaihissalam. Baginda merupakan Bapa sekalian rasul dan legenda pengorbanan sepanjang zaman. Ketika baginda diceritakan Allah mencari Tuhannya di dalam tempat persembunyian, Allah memberi hidayah agar dia mengenali Allah yang tidak pernah hilang dan tidak pula tenggelam timbul. Allah menunjukkan kebesarannya dalam penciptaan bulan, matahari dan bintang. Sehingga Nabi Allah menyedari bahawa Allah itu maha perkasa dan maha berkuasa. Keimanan sebenar seperti inilah yang mencabut rasa takut sesama makhluk kepada Taqwa hanya kepada Allah. Sehingga Ibrahim mampu menentang Namrud yang menjadi sembahan manusia ketika itu. Inilah revolusi ulung yang menjatuhkan diktator pertama di muka bumi. Inilah keupayaan Iman yang telus lagi tulus.

Kisah Ibrahim tidak terhenti di situ. Kehebatan Rasul pilihan Allah ini diteruskan dalam siri ujian yang lain bagi membuktikan kelayakan baginda sebagai Khalilullah. Setelah baginda berkahwin dan meningkat usia bersama Siti Hajar mereka dikurniakan anak bernama Ismail. Kasih ditumpahkan dengan sepenuh hati kerana Ismaillah satu satunya anak yang dianugerahkan kepada mereka setelah umur Nabi Ibrahim menjangkau usia. Ismail dididik dengan sebaiknya mentaati Allah dan bersikap lemah-lembut. Kepatuhan Ismail membuatkan kasih anak dan ayah semakin berpadu. Ketika kasih erat terjalin Allah menguji lagi mereka dengan perintah Qurban yang sangat agung. Ibrahim bermimpi menyembelih Ismail anak kesayangan. Mimpi Nabi-Nabi adalah wahyu. Maka segera Ibrahim mendapatkan Ismail meminta pandangan. Ismail yang telah diasuh dengan asuhan Rabbaniy menyahut seruan Ilahi dengan penuh baik sangka dan taat. Walaupun nyawanya bakal dipenggal dari jasad oleh ayah tercinta. Kecintaan mereka berdua tidak boleh menandingi ketaatan kepada Allah dan keimanan mereka kepada keMuliaan Allah. Maka bersedialah Ibrahim dan Ismail untuk pengorbanan mulia. Lalu Allah gantikan Ismail dengan sembelihan Agung iaitu seekor kibas dan sehingga kini kisah ini disebut seluruh dunia. Allah rakamkan peristiwa ini dalam firmanNya:

Maka ketika mana keduanya berserah diri kepada Allah dan Ismail dibaringkan atas pelipisnya, Lalu Kami memanggilnya” Wahai Ibrahim! Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah kami memberi balasan kepada orang yang berbuat kebaikan, Sesungguhnya ini benar-benar ujian yang nyata dan kami tebus Ismail dengan sembelihan yang besar. Kami kekalkan bagi Ibrahim puji-pujian bagi mereka yang selepasnya dengan ungkapan salam ke atas Ibrahim.

Selepas peristiwa ini Allah kurniakan seorang lagi Nabi sebagai anak kepada Nabi Ibrahim iaitu Nabi Ishak.

Dalam kisah pengorbanan ini kita harus mengutip beberapa iktibar. Pertama inilah asas pensyariatan qurban oleh sekalian manusia sampai kini. Nabi Allah Ibrahim sanggup melunaskan apa sahaja tuntutan Allah. Tetapi kita hanya dituntut menyembelih binatang ternak yang baik baik.

Kita mampu menyembelih haiwan itu tetapi apakah kita berqurban itu untuk mendapat redha Allah atau sekadar menutup mulut manusia dari berkata-kata sesuatu yang kita tidak sedap mendengarnya? Kita kembali kepada hadis di atas , Sabda Baginda:

Sesungguhnya setiap amalan itu dikira dengan niatnya dan bagi setiap seorang atas apa yang mereka niatkan...

Jika kita menyertakan nama kita dalam peserta Qurban dengan niat lain sebelum ini marilah pagi ini kita perbaharui niat hanya untuk mendapat keredhaan Allah dan mentaati perintahnya.

Kedua mendidik anak-anak semestinya melalui lunas lunas rabbaniy. Adapun sumber pendidikan haruslah bersumberkan al Quran dan as Sunnah kerana hanya sumber-sumber ini datangnya dari wahyu dan mampu menjaga waris kita dari fitnah dunia yang menyesatkan ini telah disebut arRasul dalam sabdanya:

Sesungguhnya aku meninggalkan kepada kamu 2 perkara sekiranya kamu berpegang dengan keduanya kamu takkan sesat selamanya : Kitab Allah dan Sunnahku.

Siapakah yang lebih baik mahu mendidik anak-anak kita jika bukan diri kita? Anak – anak merupakan cerminan peribadi kita. Sekiranya kita dari kalangan tukang umpat dan penyebar fitnah anak yang bakal lahir dari rumah kita adalah anak – anak yang sudah betah dengan kemungkaran. Tetapi jika kita ibu-ibu yang melagukan al Quran dan sering mengisahkan perihal kebaikan maka anak-anak kita akan berasa kekok dengan kejahatan. Ini dibuktikan oleh keperibadian Nabi Ibrahim yang diwarisi oleh Nabi Ismail.

Kita selalu berkata: Iman tak dapat diwarisi. Sedarkah kita bahawa bagaimana sebenarnya menjadi ibu dan bapa yang beriman? Apabila kita bercakap mengenai masalah anak-anak apakah kita sudah menjadi ibu-bapa yang soleh yang layak untuk mendapat anak yang soleh? Manusia sering menuding tangan kepada pihak lain sedang dirinya yang bermasalah.

Sidang Aidil Adha sekalian,

Marilah di hari adha ini kita bermuhasabah kita kaji dan dalami apakah masyarakat kita hari ini di sini merupakan masyarakat yang terbina atas dasar taqwa atau hanya wujud seperti binatang ternakan yang akan kita tumbangkan?

Kerana beza kita dan mereka adalah hidayah sekiranya tanpa hidayah kita mungkin lebih hina dari mereka seperti firman Allah dalam menyifatkan orang yang enggan beriman:

Mereka itu tidak ubah seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat.

Pengajaran terakhir yang dapat saya petik untuk santapan kita adalah Amal yang soleh yang kita lakukan akan diganjarkan dengan keberkatan dan rahmat Allah. Ini berlaku dengan pengurniaan Ishaq Alaihissalam selepas peristiwa qurban ini. Begitu juga kita jika kita mahu keluarga kita berkah maka perbanyakkan amal Soleh dan jaga anak-anak dari kemaksiatan. Kita harus berasa takut masuknya kemaksiatan dalam rumah seperti mana kita takut terbakarnya rumah kita. Kerana tempat kemaksiatan adalah neraka Allah jika tidak diikuti dengan istighfar dan taubat.

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ

Hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekalian ,

Qurban juga membawa kita kepada kisah anak-anak Adam Habil dan Qabil yang di sebut Allah dalam firmanNya:

Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera adam dengan kebenaran ketika keduanya mempersembahkan hasil tangan mereka untuk qurban maka diterima dari salah seorang mereka dan ditolak dari seorang lagi, berkata qabil nescaya aku akan membunuhmu. Habil menjawab sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang orang yang bertaqwa.

Dalam ayat ini Allah menceritakan kepada kita Qurban pertama yang berlaku di muka bumi. Di sini kita mengetahui bahawa dalam ibadah qurban ini ada yang diterima dan ada pula yang ditolak. Di sini sekali lagi Taqwa menjadi pemisah. Ukuran taqwa dalam amalan yang menentukan sampai atau tidak amalan kita. Ini juga menepati firman Allah:

Allah takkan menerima daging-dagingnya dan tidak pula darahnya tetapi Allah menerima taqwa dari kamu. Dan demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu membesarkan Allah atas hidayahNya kepadamu dan sebarkanlah berita gembira untuk orang-orang Muhsin.

Ketaqwaan harus menjadi noktah bidayah setiap amalan. Bukan riya’ bukan ujub dan bukan juga rasa terpaksa. Taqwa adalah merasa takut kepada Allah, beramal dengan wahyu, cukup dengan yang sedikit dan bersedia menghadapi kematian. Empat plot dalam definisi taqwa ini merupakan juga ciri dan peribadi yang harus ada dalam diri.

Sekaligus qurban boleh berperanan membersihkan hati dari sifat tamak, takabbur dan kedekut. Qurban juga mengajar kita tentang kematian. Tentang betapa singkatnya kehidupan. Apakah mati kita akan menjadi mati yang sia-sia tanpa sebarang jasa dan bekal? Atau mati kita mati yang dikenang di langit dan di bumi? Persoalan ini harus sering kita tanyakan pada diri kita. Kerana Allah berfirman:

Setiap jiwa itu akan menghadapi Maut.

Manakala menyebut kematian itu adalah sunnah, sabda ar Rasul:

Hati ini berkarat seperti mana berkaratnya besi maka gilaplah ia dengan zikrullah dan Zikrul maut iaitu menyebut-nyebut kematian.

Qurban juga antara lain menjadi wadah perpaduan dan keakraban. Kita bersama-sama dalam kerja-kerja qurban kemudian berkongsi dagingnya bersama penduduk sekitar kita. Inilah kesyumulan Islam yang diselitkan dalam Qurban.

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ

Sidang jemaah sekalian,

Sepuluh awal Zulhijjah merupakan hari-hari yang sangat besar ertinya dalam kehidupan muslim yang sedar. Allah menyebut Sepuluh hari ini dalam surah al Fajr menurut tafsiran kebanyakan ulama tafsir.

Dalam satu hadith Rasul bersabda:

Sebaik-baik amalah adalah yang dilakukan pada sepuluh awal zulhijjah, Sahabat bertanya apakah ia lebih baik dari jihad fi sabilillah? Rasulullah menjawab ia lebih baik dari jihad fi sabilillah kecuali jika siapa yang keluar dengan diri dan hartanya dan tidak pulang dengan satu apa pun.

Begitulah gambaran ganjaran yang Rasulullah beri untuk amal-amal soleh di sepuluh hari ZulHijjah. Maka hari ini adalah hari terakhir Zulhijjah perbanyakkanlah amal pada hari ini dengan ikhlas semoga Allah mengganjarkan kita dengan ganjaran yang tidak pernah kita angan-angankan.

Dalam hadith lain ada menyebut:

Barang siapa yang bangun solat pada lima malam nescaya dia telah mendapat syurga. Iaitu: Malam tarwiyah, malam Eidul Fitri, Malam arafah, malam eidul adha dan malam nisfu sya’ban.

Marilah kita menempah tiket kita ke Syurga dengan janji-janji rasul Ini. Sebagaimana sahabat-sahabat baginda berebut-rebut menyahut seruan nabi. Ajarlah anak kita merebut peluang peluang ini. Kerana setiap jiwa Allah cenderungkan kepada syurga Cuma kita sahaja yang perlu mengatur langkahnya.

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ

Sidang hadirin sekalian.

Sekiranya kita belum diizinkan Allah untuk menyahut seruan haji dalam hidup kita. Marilah kita semaikan niat untuk menyahut seruan itu bermula dari hari ini. Sejak semalam para jemaah Haji telah bermula wukuf mereka di Arafah bagi merealisasikan syiar haji.

Sesungguhnya Haji dan Umrah adalah syiar Islam yang sangat besar dan dicemburui oleh penganut lain. Kerana Haji adalah ibadah yang mencakupi seluruh aspek kehidupan. Harta, fizikal, ruh, perasaan dan juga persekitaran.

Berdoalah agar kita mendapat haji yang mabrur sebelum Allah mengambil kita pulang. Sesungguhnya hajilah ibadah yang mampu membersihkan dosa besar dan kecil. Begitulah fadhilat haji yang banyak. Tidak ada sebab kita menangguhkannya sekiranya kita mampu.

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ

بَارَكَ الله لِى وَلَكُمْ فِى القُرْآنِ العَظِيمِ , ونَفَعَنِى وَأِيَّاكُمْ بِاْلأيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ , وتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ
تِلاَوَتَه إِنَّه هُوَ السَمِيعُ العَلِيمُ . اَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا وَاَسْتَغْفِ ر الله العَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ ولِسَائِرِ المسُلِمِيْنَ
والمسُلِمَاتِ إنَّه هو الغَفُورُ الرَحِيمُ .

الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, وللهِ الحمد.

أَشْهَدأَنْ لا إِلَه إِلا الله وَحْدَه لا شَرِيْكَ لَه . وَأَشْهَدُ أَنَّ محمدًا عَبْدُه وَرَسُوْلُه .

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْعَلَى سَيِّدِنَا محمدٍ وَعَلَى آَلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَه وَنَصَرَه وَوَالاَه . أَمَّا بَعْدُ ,


فَيَا عِبَادَ اللهِ , أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّاىَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ . وَتَزوَّدُوْا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ
التَّقْوَى

Marilah kita bertaqwa dengan sebenar benar ketaqwaan. Berbekallah dengan sesungguhnya sebaik-sebaik bekal adalah taqwa.

Bertaqwa memerlukan kesabaran dan keteguhan. Keimanan yang tidak beserta ketaqwaan adalah tempang. Taqwa boleh dicapai dengan menjaga beberapa anggota badan. Seperti menjaga lidah dari dosa perkataan, menjaga mata dari melihat kemungkaran.

Imam Junaid ada menyebut:

Rasulullah Sallallahu alaihi wassallam menghimpunkan Taqwa dan Pekerti mulia. Kerana Taqwa membaiki hubungan antara hamba dengan Tuhannya manakala pekerti mulia membaiki hubungan antara hamba dengan ciptaan Allah. Maka dengan taqwa mendapat cinta Allah adapun dengan pekerti mulia menyebabkan manusia mengasihinya.

Oleh itu marilah kita perbetulkan tingkah laku kita, dalam mengharapkan ketaqwaan di hati kita. Ini semua boleh dipupuk dalam tarbiyah bersama dalam masyarakat kita yang kecil ini. Cuma persoalannya apakah kita sudah bersedia mengubah gaya hidup kita berlandaskan kehendak al Quran dan Sunnah atau kita sudah merasakan gaya hidup begini sudah mencukupi untuk menghuni syurga Allah?

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى محمدٍ وَعَلَى آَلِ محمدٍ , كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آَلِ إِبْرَاهِيمَ .

وَبَارِ ك عَلَى محمدٍ وَعَلَى آَلِ محمدٍ , كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبرَاهيمَ وَعَلَى آَلِ إِبرَاهِيمَ فِى العَالَمِيْنَ إِنكَّ

حمِيدٌ مَجِيدٌ . اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِ لمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ الأَحْيَآءِ مِنْهُمْ

وَالأَمْوَاتِ . رَبنَّا اغْفِرْ لَنَا ذُنوُبنَا وَذُنُوْبَ وَالِدِيْنَا وَارْحمْهُمْ كَمَا رَبوَّنَا صِغَارًا. رَبنَّا اغْفِرْلَنَا

وَلإِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُ وْنَا بِالإِيْمَانِ وَلا تَجْعَلْ فِى قُلُوْبِنَا غِلا لِلَّذِيْنَ آَمَنُوْا رَبنَّا إِنَّكَ رَؤُوْفٌ رَّحِيْمٌ .

اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ , وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَالْمُشْرِكِيْنَ , وَالنِّفَاقَ وَالْمُنَافِقِيْنَ وَالظُّلْمَ

وَالظَّالِمِيْنَ . اَللَّهُمَّ إِناَّ نَجْعَلُكَ فِى نُحُوْرِ أَعْدَآئِنَا وَنعُوْذ بِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ . اَللَّهُمَّ رُدَّ كَيْدَهُمْ عَلَى

نُحُوْرِهِمْ . اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شمَلَهُمْ وَفَرِّقْ جمْعَهُمْ وَشَتِّتْ كَلِمَتَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ , وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا

مِنْ كِلاَبِكَ .

اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَاننَا الْمُجَاهِدِيْنَ وَالْمُسْتَضْعَفِيْنَ فِى فَلَسْطِيْنَ , وَفِى غَزَّةِ , وَفِى العِرَاقِ , وَفِى

كَشْمِيْر , وَفِى جَنُوْبِ تَايْلَنْد وَفِى كُلِّ مَكَانٍ . اَللَّهُمَّ قَوِّ عَزَائِمَهُمْ , وَاجمَعْ كَلِمَتَهُمْ , وَثبَّتْ

أَقْدَامَهُمْ , وَانْصُرْهُمْ عَلَى أَعْدَآئِهِمْ .

اَللَّهُمَّ آَتِ أَنْفُسَنَا تَقْوَاهَا, وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا, أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَه اَ. اَللَّهُمَّ أَرِنَا

, وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَه . اَللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَاننَا, وَأَئِمَّتَنَا ا وَارْزُق نَا اتِّبَاعَهقلحَقَّ حَ

وَوُلاَة أُمُوْرِنَا, وَاجْعَلْ وِلاَيتَنَا فِى مَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ .

رَبنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لمَ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الخَاسِرِيْنَ . رَبنَّا هَبْ لَنَا مِنْ

أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّة أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ إِمَامًا.

رَبنَّا آَتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَة وَفِى الآَخِرَةِ حَسَنَة وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

. وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا محمدٍ وَعَلَى آَلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمْ . وَالحَمْدُ للهِ رَبِّ

الْعَالَمِيْنَ .

اَلله أكبر , الله أكبر , الله أكبر , وَلِلَّهِ الحَمْدُ .